Hamil: Boleh
terbang atau tidak?
BERBANDING
sedekad lalu, kita kini semakin kerap menggunakan
perkhidmatan pengangkutan udara yang kian popular untuk
menuju ke destinasi-destinasi jauh.
Ditambah dengan
promosi tambang murah membolehkan rakyat yang dahulunya
tidak terfikir untuk terbang tinggi di awan, sudah boleh
berbuat demikian.
Pendek kata,
menaiki kapal terbang menjadi sebahagian daripada
kehidupan moden baik bagi tujuan perniagaan, pelancongan,
tugasan mahupun kembali bercuti di kampung.
Wanita hamil
tidak terkecuali walaupun kadangkala, timbul keraguan
tentang keselamatan ibu dan anak dalam kandungan semasa
berada pada altitud yang tinggi, tahap kelembapan rendah
serta perubahan tekanan udara di dalam kabin pesawat.
Namun, secara
peribadinya, apa yang lebih membimbangkan adalah fakta
bahawa anda sedang berada di udara selama beberapa jam dan
yang mengalas di bawah hanyalah lautan nan terbentang luas.
Dan sekiranya
apa-apa berlaku semasa di atas, kemudahan perubatan yang
bakal anda terima adalah apa yang tersedia di dalam perut
kapal sahaja.
Dan apabila anak
kapal terpaksa membuat pengumuman, “Ada doktorkah di dalam
penerbangan ini, kita ada kes kecemasan”, sudah tentu ia
bukan sesuatu yang menggembirakan. Yang pasti, kapal
terbang bukanlah hospital yang bagus untuk bersalin.
Berdasarkan
laporan Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG),
keadaan persekitaran berkaitan penerbangan boleh
menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung, tekanan
darah tinggi naik dan sukar bernafas bagi ibu-ibu hamil
yang lemah sistem kardiovaskularnya.
Dalam kenyataan
yang sama, ACOG memberitahu, masa paling selamat untuk
terbang adalah apabila kandungan masuk tiga bulan kedua/trimester
kedua.
Kebanyakan
keguguran berlaku dalam tempoh trimester pertama manakala
trimester ketiga membawa risikonya yang tersendiri seperti
kelahiran pramatang dan lain-lain komplikasi.
Pakar Runding
Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pakar Puteri, Johor
Bahru, Johor, Dr. Laila Shikh A. Rahman berkata, umumnya
tiada sebarang komplikasi pada ibu atau bayi yang
dikandung semasa berada di udara.
“Kecuali jika
berlaku perkara-perkara yang tidak dijangka misalnya
kelahiran mengejut atau kecemasan obstetrik lain.
“Andai kata
berlaku kecemasan seumpamanya, bantuan yang dapat
diberikan pada tahap minimum. Ini wajib diketahui oleh
semua wanita hamil sebelum mengambil keputusan menaiki
pesawat,” katanya.
Menurutnya,
dalam kes-kes tertentu penerbangan tidak digalakkan atas
sebab-sebab kesihatan bagi mengelakkan komplikasi akibat
kelewatan atau ketiadaan bantuan jika berlaku sesuatu yang
tidak diingini kerana risikonya terlalu tinggi.
* Kelahiran
tidak cukup bulan
Dr. Laila
berkata, tiada bukti saintifik yang menyokong bahawa
penerbangan meningkatkan risiko keguguran atau kelahiran
tidak cukup bulan.
Kalau pun
berlaku, ia mungkin kerana si ibu stres jika penerbangan
mengambil masa yang lama dan dalam keadaan tidak selesa.
“Berlainan
dengan ibu yang hamil lebih daripada seorang janin,
mempunyai sejarah kelahiran tidak cukup bulan atau, pintu
rahim tidak ketat, risiko melahirkan bayi tidak cukup
bulan adalah lebih tinggi sekali pun tidak menaiki pesawat.
“Jika mempunyai
rancangan untuk menaiki pesawat, mereka harus mendapatkan
pemeriksaan teliti daripada pakar perbidanan dan
dicadangkan supaya menerima nasihat doktor dengan serius,”
ujar beliau.
Hal ini penting
kerana jika kelahiran berlaku di dalam pesawat, bantuan
terhadap bayi yang berisiko tinggi ini dapat diminimumkan.
* Fenomena
tromboembolisme (VTE)
Keadaan ini
menyebabkan darah membeku di dalam salurannya. Jika tidak
bernasib baik, darah beku itu kemudiannya beralih tempat
ke saluran darah di paru-paru lantas menghalang
pengoksigenan.
“Ini boleh
membawa kepada kematian mengejut. Fenomena ini pada
awalnya lebih kerap berlaku pada wanita Barat berbanding
Timur.
