|
|
Abby bersalin dalam kereta Norman jadi `doktor'
KUALA LUMPUR 2
Julai - Pelakon popular Abby Abadi bersalin di dalam
kereta, sementara suaminya, pelakon terkenal Norman Hakim
menjadi `doktor' menyambut bayi itu.

NORMAN Hakim memangku anaknya,
Marissa Dania, bersama Abby Abadi dan anak sulung mereka,
Mohamed Danish Hakim di wad Klinik Bersalin Kohilal, Kuala
Lumpur, semalam.
Ia mungkin seperti babak dalam drama yang dilakoni mereka.
Namun situasi itu bukan dalam drama, tetapi benar-benar
berlaku kepada pasangan suami isteri itu pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi apabila Abby
atau nama penuhnya, Arbaieyah Abdul Manan, 27, yang sarat
mengandung tidak sempat tiba di Klinik Bersalin Kohilal di
Taman Melawati di sini untuk bersalin.
Kelahiran bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu disambut
oleh Norman di dalam keretanya di tepi jalan, 500 meter
dari rumah mereka di Ukays Perdana di sini.
Bayi yang dinamakan Marissa Dania Hakim itu adalah anak
kedua pasangan terbabit.
Norman atau nama betulnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 29,
membidankan sendiri isterinya sehingga bayi itu selamat
dilahirkan sebelum mereka meneruskan semula perjalanan ke
klinik terbabit.
Norman yang ditemui Mingguan Malaysia di Klinik Bersalin
Kohilal memberitahu, beliau menyangka Abby hanya mengalami
sakit perut seperti kebiasaan wanita sarat mengandung
memandangkan isterinya itu dijangka bersalin pada 17 Julai
ini.
"Saya tidak menyangka apabila keluar dari rumah dalam
jarak 500 meter tiba-tiba Abby menjerit, "kepala bayi dah
keluar.''
"Dengan tidak berlengah saya berhenti ke tepi jalan dan
terus menurunkan tempat duduk Abby lalu menyambut bayi
dengan keadaan yang tenang.
"Apabila mendengar bayi itu menangis, perasaan saya
sungguh lega dan membalikkan bayi tersebut sebelum saya
azan dan iqamah,'' katanya.
Beliau berkata, selepas itu beliau menghubungi doktor
untuk mengetahui cara memotong tali pusat.
Bagaimanapun doktor berkenaan menyarankan beliau supaya
membawa terus bayi baru mereka ke klinik.
Sewaktu dalam perjalanan kedua-dua pasangan itu begitu
gembira dan masih boleh ketawa dengan kejadian yang tidak
mungkin dilupakan itu malah berhenti dua kali di tepi
jalan untuk mengambil gambar kenangan menggunakan kamera
telefon bimbit.
Tambahnya, mereka tiba di klinik bersalin itu pada pukul
11.10 pagi dan seorang doktor serta tiga pembantunya telah
menunggu kedatangan mereka dengan peralatan yang lengkap
di pintu belakang klinik berkenaan.
"Sampai sahaja di pintu belakang klinik, doktor berkenaan
terus ke arah isteri saya di dalam kereta dan memotong
tali pusat anak saya.
"Doktor memberitahu bahawa saya telah melakukan tugas
dengan baik iaitu menyambut kelahiran bayi berkenaan,''
ujar Norman.
Menceritakan bagaimana dia dapat menghadapi situasi
berkenaan, Norman memberitahu, petua yang paling baik
ialah tidak mudah cemas.
Malah katanya, dengan pengalamannya melihat kelahiran anak
pertama sebelum ini selain menonton dokumentari mengenai
kelahiran bayi menambah lagi pengetahuannya menghadapi
kecemasan itu.
Dalam pada itu, Norman memberitahu, beliau akan menjaga
kereta Honda Stream di mana bayi itu dilahirkan.
Sementara itu, Abby berkata, pengalaman itu sangat manis
dan tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya kerana ia
jarang sekali berlaku.
Menurutnya, beliau memuji tindakan suaminya yang tenang
menghadapi situasi yang mencemaskan itu malah turut
memberi semangat kepadanya.
"Sewaktu suami saya sambut kepala bayi itu, saya memberi
kata semangat, `hidup Norman Hakim' berkali-kali.
"Selepas semuanya berjaya, kami sangat gembira dan ketawa
dengan aksi masing-masing menghadapi situasi yang begitu
mencemaskan itu,'' katanya. |