|
|
Bila lelaki
‘bersalin’
SESUATU yang paling menggembirakan pasangan suami isteri
khususnya suami apabila diberitahu mereka bakal menimang
cahaya mata.
Seronoknya bukan kepalang, bagaikan tidak sabar-sabar
mendengar tangisan dan rengekan si comel.
Menceriakan isteri andai si suami terus bersamanya dari
awal mengandung hinggalah saat kelahiran dan bersedia
untuk melakukan apa saja bila tiba saat kelahiran itu.
Mereka nampak begitu bersemangat bersama isteri
masing-masing mengikuti ceramah yang diberikan.
Sekali-sekala terdengar juga deraian ketawa memecah
suasana senyap pada bengkel istimewa untuk wanita hamil
dan suami.
Pada bengkel ‘Pendidikan Kesihatan Ibu Mengandung’,
anjuran Jawatankuasa Laktasi, Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM) itu, ketawa berderai lebih ketara apabila
rakan mereka dipanggil menjadi model ibu yang bakal
bersalin normal di bengkel tersebut.
Timbalan Pengarah (Ikhtisas) PPUM, yang juga Perunding
Perbidanan dan Sakit Puan, Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan
merangkap pengerusi jawatankuasa tersebut, pada pagi itu
menjemput seorang peserta untuk menerangkan bagaimana
keadaannya bila isteri bersalin normal, melalui pembedahan
Caesarean dan bagaimana suami boleh membantu dalam suasana
genting itu.
Peserta tersebut yang merupakan pakar psikologi, Alexius
Cheang Weng Onn yang begitu sporting orangnya berbaring
dan bersedia mendengar arahan Dr. Jamiyah.
Beliau turut belajar senaman pernafasan seperti menarik
nafas dan menghembus nafas serta meneran seperti yang
dilakukan wanita ketika bersalin.
"Oh..., payah juga untuk berbuat begitu dan yang jelas
bukan senang menjadi ibu. Ia merupakan satu pengalaman
yang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui
selepas bengkel tersebut.
Apa pun, kebanyakan suami dan isteri yang hadir pada kelas
itu cukup aktif bertanya soalan demi soalan dalam setiap
sesi yang diadakan.
Selain Dr. Jamiyah yang menyentuh mengenai proses
mengandung dan kelahiran, turut memberi ceramah pada hari
itu ialah Jururawat Laktasi, Rohaya Abd. Hamid yang
membentangkan ceramah Penyusuan Ibu sementara Jururawat
Laktasi, Norazah Zainal bercakap mengenai Penjagaan Ibu
dan Bayi.
Pada bengkel tersebut, Dr. Jamiyah menjelaskan secara
terperinci mengenai proses kelahiran dan perihal sakit
bersalin atau labour.
Kata Dr. Jamiyah, bengkel ini diadakan bertujuan memberi
pendedahan kepada isteri dan juga suami mengenai situasi
yang akan berlaku apabila isteri mahu bersalin.
Tambahnya, segala pengetahuan yang ada akan mengelakkan
seseorang itu daripada menjadi panik.
"Kita tidak mahu ada suami yang pengsan bila isteri
meneran untuk bersalin,” ujarnya yang disambut dengan
gelak ketawa yang menggegarkan bengkel tersebut.
Beliau berkata, dalam keadaan isteri bersalin, suami juga
perlu bersedia untuk apa juga kemungkinan. Pastinya,
kehadiran suami merupakan satu sokongan semangat buat
isteri.
"Doktor hanya memudahkan proses kelahiran, kerana
kelahiran itu sendiri berlaku secara semula jadi dan jika
ada apa-apa masalah berkaitan, pihak perubatan sudah
bersedia,” katanya lagi.
Pemeriksaan
Ujarnya, isteri mahupun suami tidak perlu bimbang, kerana
semua adalah terkawal apalagi jika mereka melakukan
pemeriksaan secara berkala seperti yang disyorkan doktor.
Cuma ada sesetengah kes, timbul pula salah faham apabila
ibu meminta dipercepatkan kelahiran selepas melalui labour
yang agak panjang.
"Apabila keadaan ini berlaku, pihak doktor atau jururawat
akan melihat dulu keadaan ibu sama ada boleh dipercepatkan
kelahiran atau sebaliknya.
"Jika rahim dan pintu rahim belum bersedia untuk bersalin,
maka ia tidak boleh dipercepatkan kerana ia boleh
menyebabkan rahim koyak dan menjejaskan keselamatan ibu
dan anak,” kata Dr. Jamiyah lagi.
