|
SEREMBAN - "Saya
bersyukur dengan keputusan cemerlang yang dicapai, tidak
sangka usaha gigih selama ini berbaloi"
Demikian luahan
Rohaisha Jamil, 15, yang mendapat keputusan cemerlang 8A
dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam.
Paling manis, kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
King George V tersebut turut dikongsi bersama kakak
kembarnya, Rohamina Jamil yang turut mendapat keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan itu.
Seramai 215
pelajar telah mengambil peperiksaan PMR di sekolah
tersebut dan 103 daripadanya telah mendapat 8A manakala
sekurang-kurangnya 7 A dalam semua mata pelajaran dengan
peratusan kelulusan sebanyak 99.5 peratus.
Menceritakan
kejayaannya itu, Rohaisha memberitahu, dia dan kakaknya
yang kebetulan belajar di dalam satu kelas sering
mengulangkaji pelajaran bersama mengikut jadual harian
yang ditetapkan.
"Kami amat mementingkan soal disiplin dan pembahagian masa
di dalam pelajaran. Setiap hari kami memperuntukkan masa
antara dua hingga tiga jam untuk belajar atau berbincang
mengenai tugasan sekolah yang.diberi.
"Masing-masing
mempunyai kelebihan sendiri, misalnya kakak lebih
cenderung dalam subjek Matematik manakala saya dalam
subjek Sains, di sinilah kami saling berkongsi idea dan
pendapat serta membantu antara satu sama lain," katanya
yang bercita-cita menjadi Hakim suatu hari nanti.
Tambahnya,
kejayaan tersebut sememangnya tidak disangka-sangka kerana
di dalam peperiksaan percubaan yang lalu kedua-duanya
hanya mendapat keputusan 7 A sahaja.
"Mungkin kejayaan ini berkat dorongan para guru, ibu bapa
dan rakan-rakan yang tidak jemu-jemu meniupkan semangat
untuk kami lebih tekun belajar terutama menjelang musim
peperiksaan," ujarnya yang menetap di Taman England,
Sikamat di sini.
Sementara itu
kembarnya, Rohamina pula berpendapat walaupun mereka
merupakan pasangan kembar dan agak rapat di rumah dan di
sekolah, tetapi ia tidak membataskan hubungan bersama
rakan-rakan sekolah yang lain.
"Jika mempunyai kesempatan kanii juga sering membuat
aktiviti belajar secara berkumpulan seperti di
perpustakaan bagi memantapkan pemahaman di samping
sentiasa bertanya kepada guru apabila diperlukan.
"Walaupun perjalanan kami masih jauh lagi, namun kejayaan
yang dicapai oleh kakak sulung yang sedang melanjutkan
pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan perakaunan
menjadi pendorong kepada kami untuk tekun belajar pada
masa akan datang," katanya.
|