“Akibat
perubahan gaya hidup, pemakanan dan saiz badan, insidennya
diperhatikan meningkat di dalam masyarakat tempatan
khususnya pada wanita hamil berbadan besar,” jelas Dr.
Laila.
Di United
Kingdom, fenomena ini digelar Sindrom Kelas Ekonomi
berikutan berlakunya beberapa kes yang melibatkan kematian
mendadak wanita muda yang menaiki pesawat kelas ekonomi
dari perjalanan jauh, melebihi 18 jam.
“Semasa di dalam
pesawat terutamanya bagi perjalanan jauh, sangat perlu
untuk anda bergerak dari tempat duduk dari semasa ke
semasa.
“Minum air yang
mencukupi. Jika perjalanan terlalu jauh, penggunaan
stoking ketat khas dapat membantu mengurangkan risiko VTE.”
Bagi wanita
hamil yang pernah mengalami VTE, ada waris terdekat yang
mempunyai masalah sama atau mempunyai berat badan
berlebihan, pemeriksaan kesihatan yang teliti adalah
sangat mustahak sebelum perjalanan.
Ubat-ubat
tertentu mungkin dapat membantu mengurangkan risiko ini.
* Kekurangan
oksigen pada altitud tinggi
Semakin tinggi
kedudukan seseorang dari paras laut (altitud), semakin
rendah tekanan separa oksigen. Bagaimanapun, bagi
penerbangan komersil, altitud penerbangan lazimnya hanya
memberi perbezaan tekanan separa oksigen yang kecil.
Hal ini, kata
Dr. Laila, biasanya tidak memudaratkan bayi di dalam
kandungan kerana mereka dianugerahkan sistem pertahanan
yang dapat menahan perubahan tekanan separa oksigen yang
tidak keterlaluan.
“Bagaimanapun,
perbezaan kecil ini boleh memberikan kesan negatif
terhadap bayi yang dikandung oleh ibu anemia dan dinasihat
mendapatkan rawatan terlebih dahulu.
“Jika perjalanan
tidak dapat dielakkan sebelum anemia dapat dirawat, ibu
ini perlu mendapatkan bekalan oksigen dalam perjalanan,”
katanya.
Bagi pesakit sel
sikel (jarang berlaku di Malaysia), adalah lebih baik jika
perjalanan dapat dielakkan kerana krisis penyakit ini
lebih mudah berlaku pada altitud tinggi.
Jika tidak,
bekalan oksigen semasa perjalanan mungkin dapat membantu
mengurangkan risiko komplikasi.
* Kemalangan di
dalam pesawat
Tali pinggang
keselamatan di dalam pesawat harus dipakai di bawah perut
supaya jika terdapat sebarang pergerakan mendadak,
bahagian tulang pelvis yang akan menyerap impak tersebut
dan bukannya bahagian bertentangan rahim.
Sekali gus, ini
dapat mengurangkan risiko uri terpisah awal dari kawasan
tempelannya pada rahim ataupun kebocoran rahim. Kedua-dua
insidens ini boleh menyebabkan kematian ibu dan bayi.
* Kecemasan
obstetrik
Satu perkara
yang mesti diketahui, kata Dr. Laila, kehamilan risiko
rendah boleh berubah menjadi berisiko tinggi pada
bila-bila masa dan ada kalanya di luar jangkaan.
“Seseorang ibu
boleh dengan tiba-tiba terasa hendak bersalin dan
melahirkan bayi dalam waktu yang singkat walaupun sebelum
itu keadaannya adalah normal. Begitu juga dengan
komplikasi-komplikasi kehamilan lain yang boleh berlaku
secara mendadak.
“Syarikat
penerbangan tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan yang
mencukupi di udara walaupun kemudahan asas seperti oksigen
dan cecair aliran vena ada disediakan,” tambahnya.
Oleh itu, wanita
hamil harus bersedia secara mental untuk menghadapi risiko
sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan semasa di
dalam penerbangan.
Perjalanan
menaiki pesawat semasa hamil adalah selamat apabila
seseorang wanita itu berpengetahuan tentang risikonya dan
mengambil langkah-langkah wajar sebelum dan semasa
perjalanan.
“Wanita-wanita
hamil yang berisiko tinggi harus sedar akan bahaya yang
mungkin dihadapi dan dapat menimbangkan sama ada risiko
yang diambil benar-benar berbaloi.
“Adalah lebih
baik jika perjalanan ini dapat dielakkan. Mematuhi nasihat
doktor adalah sangat perlu dan mustahak di dalam konteks
ini,” tegas Dr. Laila. |