|
Rosnani,
Roslina tidak boleh berpisah lama

SELAIN memiliki
rupa yang seiras, Rosnani Ngah (kiri) dan Roslina Ngah
turut mempunyai berat dan ketinggian yang sama.
SEKALI pandang
sukar hendak membezakan yang mana kakak dan yang mana adik.
Namun, jika direnung dengan teliti, terdapat perbezaan
bentuk muka antara pasangan kembar Rosnani Ngah dengan
Roslina Ngah.
Roslina yang merupakan adik kepada Rosnani mempunyai raut
wajah yang bujur berbanding kakaknya yang kelihatan bulat.
Kedua-dua mereka yang akan mencecah usia 22 tahun tidak
lama lagi merupakan gadis kelahiran Terengganu.
Rosnani yang bercita-cita menjadi pakar maksilofasial
masih lagi belajar dalam bidang pergigian di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) cawangan Kuala Lumpur.
Roslina yang sedang belajar dalam bidang Tekonologi
Maklumat di Universiti Malaya (UM) pula mempunyai impian
untuk menjadi usahawan.
Pasangan kembar seiras ini telah belajar bersama-sama
sejak daripada tadika hingga ke matrikulasi. Mereka sering
bersama menyebabkan rakan-rakan, guru-guru dan jiran
tetangga selalu terkeliru dan tersilap mengecam mereka.
Kini mereka belajar di universiti yang berbeza, tetapi
masih lagi sering bertemu memandangkan jarak kampus
pengajian mereka dekat.
"Pernah juga rakan-rakan kakak saya tersilap memanggil
saya semasa saya turun dari bas. Mereka mengajak saya
balik bersama ke UKM. Saya menolak dan memberitahu, saya
bukan Rosnani, jelas Roslina sambil tersenyum.
Tambah Roslina, peristiwa lucu seperti itu sudah lama
berlaku sejak mereka kecil lagi.
"Pernah saudara-mara dan kawan-kawan panggil kembar
sahaja sebab takut tersilap orang. Jadi, panggilan itu
sudah biasa dengan kami, katanya.
Menurut Rosnani, baka kembar yang mereka warisi datang
daripada keluarga sebelah ibunya.
Ibunya juga adalah
anak kembar tetapi tidak seiras.
"Siapa sangka, kelahiran kami ke dunia ini telah
menyambung tradisi kembar yang dimiliki oleh keluarga ibu
sebelum ini, ujarnya.
Kedua-dua adik-beradik ini menjelaskan, walaupun mereka
dilahirkan kembar, mereka tidak pernah mementingkan diri
sendiri sebaliknya saling bekerjasama dan bantu-membantu
dalam apa jua perkara.
"Sejak kecil lagi kami selalu buat sesuatu perkara
bersama-sama. Kalau bergaduh pun, ia tidak berpanjangan.
Kami sering melakukan kerja rumah bersama-sama dan begitu
juga dalam pelajaran, tambah Rosnani.
"Sekiranya berlaku perselisihan faham, saya atau Rosnani
akan mengalah. Bagi saya, persefahaman dan semangat tolak
ansur antara satu sama lain amat penting dalam perhubungan
adik-beradik, tambah Roslina.
Hubungan mereka yang diibaratkan bagai aur dengan tebing
itu terlalu rapat dan mereka banyak mempunyai persamaan
serta sering berkongsi masalah.
Pasangan kembar ini berkongsi minat dan hobi yang sama
seperti membaca dan memasak. Dari segi makanan pula, nasi
goreng menjadi pilihan mereka berdua.
Sementara itu, kedua-dua mereka yang memiliki berat badan
dan ketinggian yang sama menjadikan Rasulullah s.a.w.
sebagai idola.
"Hubungan kami yang rapat membuatkan kami sering meluah
dan berkongsi masalah bersama-sama. Sememangnya kami
saling memerlukan antara satu sama lain, kata Roslina.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh Rosnani yang tidak
sanggup berjauhan daripada adik kembar kesayangannya itu.
Walaupun belajar di tempat yang berbeza, itu bukan
dijadikan alasan untuk mereka berjauhan.
Disebabkan naluri mereka yang tidak boleh berpisah untuk
jangka masa yang lama, pasangan kembar itu saling
mengunjungi bagi memastikan hubungan yang terjalin tetap
mesra dan kekal. |