|
Kembar anak penjual goreng pisang catat 9A
TASEK GELUGOR 22
Dis. - Bapa mereka hanyalah seorang penjual goreng pisang
tetapi kemiskinan keluarga tidak menghalang pasangan
kembar Siti Hajar Shahid dan Siti Zaleha Shahid memperoleh
9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan
hari ini.
Malah, kedua-dua pelajar berusia 15 tahun itu berkata,
kesusahan bapa mereka menyara keluarga menjadi pendorong
utama untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib
keluarga pada masa depan.
Siti Zaleha berkata, mereka cukup terharu apabila melihat
ketabahan bapa mereka bekerja menjual goreng pisang dan
cucur udang dengan sumber pendapatan tidak menentu setiap
hari.
"Kejayaan kami ini merupakan hadiah daripada kami kepada
ibu bapa yang banyak bersusah payah dan sentiasa memberi
dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh,'' katanya
kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama Al-Irshad di sini hari ini.
Pasangan kembar yang berasal dari Kampung Permatang Sireh,
Bukit Mertajam itu merupakan di antara 55 orang pelajar
yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam PMR di sekolah
berkenaan.
Menurut Siti Zaleha, kesusahan keluarganya itu tidak
pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran,
sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk membuktikan
bahawa golongan kurang berkemampuan juga boleh mencapai
keputusan cemerlang dalam pelajaran.
"Apabila ayah balik dari berniaga walaupun dalam keadaan
letih, dia terus tengok-tengok buku dan kerja sekolah kami
manakala ibu pula banyak beri nasihat supaya belajar
rajin-rajin,'' katanya yang bercita-cita menjadi seorang
jurutera komputer suatu hari nanti.
Siti Hajar pula berkata, disebabkan kurang berkemampuan
untuk membeli buku-buku rujukan, mereka kerap mengulang
kaji pelajaran di perpustakaan sekolah yang menyediakan
banyak bahan bacaan.
"Saya tidak menyangka dapat 9A kerana percubaan sebelum
ini hanya dapat 7A tetapi syukur dengan keputusan ini,
lebih-lebih lagi saya berasa seronok dan puas hati
mendapat A dalam Matematik dan Sains yang diajar dalam
bahasa Inggeris,'' katanya yang bercita-cita menjadi
pensyarah.
Pasangan kembar dari empat beradik itu banyak membuat
latihan dan hafalan selain memberi tumpuan penuh dalam
kelas. |