|
|
Susu ibu ada
khasiat tinggi, bebas bakteria, jadikan bayi lebih sihat
BAGI ibu yang baru melahirkan anak, waktu penyusuan adalah
antara saat paling dinantikan. Kehangatan tubuh bayi
ketika didakap, menimbulkan sesuatu perasaan yang sukar
digambarkan dengan kata-kata. Bagaimanapun, bukan semua
ibu berjaya menyusukan bayi mereka. Antara alasan yang
diberikan termasuk ketiadaan pengeluaran susu, tidak
pandai menyusukan bayi masing-masing atau tahap kesihatan
tidak membenarkan.
Kajian menunjukkan bayi yang diberikan penyusuan badan
mampu mengawal selera berbanding pemberian susu formula
kerana bayi akan menangis apabila lapar, sebaliknya bayi
yang diberikan susu formula tidak dapat menentukan bila
rasa lapar menjadikan ia antara penyebab bayi lebih mudah
mendapat obesiti pada masa akan datang.
Bayi perlu disusukan mengikut permintaan yang mana secara
lazimnya setiap satu setengah jam hingga tiga jam, namun
si manja akan menangis bila lapar dan anda dapat mengenali
tangisan itu apabila lama kelamaan ia akan semakin panjang
dan kuat. Persoalannya, sekerap mana penyusuan perlu
dilakukan?
Pakar Pemakanan, Prof Dr Norimah A Karim di dalam kertas
kerja bertajuk ‘Dari baru lahir ke usia setahun’
menyatakan bayi mungkin menyusu lebih kerap pada waktu
tumbesaran meningkat dan kembali kepada corak biasa
beberapa hari selepas itu.
Beliau berkata, apa yang penting ialah menyusukan bayi
selama mana yang diinginkan, bagaimanapun selalunya
apabila kenyang, anak anda akan ‘memberitahu’ dengan
menghentak genggamannya atau membengkokkan badannya, atau
‘menolak’ apabila diberikan susu.
“Susu ibu adalah yang terbaik kepada bayi kerana ia
mengandungi khasiat yang tinggi selain bebas daripada
bakteria dan sentiasa segar kerana boleh disusukan
bila-bila masa. Khasiat dan kandungan antibodi menyebabkan
bayi menyusu ini lebih sihat,” katanya ketika ditemui,
baru-baru ini.
Walaupun menyusukan dikatakan mudah, ibu perlu faham
bahawa posisi menyusu yang salah boleh menjadikan tekanan
kepada ibu apabila badan menjadi lenguh dan bayi pula
mengamuk kerana tidak puas menyusu atau berada dalam
keadaan yang tidak selesa.
Keadaan bilik yang sunyi adalah lokasi yang paling baik
menjalani proses penyusuan kerana bayi akan memberikan
lebih tumpuan selain ibu mempunyai lebih masa
berkomunikasi dengan bayi menerusi pandangan mata,
bercakap dengan bayi atau membelai tubuh mereka.
Penggunaan nada suara yang berbeza atau menyanyikan lagu
kepada mereka adalah lambang sayang anda kepada si kecil.
Mungkin mereka belum memahami, tetapi itulah sebenarnya
pembentukan hubungan mesra antara ibu dan anak, membuatkan
bayi berasa dihargai, selamat seterusnya meningkatkan
harga diri dan keyakinannya.
Walaupun susu ibu terhasil secara semula jadi, ibu perlu
pastikan pada waktu ini pemakanan mereka diberikan
perhatian sewajarnya supaya kualiti susu berada pada tahap
terbaik dengan mengambil makanan berkhasiat selain
menghindari teh dan kopi kerana ia dikatakan menyebabkan
bayi menjadi terlalu aktif.
Ambil hidangan seimbang dengan makan pelbagai jenis
makanan yang kaya dengan nutrien seperti kalsium, zat besi,
iodin, zink dan pelbagai vitamin. Jangan lupa, lebihkan
minuman menjamin bekalan mencukupi untuk tubuh ibu sendiri
serta penghasilan susu.
