|
Bila kandungan terlebih bulan
MENUNGGU
kelahiran cahaya mata yang sedang dikandung merupakan satu
peristiwa yang mendebarkan tetapi menggembirakan.
Apatah lagi dewasa ini boleh dikatakan lebih ramai
pasangan yang memulakan institusi kekeluargaan pada umur
lebih matang setelah membina kerjaya masing-masing,
berbanding zaman ibu bapa mahu pun datuk nenek kita dahulu.
Ramai ibu melahirkan zuriat mereka di antara minggu ke-38
hingga ke-42 dan tidak ramai yang bersalin pada tarikh
yang dijangkakan oleh doktor yang merawat.
Adalah normal sekiranya bakal ibu atau ibu-ibu melahirkan
anak mereka tiga minggu sebelum ataupun dua minggu selepas
jangkaan asal.
*Tarikh jangkaan kelahiran
“Purata tempoh mengandung adalah selama 280 hari atau
bersamaan 40 minggu – dikira dari hari pertama datangnya
haid yang terakhir. Hanya 5 peratus sahaja kelahiran
berlaku pada tarikh yang dijangkakan.
“Tarikh jangka kelahiran sebenarnya satu panduan kepada
doktor untuk memeriksa kemajuan kandungan puan, tumbesaran
janin serta umur semasa,’’ kata Dr. Shah Reza Johan Noor.
Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital
Universiti Sains Malaysia itu, kebiasaannya doktor akan
menggunakan pelbagai petunjuk untuk mendaftar umur semasa
janin serta tarikh kelahirannya.
“Saiz rahim juga dapat memberikan anggaran umur kandungan.
Ultrasound yang biasa digunakan di klinik perbidanan juga
dapat memberikan umur serta tarikh kelahiran, dengan ralat
yang diambil kira mengikut trimester kandungan.
“Ibu-ibu haruslah bergegas untuk pemeriksaan mengandung
seawal yang mungkin kerana jika lambat, penentuan tarikh
akan menjadi lebih sukar dan mungkin tidak tepat,’’
ujarnya.
*Kandungan melebihi penggal
Beliau berkata, kandungan dikatakan melebihi penggal
sekiranya ia menjangkau 42 minggu. Berdasarkan kebanyakan
amalan perbidanan di Malaysia, ibu-ibu akan didorong untuk
menjalani induksi (cetusan) kelahiran sebelum penggal ini
berlalu.
“Bila wanita sebenarnya mengandung mungkin tidak diketahui.
Justeru, doktor dan jururawat cuba membuat ramalan
menggunakan parameter-parameter tertentu.
“Dalam kebanyakan kes, doktor mahupun jururawat meragui
akan kesihatan bayi di dalam kandungan sekiranya melebihi
penggal 42 minggu,’’ jelas Dr. Shah Reza.
*Mengira
tarikh kelahiran
Tarikh boleh diramalkan dengan mengira ke hadapan 40
minggu (280 hari) dari hari pertama haid terakhir.
Ini berdasarkan kenyataan bahawa persenyawaan berlaku dua
minggu selepas hari pertama haid. Cara begini, anda
diramalkan untuk membawa kandungan selama 38 minggu.
Cara lain untuk mengira tarikh kelahiran adalah seperti
berikut:
1. Pastikan hari pertama haid puan yang terakhir.
2. Campurkan tujuh hari.
3. Tolak tiga bulan.
4. Campur setahun
Sebagai contohnya:
1. 1 April 2006 + tujuh hari = 8 April 2006
2. 8 April 2006 - tiga bulan = 8 Januari 2006
3. 8 Januari 2006 + setahun = 8 Januari 2007
Sekarang, pengiraan telah meramalkan kelahiran anak puan
pada 8 Januari 2007.
Sekiranya kandungan melebihi penggal iaitu melebihi 42
minggu, risiko-risiko seperti sindrom dysmaturity akibat
ketidakupayaan uri menyebabkan stres dan kekurangan
oksigen pada janin; bayi tertelan tinja atau najis pertama
bayi baru lahir yang lekit dan berwarna hijau tua atau;
makrosomia di mana janin menjadi besar. Risiko kelahiran
melalui pembedahan turut meningkat.
*Risiko mengandung melebihi penggal
Dr. Shah Reza menerangkan: “Risiko terhadap kandungan dan
juga ibu bertambah sekiranya melebihi penggal 42 minggu.
Lagi lama kandungan dibiarkan, lagi bertambahlah
permasalahan, walaupun bukan semuanya berakhir sedemikian.
“Uri mungkin tidak berfungsi sebaik mungkin manakala air
amniotik juga berkurangan. Ini boleh menyebabkan tekanan
dan tersepit semasa berlakunya kontraksi (pengecutan) dan
boleh memudaratkan kandungan.’’