Begitu juga halnya kalau pesakit memilih untuk mendapatkan
rawatan epidural bagi mengurangkan sakit bersalin,
semuanya perlu dimaklumkan lebih awal kepada pihak doktor.
Tidak terkecuali, kalau ada yang memilih pembedahan
Caesarean sebagai opsyen untuk bersalin kerana tidak mahu
bersalin normal.
"Bagaimanapun dalam sesetengah kes, kelahiran secara
Caesarean perlu apabila terjadinya komplikasi termasuk
tulang pinggul kecil, pintu rahim tidak terbuka atau sakit
bersalin yang terlalu lama,” katanya.
Bagi setiap pembedahan yang dilakukan, jelasnya, semua
pakar yang berkaitan seperti bius, pakar kanak-kanak dan
pakar perunding sakit puan, berada dalam keadaan
berjaga-jaga untuk membantu sekiranya timbul masalah.
"Lantas ibu- ibu tidak perlu bimbang manakala pihak bapa
tidak perlu panik kerana proses kelahiran adalah sesuatu
yang lumrah, kalau tidak masakan ramai manusia di muka
bumi ini,” ujar Dr. Jamiyah tersenyum.
Selepas memperkatakan mengenai kelahiran, para peserta
turut didedahkan dengan kepentingan penyusuan ibu dan
penjagaan bayi semasa dalam pantang.
Beliau kemudiannya mengingatkan ibu-ibu supaya tidak
memakai barang kemas, menghilangkan pengilat kuku (jika
mengilat kuku) di jari bila datang ke hospital.
Ini kerana, barang-barang kemas boleh merangsang aliran
elektrik semasa melakukan sesuatu pembedahan. Bahan
pengilat kuku pula boleh menghalang doktor untuk memeriksa
perjalanan darah di bawah kawasan kuku di hujung jari.
Dr. Jamiyah memberitahu, semasa mengalami sakit bersalin,
pesakit tidak akan diberikan sebarang makanan kerana ia
boleh menyebabkan kemudaratan sekiranya pesakit mengalami
masalah dan perlukan pembedahan. Penghadaman makanan
sewaktu proses bersalin adalah lambat.
"Jika didapati ibu tidak boleh melahirkan dengan normal,
maka ia perlu dibedah untuk menyelamatkan ibu dan anak.
"Sekiranya makanan diberikan dan tempohnya kurang daripada
enam jam, maka dikhuatiri jika berlaku komplikasi sewaktu
proses bius (intubation) makanan itu akan mengalir ke
paru-paru (aspiration) dan ini bukan sahaja membahayakan
ibu, tetapi juga anak.
"Sayangnya ada yang tidak faham dan menganggap kami
sengaja tidak mahu memberi makan,” ujar Dr. Jamiyah lagi.
Mesra suami
Apa yang penting dan perlu diketahui adalah selepas proses
bersalin selesai, penyusuan ibu perlu dimulakan segera
demi kebaikan bayi.
Suami atau keluarga juga perlu memberi galakan kepada ibu
agar dia berasa cukup selesa menyusukan bayinya.
Menurut Dr. Jamiyah, pihaknya berasa gembira setiap kali
bengkel diadakan kerana sambutan daripada suami isteri
begitu menggalakkan.
"Kami ingin mewujudkan suasana ‘mesra suami’ yang akan
menguntungkan suami, ibu dan anak.
"Kehadiran suami bukan sahaja memberi semangat malah dapat
meringankan kesakitan yang dialami isteri,” kata beliau.
Dr. Jamiyah turut menarik perhatian, jika semuanya
berjalan lancar, wad bersalin dan pediatrik PPUM akan
menjalani proses pengubahsuaian.
Kerja-kerja pengubahsuaian di bangunan asal akan
dijalankan pada pertengahan tahun dan bangunan baru
kompleks obstetrik dan pediatrik akan dimulakan pada masa
yang sama.
Bangunan obstetrik mempunyai sembilan tingkat termasuk
tingkat bawah tanah. Buat masa ini, kapasiti PPUM boleh
menampung lebih kurang 900 katil. Apabila kerja-kerja
pengubahsuaian dan pembesaran kapasiti PPUM bertambah, ia
boleh menampung lebih kurang 1,200 katil.
Jika tiada aral, projek tersebut dijangka siap penghujung
tahun depan. Apabila semuanya siap kelak, lebih banyak
program yang boleh diadakan untuk kepentingan ibu dan anak,
ujar beliau. |