|
|
Kembar 4
ceria kelas
KULAI: Hari pertama persekolahan empat beradik kembar
berusia tujuh tahun di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra di
sini, semalam, tetap ceria walaupun mereka tidak dapat
bersama dalam satu kelas.
Empat beradik itu, E Rakkesh dan tiga adiknya Raversh,
Rabinish dan Ravanish, bersemangat pada hari pertama
persekolahan mereka dengan membawa beg yang sama jenis dan
menjadi perhatian ramai.
Anak kepada G Eruku Naidu, 40, dan S Punita, 32, itu
bertambah cerita apabila dapat bertemu rakan baru termasuk
satu pasangan kembar, A Shamitha dan Sharveena.
Rakkesh berkata, walaupun mereka sentiasa berempat, namun
dia tidak janggal berkawan dengan murid lain kerana pernah
bersekolah tadika sebelum ini.
“Kami seronok ke sekolah walaupun terpaksa dipisahkan
dalam dua kelas.
Kami sudah biasa dan ia memberi peluang kepada kami
mengenali rakan sekelas lain,” katanya yang sekelas dengan
Raversh, manakala Rabinish dan Ravanish di kelas lain.
Ibu mereka, Punitha berkata, empat anaknya itu tidak sabar
menunggu hari pertama persekolahan kerana ia pengalaman
baru bagi mereka.
Katanya, semua empat anak kembarnya itu suka warna sama
dan apabila membeli barang, semuanya mesti sama, jika
tidak akan berlaku pertengkaran.
“Biasalah anak lelaki, sebelum ini mereka lebih banyak
bergurau di rumah dan ada kalanya gurauan itu kasar.
“Letih juga membesarkan empat anak sekali gus, namun saya
pasti terasa sunyi kerana keempat-empat mereka memasuki
sekolah sekali gus, sedangkan sebelum ini waktu
persekolahan di tadika singkat,” kata eksekutif akaun yang
tinggal di Taman Saleng ini.
Bapa empat murid itu yang juga juruteknik The New Straits
Times Press (M) Berhad (NSTP), G Eruku Naidu, bersetuju
dengan langkah guru mengasingkan empat anaknya kepada dua
kelas bagi membolehkan mereka menumpukan perhatian pada
pelajaran.
“Kalau berempat dalam satu kelas, kami bimbang mereka akan
berbual. Tapi selepas dipisahkan kepada dua beradik
sekelas, kami yakin mereka akan memberikan tumpuan pada
pelajaran,” katanya.
Sementara itu, bapa Shamitha dan Sharveena, S Arivalan,
39, berkata dua anaknya itu tidak takut untuk memulakan
persekolahan, sebaliknya gembira apabila mendapati ada
pasangan kembar empat.
“Walaupun terpaksa dipisahkan dan tidak belajar di kelas
sama, mereka tidak takut dan gembira kerana mempunyai
peluang berkawan dengan murid lain.
“Berbeza dengan pasangan kembar lain, mereka dua beradik
kurang gemar barangan sama, sebaliknya lebih sukakan
kelainan,” katanya yang tinggal di Bandar Putra itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Johor, Jailani
Rusni, berkata seramai kira-kira 50,000 murid tahun satu
memulakan persekolahan bagi sesi 2007 bermula semalam di
seluruh Johor.
Selain itu, katanya, 44 sekolah termasuk sekolah rendah
dan menengah yang terpaksa ditutup atas pelbagai sebab
masih tidak dibuka kepada murid dan pelajar.
Daripada jumlah itu, 11 sekolah masih ditenggelami air, 21
dijadikan pusat pemindahan manakala 12 lagi terputus
hubungan dengan kawasan kediaman.
Batu Pahat mencatat jumlah tertinggi dengan 24 daripada 44
sekolah yang ditutup berada di dalam daerah itu, diikuti
Muar (16) dan masing-masing dua di Kluang dan Mersing.
Keadaan itu menyaksikan kira-kira 50,000 pelajar dan murid
sekolah tidak dapat memulakan sesi persekolahan semalam
dan mereka terpaksa menunggu hingga masalah banjir selesai
kelak. |