|
Pasangan kembar seronok berpuasa
SUBANG JAYA 26
Sept. – Ramadan kali ini amat bermakna buat pasangan
kembar Ahmad dan Muhammad Rosli, 8, yang dipisahkan
melalui pembedahan bersejarah di Riyadh, Arab Saudi tiga
tahun lalu.
Ahmad dan adiknya Muhammad ketika ditemui di sini hari ini
berasa seronok memandangkan ini merupakan kali pertama
kedua-duanya berpuasa penuh.
Berbeza tahun lalu, mereka tidak dapat menunaikan
tanggungjawab berpuasa berikutan masih belum pulih ekoran
pembedahan yang di jalani.
"Seronok bila boleh berpuasa hari ini, nanti dapat banyak
pahala,” kata Muhammad.
Walaupun mereka bergerak menggunakan tangan, kedua-duanya
dilihat begitu bersemangat untuk menjalani ibadah puasa
biarpun kelihatan keletihan.
Ahmad dan Muhammad yang dilahirkan bercantum dari bahagian
dada hingga ke punggung dengan berkongsi hati dan
bercantum di bahagian pundi kencing dan usus, dipisahkan
dalam pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King
Fahad National Guard, Bandar Raya Perubatan King Abdul
Aziz di Riyadh pada tahun 2004.
Pembedahan yang dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota
Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz yang melibatkan kos
RM1.7 juta, disiarkan secara langsung melalui skrin besar
di hospital dan dunia pula dapat menyaksikannya melalui
laman web khas.
Sementara itu, ibunya, Aisah Kanda, 29, berkata, kedua-dua
anaknya itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan
lain selepas pembedahan tersebut.
Cuma katanya, anak-anaknya itu memerlukan bantuan kerusi
roda untuk bergerak memandangkan kaki palsu yang
disumbangkan sebelum ini tidak boleh digunakan lagi.
Malah, Ahmad dan Muhammad masih memerlukan ubat-ubatan dan
beliau terpaksa menghabiskan RM8,280 setahun untuk
membekalkan ubat kepada anaknya itu.
"Mereka tidak mempunyai masalah apabila berpuasa sehari
suntuk.
"Tetapi, saya hanya benarkan mereka berpuasa selang sehari
memandangkan mereka memerlukan air yang banyak dan sedikit
ubat-ubatan,’’ ujarnya. |