|
Pasangan
kembar seiras miliki kepintaran sama
BESUT 16 Nov. - Bagi pasangan kembar, Nazirul Fahmi
Zulkilfi dan Nazirul Fazri, 12, mereka bukan saja memiliki
rupa paras seiras tetapi anak kepada peniaga buah tembikai
ini mempunyai kepintaran yang sama apabila muncul antara
murid terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2005.
Anak kepada peniaga buah tepi jalan, Zulkifli Mohamad, 38,
mendapat 5A dalam keputusan UPSR 2005 dan disenaraikan
antara murid terbaik peringkat kebangsaan dan negeri
Terengganu yang diumumkan hari ini.
Kedua-dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kawah di
sini ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di rumahnya, hari
ini, tidak terkejut apabila mendapat 5A dalam peperiksaan
itu tetapi tidak menyangka disenaraikan sebagai pelajar
cemerlang peringkat kebangsaan dan negeri.
"Saya terkejut apabila diberitahu oleh guru kelas saya
bahawa kami berdua dan beberapa murid lain di Terengganu
mendapat anugerah murid terbaik peringkat kebangsaan,''
kata Nazirul Fahmi ketika ditemui di rumahnya di Kampung
Jebuk Puyuh di sini, hari ini.
Menurut mereka, ibu mereka, Norhatikah Mamat, 33,
seolah-oleh tidak percaya dengan pencapaiannya itu kerana
banyak murid lain di Terengganu mendapat 5A.
"Bagaimanapun saya dan kembar saya sudah menduga dari awal
lagi akan mendapat keputusan 5A dalam semua mata pelajaran
dalam UPSR itu, hanya tidak menduga akan mendapat yang
terbaik.
Dalam UPSR 2005 yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran
hari ini, Nazirul Fahmi dan Nazirul Fazri masing-masing
mendapat A bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia (Kefahaman),
Bahasa Malaysia (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik
dan Sains.
Nazirul Fahmi turut mengakui mereka tidak pernah malu
bertanya kepada guru sekiranya mereka kurang memahami
sesuatu soalan atau jawapan selain belajar mengikut jadual
yang ditetapkan oleh ibunya semasa di rumah.
Yang menarik, pasangan kembar itu bukan sahaja belajar
dalam satu kelas tetapi begitu aktif dalam sukan dan
pernah mewakili sekolah dalam hoki dan lari pecut 100
meter.
Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui di gerai jualan
buah-buahannya di sini berkata, dia dan isteri sentiasa
mengambil berat terhadap pelajaran anak-anaknya selain
menasihatkan mereka supaya jangan lupa solat lima waktu.
Selain adik-beradik kembar itu, seorang lagi murid dari
107 murid di SK Lubuk Kawah yang menduduki UPSR tahun ini
turut mendapat anugerah pelajar terbaik peringkat
kebangsaan ialah Mimi Afifah Suhaidan, 12. |