|
|
SERDANG: “Sejak sekolah rendah,
menengah, matrikulasi hingga ke
universiti, kami seperti tidak dapat
dipisahkan, mungkin ia kebetulan.
“Malah ketika memilih universiti,
UPM (Universiti Putra Malaysia)
adalah pilihan kedua saya manakala
adik ketiga, tetapi kami berdua
akhirnya diterima di sini, sekali
gus menamatkan pengajian dan
konvokesyen bersama,” kata Nor Erina
Mohamad Yunan, 22, mengenai
kembarnya, Nor Erita, yang berjaya
menerima ijazah masing-masing pada
Majlis Konvokesyen UPM ke-32,
bermula di sini, semalam.
Menurut anak kedua daripada empat
beradik itu, mereka pernah berpisah
dan keadaan itu tidak menimbulkan
masalah.
“Kami tidak kisah berpisah, namun
seperti sudah jodoh, dipertemukan
semula. Malah, jika adik saya kena
asma, saya pun akan kena selepas itu,”
katanya yang menerima Ijazah Sarjana
Muda Kimia Industri pada konvokesyen
kali ini.
Bagi Nor Erita pula, sepanjang
menuntut di UPM, mereka jarang
bertemu kerana berbeza jurusan dan
pada awal pengajian sering berlaku
kekeliruan di kalangan rakan.
“Kakak menuntut di Fakulti Sains
manakala saya Fakulti Perubatan dan
Sains Kesihatan, jadi kami jarang
berjumpa.
“Namun ramai rakan keliru mengenai
kami, ada yang kata saya Erina, ada
juga kata kakak saya Erita,” katanya
yang menerima Ijazah Sarjana Muda
Sains Bioperubatan.
Dalam konvokesyen bermula semalam
hingga 22 Oktober ini, 7,846 graduan
menerima ijazah, termasuk ijazah
kehormat, doktor falsafah, sarjana,
sarjana muda dan diploma.
Sultan Selangor yang juga Canselor
UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah,
berkenan menyampaikan ijazah doktor
falsafah (PhD), sarjana, sarjana
muda dan diploma kepada graduan sesi
pertama.
Pada konvokesyen itu juga, baginda
menganugerahkan Ijazah Kehormat
Ekonomi kepada Setiausaha Agung
Asean, Dr Surin Pitsuwan, dan PhD
dalam bidang Komunikasi Kemanusiaan
kepada Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Satu lagi pasangan kembar, Nurul
Hafiza Muda, 23, berkata kejayaan
itu kenangan paling manis bagi
mereka, apatah lagi belajar di
fakulti sama dan kini mengajar di
sekolah sama di Terengganu.
“Saya mengambil jurusan Sains dengan
Pendidikan Matematik manakala adik,
Nurul Hanifa pula Pendidikan Fizik.
Mungkin rezeki kami berdua, dari
mula isi borang hingga sampai
bekerja, kami masih bersama,”
katanya yang kini mengajar di
Sekolah Kebangsaan Mengabung Telipot,
Terengganu.
Penerima Anugerah Pingat Emas
Canselor, Aini Marina Ma’rof, 23,
berkata bapanya yang juga pensyarah
kanan di universiti berkenaan
menjadi pendorong kejayaannya.
“Tidak pernah terlintas di fikiran
untuk menerima anugerah ini, namun
saya menjadikan bapa sebagai model.
Ayah tidak tegas dalam mendidik anak,
tetapi saya memang bercita-cita
menjadi sepertinya,” katanya yang
menerima Ijazah Sarjana Muda
Pendidikan (TESL) dengan mencatat
purata nilai gred kumulatif 3.92. |