|
Ahmad,
Muhammad seronok bersekolah
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Pasangan kembar siam, Ahmad dan
Muhammad yang dipisahkan melalui pembedahan bersejarah di
Riyadh, Arab Saudi dua tahun lalu hari ini memulakan
langkah pertama ke alam persekolahan.
Ahmad dan adiknya Muhammad yang lengkap berpakaian sekolah,
mendaftarkan diri di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27-2, Shah
Alam pagi ini. Mereka kelihatan riang dan mesra bergaul
bersama murid-murid lain.
"Pergi sekolah seronok, kawan-kawan ramai. Boleh baca buku
dan belajar mengira,'' kata Ahmad.
Walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda, kesemua
rakan-rakan baru Ahmad dan Muhammad tidak keberatan untuk
membantunya menolak ke mana-mana destinasi.
Kegigihan pasangan kembar tersebut terserlah apabila
mereka memanjat tangga tanpa bantuan sesiapa untuk ke
bilik darjah yang terletak di tingkat dua bangunan sekolah.
Menurut bapa kepada pasangan kembar istimewa ini, Rosli
Abdul Rahman, 33, kedua-dua anaknya jelas tidak sabar
memulakan persekolahan mereka dan telah bangun seawal lima
pagi ini.
"Dari segi pelajaran, mereka tidak mempunyai masalah untuk
menyesuaikan diri kerana sebelum ini telah pun memasuki
tadika,'' katanya.
Jelasnya, beliau berharap anak-anaknya dapat berdikari dan
bergaul mesra dengan murid-murid lain meskipun aktiviti
mereka mungkin terhad.
Ahmad dan Muhammad yang dilahirkan bercantum dari bahagian
dada hingga ke punggung dengan berkongsi hati dan
bercantum di bahagian pundi kencing dan usus, dipisahkan
dalam pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King
Fahad National Guard, Bandar Raya Perubatan King Abdul
Aziz di Riyadh dua tahun lalu.
Pembedahan yang dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota
Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz yang melibatkan kos
RM1.7 juta, disiarkan secara langsung melalui skrin besar
di hospital dan dunia pula dapat menyaksikannya melalui
laman web khas.
Menurut guru kelas pasangan istimewa itu, Marizan
Muhammad, beliau berasa berbangga dan terharu kerana
berpeluang mengajar pasangan kembar tersebut.
"Walaupun menyedari terdapat beberapa kesukaran, kedua-dua
Ahmad dan Muhammad menunjukkan reaksi positif yang
memudahkan tugas saya mendidik mereka,'' katanya. |