|
|
Menunggu
kelahiran anak pertama
|
SAAT
menimang cahaya mata yang pertama merupakan sesuatu
yang paling menggembirakan pasangan suami isteri.
Bermula detik inilah, si suami akan bergelar bapa dan
isteri digelar ibu.
Perasaan
riang tatkala mendengar tangisan bayi comel yang baru
sahaja dilahirkan pasti menceriakan lagi pasangan
suami isteri. |
|
 |
|
|
|
|
Si Isteri pula
berasa lega dapat memberikan zuriat kepada suaminya dan
suami pula tidak putus-putus memberikan sokongan dari awal
mengandung hinggalah saat kelahiran.
Semangat inilah yang dapat dilihat melalui riak wajah
peserta-peserta bengkel kesihatan khusus untuk ibu bapa
yang bakal menerima kelahiran anak pertama mereka.
Bengkel istimewa untuk wanita hamil dan suami itu
dianjurkan oleh Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang,
Kuala Lumpur ternyata menyuntik semangat mereka dalam
membuat persediaan menimang cahaya mata.
Sesekali terdengar juga deraian ketawa memecah suasana
senyap pada bengkel yang disampaikan oleh Ketua Jururawat
bahagian Klinik Ibu Mengandung, Hospital Pakar Ampang
Puteri, Jamilah Ibrahim.
Pelbagai pengetahuan yang dipelajari melalui bengkel yang
diadakan sebanyak empat sesi. Ini termasuklah panduan
mengurangkan alahan ketika mengandung, proses mengandung
dan melahirkan serta penjagaan bayi.
Pada pengkel tersebut, Jamilah menerangkan secara
terperinci mengenai proses kelahiran dan perihal sakit
bersalin atau lebih dikenali sebagai labour.
Tambah Jamilah, bengkel ini bertujuan memberi pendedahan
kepada isteri dan juga suami mengenai situasi yang akan
berlaku apabila isteri hendak bersalin.
“Ilmu yang saya sampaikan akan mengelakkan suami dan
isteri itu menjadi panik.
“Kita mahu suami tetap tenang dan sentiasa bersada di sisi
isteri apabila isteri berada di wad bersalin,’’ jelasnya.
Melalui tayangan slaid, peserta didedahkan dengan keadaan
ketika hendak bersalin terutamanya ketika proses meneran
berlaku.
Jamilah memberitahu, segala pengetahuan ini akan
mengelakkan seseorang itu daripada menjadi panik.
Malah, ibu perlu mengetahui cara bernafas dan meneran
dengan betul ketika hendak bersalin.
“Setiap ibu bapa perlu bersedia menghadapi sebarang
situasi dan doktor atau pihak perubatan sebenarnya hanya
memudahkan proses kelahiran,’’ jelasnya.
Menurut Jamilah, sekiranya bakal ibu melakukan pemeriksaan
secara berkala seperti yang disyorkan doktor, semuanya
akan berada dalam keadaan yang terkawal.
“Ibu yang melalui labour yang agak panjang, tidak bermakna
proses kelahiran boleh dipercepatkan.
“Jika pintu rahim belum bersedia untuk terbuka, maka
pasangan perlu bersabar kerana dengan mempercepatkan
kelahiran, ia boleh menjejaskan keselamatan ibu dan anak
dan pintu rahim akan terkoyak,’’ katanya.
Jamilah menjelaskan, kelahiran secara normal adalah proses
yang semula jadi dan semua bakal ibu perlu menghadapinya
dengan hati yang terbuka serta tenang.
“Terdapat juga rawatan epidural dan pembedahan atau
Caesarean untuk bersalin sekiranya ibu tidak mahu bersalin
secara normal.
“Kelahiran secara pembedahan juga perlu apabila terjadinya
komplikasi termasuk tulang pinggul kecil,sakit bersalin
terlalu lama atau pintu rahim tidak terbuka,’’ jelasnya.
Selepas membincangkan mengenai kelahiran, para peserta
turut didedahkan dengan kepentingan penjagaan bayi ketika
pantang.
Ini termasuklah tentang penyusuan ibu, cara memandikan
bayi dan aspek pemakanan yang sihat untuk ibu dan anak.
Apa yang paling penting bengkel seperti ini sebenarnya
telah mewujudkan kemesraan antara suami dan isteri.
Kehadiran suami di sisi isteri dari awal mengandung
hinggalah selamat melahirkan bayi dapat meringankan
kesakitan yang dialami isteri.
Dalam pada masa yang sama, Hospital Pakar Ampang Puteri
turut menyediakan perkhidmatan seperti berkunjung ke rumah
pesakit selepas melahirkan anak sekiranya mereka tidak
mempunyai keluarga terdekat untuk menjaganya ketika
pantang.
Pihak hospital akan melawat mereka untuk memastikan ibu
dan anak berada dalam keadaan sihat.
Bagi mereka yang berminat mengetahui maklumat lanjut
mengenai bengkel ini, mereka boleh menghubungi pihak
hospital di talian 03-4270 2500.
APA KATA PESERTA?
Bagi pasangan yang bakal menimang cahaya mata akhir Ogos
ini, Norazleen Abdul Razak, 30, dan Zulhaimi Abdul Rahman,
30, melalui bengkel ini mereka mendapat pendedahan awal
tentang proses kelahiran.
“Kami juga dapat berkongsi cerita dengan peserta-peserta
yang lain yang rata-ratanya sebaya dengan kami.
“Isu-isu yang diutarakan begitu menarik dan kami juga
dapat menggambarkan proses yang bakal dilalui,’’ jelas
pasangan yang tinggal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Linda Carolila, 27 dan Hisham Garian, 34,
berkata, bengkel ini menolong mereka membuat persiapan
awal untuk menerima kehadiran bayi dalam hidup mereka.
Linda yang berasal dari Indonesia dan Hisham yang
berketurunan Arab menganggap bengkel ini cukup memberi
manfaat kepada pasangan suami isteri terutamanya yang
tidak ada keluarga di sisi untuk menceritakan proses
kelahiran yang sebenar. |