|
|
Mangsa bersalin dalam kenderaan bomba
KOTA BHARU 17
Dis. – Seorang wanita melahirkan bayi lelaki seberat 2.5
kilogram dalam kenderaan bomba kerana tidak sempat sampai
ke klinik akibat banjir.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, Norizan Yusoff, 32,
dari Kampung Padang Mandul dekat sini yang mengadu sakit
hendak bersalin dibawa dengan bot dari rumahnya ekoran
kampung itu ditenggelami banjir sebelum dibawa dengan
kenderaan bomba ke klinik berhampiran.
Bagaimanapun ketika tiba di pekarangan klinik itu mangsa
tidak sempat dibawa turun dan melahirkan bayi dalam
kenderaan berkenaan dengan bantuan jururawat yang
mengiringinya.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor,
Saipu Bahri Mohd. Noor berkata, Norizan adalah antara
mangsa banjir yang terlibat dalam operasi pemindahan yang
dilakukan dengan kerjasama polis dan angkatan tentera.
‘‘Dengan bantuan dua jururawat pengiring, bayi lelaki itu
selamat dilahirkan sebelum dikejarkan ke klinik untuk
rawatan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini,
hari ini. |