*Ujian-ujian
Apabila ibu-ibu
menghampiri tempoh jangkaan kelahiran, ada beberapa ujian
yang mungkin terpaksa dilalui bagi menentukan
kesejahteraan bayi di dalam kandungan.
Ujian seperti `pergerakan
harian janin’ boleh dilakukan sendiri di rumah.
Ujian-ujian lain seperti kardiotokografi untuk tegasan
tanpa kontraksi, profil biofizikal dan ultrasound perlu
dilakukan oleh pakar.
“Pergerakan
harian janin mengambil kira pergerakan bayi di dalam
kandungan yang lazimnya lebih kurang sama bilangannya,
setiap hari.
“Doktor atau
jururawat akan memberitahu anda bagaimana dan bila
pergerakan ini perlu diamati dan direkodkan,’’ kata Dr.
Shah Reza sambil menambah, suami juga boleh berperanan
merasai pergerakan ini dengan meletakkan tangan pada perut
isteri.
Mengulas lanjut, pengawasan janin secara elektronik pula
memerlukan satu peralatan khas yang mengesan denyutan
jantung anak dan juga kontraksi pada bahagian atas rahim.
1. Ujian tegasan
tanpa kontraksi - ujian ini merekodkan perubahan pada
denyutan jantung, serta kontraksi yang berlaku.
Apabila janin bergerak, denyutan nadinya berubah dan ini
memberikan rangsangan positif pada kertas pengesanan.
2. Profil
biofizikal – ujian ini mencantumkan ujian tegasan tanpa
kontraksi dengan ujian ultrasound. Cecair likuor,
pergerakan pernafasan janin dan nada otot-otot
diperhatikan.
Ujian secara
elektronik ini memerlukan kepakaran untuk ditafsirkan,
doktor pakar perbidanan anda bertanggungjawab terhadap
ujian secara elektronik ini.
Untuk pergerakan
harian janin pula, kata Dr. Shah Reza, wanita hamil
sendiri perlu mengamati pergerakan bayi yang dikandung.
“Satu carta
pergerakan akan diberikan, bayi mempunyai banyak anggota
dan sendi-sendi yang bergerak dalam satu masa.
“Untuk lebih
mudah, anggaplah sebarang pergerakan dalam satu julat masa
15 minit sebagai satu kelompok pergerakan, jadi dalam satu
jam ada empat julat 15 minit.
“Ini bermakna
pengamatan pergerakan adalah sebanyak empat kali,’’ jelas
beliau.
Bayi di dalam kandungan juga mempunyai masa tidur
tersendiri yang mungkin berlangsung dari 20 hingga 40
minit.
Pergerakan juga lebih aktif apabila ibu-ibu berada dalam
keadaan yang kenyang. Maklumkan dengan segera kepada
doktor atau jururawat sekiranya pola dan ritma pergerakan
berubah dari hari sebelumnya.
*Induksi kelahiran
“Doktor mungkin akan menasihati anda agar menjalani
induksi (permulaan bersalin secara buatan) kelahiran
sekiranya puan melebihi penggal mengandung.
“Induksi ini menyebabkan perubahan pada pangkal rahim
untuk persedian kelahiran melalui faraj,’’ Dr. Shah Reza.
Secara amnya, induksi ini bergantung pada faktor-faktor
tertentu seperti:
* Keadaan semasa anda serta bayi yang dikandung
* Tempoh mengandung sekarang
* Perubahan pada pangkal rahim
* Ujian-ujian penentuan kesejahteraan janin.
Kaedah-kaedah induksi yang digunakan untuk menyebabkan
perubahan pada pangkal rahim termasuklah:
* Prostaglandin dalam bentuk pil yang dimasukkan melalui
faraj, menyebabkan pangkal rahim menjadi lembut sekali gus
membolehkan kontraksi bermula
* Membocorkan kantung amniotik iaitu kantung seperti belon
berisi air yang mengelilingi janin yang sedang membesar
serta melindunginya daripada tekanan luaran.
Biasanya anda akan merasai kontraksi selepas beberapa jam
kantung tersebut dibocorkan
* Menggunakan ubat oksitosin yang diberikan melalui sistem
pembuluh darah di tangan anda
Kata Dr. Shah Reza, langkah-langkah tersebut di atas
bertujuan agar kelahiran dapat berlaku secara normal.
“Walaubagaimanapun, kelahiran melalui pembedahan mungkin
terpaksa diambil sekiranya situasi semasa (sama ada ibu
atau bayi) bertukar menjadi situasi kecemasan yang boleh
memudaratkan jika ditunggu lebih lama.’’
Doktor pakar perbidanan sudah tentu mahukan seorang ibu
yang selamat dan bayi yang sihat melalui proses bersalin.
Maklumlah, perjalanan mengandung anda sangat lama iaitu
purata 280 hari! |