RASIONAL LOGO
Rekabentuk logo ini diilhamkan dari Jalur Gemilang sedang berkibar yang
merupakan bendera kebanggaan rakyat Malaysia. Kibaran Jalur Gemilang
melambangkan semangat kecintaan rakyat pada negara.
Jalur merah dan putih digayakan dalam bentuk angka lima manakala bentuk
bulan dan bintang dijadikan angka kosong yang mana ia menjadikan angka 50
yang menjadi tonggak utama logo ini sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50.
Bahagian di hujung angka 5 terus disambungkan pada stigma bunga raya yang
merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Pada stigma itu diletakkan lima titik di
hujungnya yang bermaksud lima prinsip Rukun Negara yang menjadi amalan
setiap rakyat Malaysia.
Bentuk dasar logo adalah bulat yang ‘italic/slanted’ ke kanan. Bentuk ini adalah
dinamik yang memberi maksud kemajuan yang pesat yang dialami oleh negara
Malaysia sejak 50 tahun mencapai kemerdekaan.
Bentuk bulat juga bermaksud rakyat Malaysia berbilang kaum yang bersatu
dalam mencapai nikmat dan kemajuan sepanjang 50 tahun usia kemerdekaan.
Warna merah dan putih melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna
biru bermaksud perpaduan yang dijalinkan oleh rakyat. Manakala kuning
adalah melambangkan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong dan juga
bermaksud kegemilangan yang dikecapi semenjak 50 tahun usia kemerdekaan
Malaysia.