_ _ _ _
 
_
 

 

 
_ _ _ _
   

 

 

Laman Utama | Hubungi

 
 
_
 
   

 

   
  Timba Ilmu Dalam Bidang Perubatan Alternatif
   
  _

 

ISLAMABAD, 15 Feb (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata rakyat Malaysia harus mengambil peluang menimba ilmu dalam bidang perubatan alternatif termasuk perubatan herba di Pakistan.

Perdana Menteri berkata, ilmu dalam bidang perubatan herba akan memberi banyak manfaat kepada Malaysia kerana tumpuan kini diberikan dalam bidang bioteknologi dalam bidang perubatan alternatif.

"Dengan itu siapa jua yang ada pengetahuan dalam bidang ini, dia mempunyai pengetahuan yang relevan bagi keperluan negara kita pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada jamuan malam bersama rakyat Malaysia di Pakistan serta delegasi Malaysia yang sedang melawat Pakistan.

Abdullah menggesa ahli-ahli perniagaan Malaysia mengambil peluang hubungan baik Malaysia-Pakistan dengan membentuk perkongsian strategik dengan rakan-rakan niaga di Pakistan untuk melabur di negara itu dalam bidang-bidang berpotensi.

Perdana Menteri turut menasihati rakyat Malaysia di Pakistan supaya sentiasa menjaga imej dan nama baik negara dengan melakukan apa yang terbaik di negara ini.

Pelajar, katanya tidak harus terlibat dalam kegiatan yang tidak diingini, yang boleh menimbulkan perasaan tidak senang di pihak kerajaan Pakistan, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran supaya mereka akan mendapat kejayaan cemerlang.

Peniaga Malaysia pula harus mencapai reputasi yang baik, yang sentiasa mengutamakan amalan perniagaan yang baik, agar Malaysia sentiasa dipandang tinggi oleh Pakistan, yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia.

Abdullah berharap rombongan perniagaan yang turut serta dalam lawatannya ke Pakistan dapat menggunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya untuk memula dan mengembangkan perniagaan dan perusahaan di republik ini.

Perdana Menteri memulakan lawatan empat hari ke Pakistan hari Selasa dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Rombongan Malaysia disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz; Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin; Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Tan Chai Ho.

Turut serta ialah rombongan ahli perniagaan seramai 60 orang.

Sumber: BERNAMA, 16 Februari 2005

(Dipetik dari laman Office of the Prime Minister of Malaysia - www.pmo.gov.my)

   
  Click for english edition
   
  Kembali ke laman sebelum ini...
   
   
   
   
   
 
 

_

 
   
     
 

 
 

 

 
     
   
 
_ _ _
 

© Copyright 2006. www.EdaranSalindah.com