|
|
Keputusan PMR:
Harapan 8A kembar tercapai
 |
|
PUTRAJAYA: "Syukur, cita-cita kami dua beradik untuk
memperoleh 8A akhirnya tercapai. Tapi kami yakin mempunyai
peluang berdasarkan keputusan percubaan sebelum ini,” kata
Ahmad Syakir Md Yasir, 15. |
Ahmad Syakir dan pasangan kembar seirasnya, Ahmad Syamil
antara 133 pelajar Sekolah Sultan Alam Shah di sini, yang
memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah
(MPR) yang diumumkan semalam.
Ahmad Syakir berkata, ketika peperiksaan percubaan, dia
mendapat 6A manakala adiknya, 7A.
"Menyedari peluang itu, kami berusaha keras mencapai
impian itu terutama memberi tumpuan ketika belajar di
kelas atau tuisyen.
"Selain itu, kami memperuntukkan dua jam tambahan untuk
belajar secara berkumpulan dengan empat rakan lain. Kalau
di rumah, saya dan Syamil akan belajar bersama-sama,”
katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini, semalam.
Ahmad Syakir dan Ahmad Syamil memperoleh A dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains,
Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam.
Kedua-dua pelajar pintar itu anak pengetua Sekolah
Menengah Paka, Terengganu, Md Yasir Mohd Salleh, 52, dan
suri rumah, Khadijah Mohamad, 47.
Selain Ahmad Syakir dan Ahmad Syamil, pasangan itu turut
mempunyai sepasang lagi anak kembar seiras Ina Salwany dan
Ida Muryany, 23.
Md Yasir berkata, Ahmad Syakir dan Ahmad Syamil anak
kelima dan keenam daripada tujuh beradik, manakala Ina dan
Ida anak kedua dan ketiga.
"Alhamdulillah, mereka dapat mengikut jejak abang dan
kakak mereka berjaya dalam pelajaran. Sebagai bapa, saya
bangga dengan kejayaan mereka,” katanya.
Ina kini melanjutkan pengajian di peringkat doktor
falsafah dalam bidang bioteknologi di Kolej Universiti
Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem), manakala Ida di
peringkat sarjana dalam bidang biomedik di universiti sama.
Abang sulung pasangan itu, Mohd Yuzeiry, 26, seorang
jurutera manakala anak keempat, Omar Saufy, masih menuntut
di sebuah universiti di Australia.
Ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah
Kebangsaan Sura, Dungun, Ahmad Syakir dan Ahmad Syamil
memperoleh 5A sekali gus melayakkan mereka ke sekolah
berasrama penuh itu.
Ahmad Syamil berkata, dia dan abangnya berkongsi minat
sama, cuma berlainan cita-cita.
"Kami turut terpilih mewakili sekolah dalam sukan bola
keranjang. Tapi saya ingin jadi doktor, manakala Syakir,
arkitek,” katanya.
Penolong Kanan (Akademik) sekolah itu, Roslan Hassan,
berkata pencapaian PMR tahun ini yang terbaik bagi
sekolahnya sejak 2003.
"Daripada 167 calon PMR yang mencatat 100 peratus lulus,
133 memperoleh 8A iaitu 79.6 peratus berbanding 71.1
peratus daripada 159 calon tahun lalu. Tiga subjek juga
mencatat 100 peratus A iaitu Kemahiran Hidup, Matematik
dan Geografi berbanding hanya satu tahun lalu iaitu
Kemahiran Hidup.
"Kejayaan 100 peratus dalam Matematik cukup membanggakan
kerana subjek itu satu daripada dua mata pelajaran yang
diajar dalam bahasa Inggeris. Satu lagi subjek iaitu Sains
juga tidak mengecewakan apabila hanya dua pelajar mendapat
B, manakala pelajar lain memperoleh A,” katanya.
Sementara itu, sebuah lagi sekolah berasrama penuh iaitu
Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya, dekat sini, turut
memperoleh keputusan 100 peratus lulus, dengan 109
daripada 175 pelajar mendapat 8A. |