|
Kembar dapat 14A dalam SPM
ALOR STAR 13 Mac - Pelajar kembar dari Maktab Mahmud di
sini muncul antara pelajar terbaik di Kedah selepas
cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
2005 yang diumumkan hari ini.
Muhammad Faiz dan Muhammad Farid Mohd. Fauad, 18,
masing-masing memperoleh 14A daripada 16 mata pelajaran
yang diambil.
Muhammad Faiz mendapat 13 1A, 1 2A dan 2B manakala
abangnya Muhammad Farid pula memperoleh 12 1A, 2 2A dan
2B.
Mereka merupakan anak kepada kakitangan Perbadanan
Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Mohd. Fauad Ibrahim, 48, dan
Azizah Mohamad, 42.
Menurut Muhammad Faiz, ibu bapanya mengimpikan untuk
melihat mereka menjadi doktor yang mengamalkan perubatan
secara Islam.
Katanya, mereka sering diingatkan supaya belajar
bersungguh-sungguh dan pada masa yang sama tidak lupa
mengerjakan perintah Tuhan dan selalu berdoa kepadaNya.
"Kami akan memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang perubatan di Universiti Kaherah, Mesir bagi
merealisasikan impian ibu bapa kami,'' katanya di sini
hari ini.
Menceritakan mengenai rahsia kejayaan mereka, Muhammad
Farid memberitahu, mereka memperuntukkan masa selepas
solat Maghrib untuk mengulang kaji pelajaran. |