Tidak dinafikan ibu yang menyusukan perlukan sokongan
suami dan seluruh ahli keluarga. Ada ibu yang merungut
proses menyusukan mengambil masa yang lama dan membosankan
menyebabkan mereka memilih susu formula. Bagi
menghilangkan rasa bosan itu ibu boleh memilih pelbagai
posisi yang selesa untuk menyusukan bayi.
Susu adalah hak bayi dan ibu tidak seharusnya memikirkan
keselesaan diri sendiri. Berunding dengan doktor sekiranya
anda berhadapan masalah tiada susu kerana ‘kekeringan’
susu ada kaitan dengan psikologi ibu yang merasakan ia
suatu bebanan kerana ia halangan fikiran dalam proses
penghasilan susu.

Posisi penyusuan yang baik
Sentuh bibir bayi dengan hujung puting sehingga dia
membuka mulutnya. Biarkan dia membuka luas mulutnya untuk
memenuhi sebahagian besar areola (bahagian berwarna coklat).
Gerakan rahang dan bunyi tegukan memastikan yang bayi
menyusu dalam posisi yang betul. Selepas menyusu, masukkan
hujung jari kelingking anda di hujung mulut bayi untuk
menghentikan hisapan.
Refleks ‘let-down’ atau pancutan
susu
Refleks ‘let-down’ adalah rasa berdenyut yang menandakan
aliran hangat susu sebaik saja bayi berada pada posisi
penyusuan yang betul. Jika anda tidak mengalami rasa ini,
ia mungkin disebabkan oleh gangguan, tiada ruang untuk
bersendirian, rasa malu atau cemas mengenai penyusuan susu
ibu, letih atau sakit.
Beralih payudara
Jika boleh, berikan bayi menyusu dari kedua-dua belah
payudara pada setiap kali menyusu. Susukan bayi pada satu
payudara sehingga dia berhenti menghisap. Angkat bayi,
sendawakannya dan alihkannya ke payudara sebelah dan
teruskan menyusu sehingga dia kenyang. Untuk penyusuan
yang berikutnya, mulakan pada payudara yang terasa sarat
dengan susu.
Sendawakan Bayi
Sendawakan bayi setiap kali selesai penyusuan. Dia mungkin
termuntah susu, jadi pastikan anda menyediakan tuala. Jika
dia tidak sendawa selepas 30 saat, dia mungkin tidak perlu
disendawa. Letakkan bayi di bahu anda dan gosok atau tepuk
perlahan belakang badannya.
Pilih posisi yang selesa
Dapatkan posisi yang membuat anda dan bayi rasa selesa.
Tubuh bayi haruslah rapat kepada anda dan mukanya bertemu
dengan payudara anda. Mulutnya haruslah berhampiran dengan
puting dan kepala, leher dan belakangnya perlulah dalam
keadaan lurus. Belakang badan anda juga perlulah tegak,
jangan membongkok. Gunakan bantal untuk bersandar, jika
perlu.
Posisi dakapan- Ini adalah posisi klasik dan menjadi
kegemaran kebanyakan ibu. Ia membolehkan perut bayi dan
perut anda bertemu supaya anda tidak perlu memusingkan
kepalanya untuk menyusu. Kepala bayi berehat di dalam
dakapan anda, sokong belakang badan dan punggung bayi
serta lengan bayi perlu berada di bahagian sisinya
Posisi ‘football hold’- Posisi ini sangat sesuai jika anda
baru pulih daripada pembedahan ‘cesarean’ memiliki
payudara yang besar, menyusukan bayi pramatang atau bayi
yang kecil saiznya atau menyusukan anak kembar pada waktu
yang serentak. Sokong kepala bayi dengan tangan, gunakan
bantal untuk menyokong belakang badan anda.
Posisi berbaring - Cuba posisi ini apabila anda dan bayi
rasa letih. Jika anda baru pulih daripada pembedahan
‘Cesarean’ ini mungkin satu-satunya posisi yang boleh anda
cuba pada beberapa hari pertama. Sokong kepala anda dengan
lengan dan sokong bayi anda dengan lengan atas |