|
|
Penyakit
sawan semasa mengandung
Kebanyakan ibu-ibu yang mempunyai penyakit sawan, juga
dikenali sebagai epilepsi, boleh mengandung normal dan
seterusnya melahirkan zuriat yang sihat. Namun begitu,
penyakit sawan ini mempunyai risiko semasa mengandung,
lazimnya puan sudah pun tahu yang puan menghidapi penyakit
sawan dan dengan utuh dalam perhatian pakar perubatan
dalaman/pakar neurologi. Doktor-doktor ini akan menasihati
puan sebelum, semasa dan juga selepas bersalin.
Di hospital peringkat termaju seperti Hospital USM, puan
akan menjalani pemeriksaan mengandung di klinik antenatal
berkongsi dengan doktor pakar perubatan. Mereka memberikan
penjagaan perubatan serta obstetrik yang optimum supaya
kesejahteraan puan serta janin selamat serta tidak
berkomplikasi.
Artikel ini akan membimbing puan ke arah,
1. Penjagaan sebelum mengandung.
2. Risiko yang mungkin pada puan serta janin.
3. Perawatan semasa mengandung.
Penyakit sawan dan wanita
Sel saraf di otak menjanakan isyarat berelektrik dalam
penghantaran maklumat ke seluruh anggota badan. Maklumat
ini bertanggungjawab dalam pengendalian fungsi serta
pergerakan badan. Mereka yang mempunyai penyakit sawan,
pengendalian serta pengawasan fungsi ini terganggu,
langsung memberikan manifestasi dari segi kelakuan,
kekejangan otot-otot dan juga sawan.
Hormon wanita iaitu estrogen dan juga progesteron boleh
memberikan kesan pada keabnormalan sawan. Sebarang
perubahan di antara hormon-hormon tersebut memungkinkan
peningkatan ataupun penurunan frekuensi serangan sawan.
Mungkin juga pola serangan sawan berubah semasa mengandung
dan juga seawal selepas bersalin.
Ubat antisawan/antiepilepsi dapat mengawal serangan sawan,
doktor mungkin terpaksa preskripsi beberapa kategori
antisawan sebelum ubat yang paling sesuai untuk puan
ditetapkan.
Persedian untuk mengandung
Kadangkala ubat antisawan dikurangkan secara
perlahan-lahan sekiranya sejarah kesihatan puan tidak ada
kehadiran serangan sawan untuk 2 tahun atau lebih. Mungkin
juga doktor tidak mengesyorkan penurunan dos antisawan,
mungkin ubat puan akan ditukar pada ubat antisawan jenis
lain. Walaubagaimanapun, puan dinasihatkan supaya
memberitahu doktor akan niat untuk mengandung seawal
mungkin. Sesetngah ubat membahayakan janin,
walaubagaimanapun, serangan sawan lebih merbahaya pada
puan serta janin. Pakar perbidanan dan juga pakar
perubatan dalaman /neurologi akan berusaha menyelesaikan
mencari dos optimum yang bersesuaian, jenis ubat yang
selamat dan menghindarkan serangan sawan semasa mengandung.
Ubat antisawan ini memberikan kesan pada penggunaan asid
folik oleh badan. Ketidakcukupan asid folik boleh
mencacatkan janin. Oleh itu dinasihatkan walaupun tidak
berniat untuk mengandung, pengambilan asid folik perlu
dilakukan setiap hari.
Sebanyak 0.4 mg asid folik perlu diambil setiap hari
sebelum mengandung dan juga semasa tiga bulan mengandung
untuk mengurangkan insiden kecacatan janin. Pakar
pemakanan di hospital, jika di HUSM, mereka ditempatkan di
klinik dietitik, boleh membantu puan dalam pengambilan
makanan tempatan yang kaya dengan asid folik.
Risiko pada wanita
Kekerapan serangan berubah semasa mengandung, ada yang
menjadi lebih kerap, ada juga yang seperti sebelumnya dan
ramai pula yang menjadi lebih selesa. Paras ubat antisawan
dalam darah puan perlu diamati sekiranya serangan semakin
kerap. Disebabkan perubahan ketara fisiologi badan semasa
mengandung, perubahan hormon dan juga perubahan terhadap
metabolisma badan terhadap ubat, ujian darah diperlukan
untuk menentukan keberkesanan dos ubat antisawan yang
diberikan.
Risiko pada bayi
Secara keseluruhan, risiko untuk mendapat bayi yang cacat
dalam populasi adalah sekitar 2-3%, tetapi dengan penyakit
sawan, nilai ini bertambah menjadi sekitar 6-8%. Risiko
ini juga berkait dengan jenis ubat antisawan yang
digunakan. Di antara jenis-jenis lazim kecacatan bayi
adalah seperti:
1. Sumbing bibir serta lelangit pada mulut.
2. Keabnormalan tiub neural, contohnya spina bifida.
3. Bayi yang rendah berat kelahirannya
4. Kepala kecil
5. Ketandusan dari segi tumbesaran serta perkembangan.
6. Terencat mental
7. Masalah pembekuan darah
8. Masalah sawan pada masa hadapan.
Kelahiran
Kelahiran secara normal dibolehkan, kelahiran secara
pembedahan hanya apabila pemasalahan obstetrik timbul.
Jagaan selepas bersalin
Perubahan fisiologi badan puan selepas bersalin ke arah
sebelum mengandung mengharuskan pertukaran dos dan jenis
ubat antisawan yang digunakan. Ubat antisawan ini juga
boleh menganggu paras hormon di badan puan. Ini memberikan
kesan keberkesanan pada kaedah perancangan keluarga.
Mungkin kaedah berlandaskan hormon menjadi kurang berkesan
dan perlu diiringi dengan penggunaan metoda lain seperti
kondom, ubat pembunuh sperma dan sebagainya.
Sejurus kelahiran, bayi akan disuntik dengan vitamin K,
ini adalah kerana paras vitamin K yang kurang dengan
penggunaan ubat antisawan. Vitamin K membantu dalam sistem
pembekuan darah.
Penyusuan badan dibenarkan, hanya sedikit sahaja paras
ubat antisawan terdapat dalam susu badan, walau
bagaimanapun, ketetapan ini akan ditentukan oleh doktor
yang merawat puan. |