|

(DARI kiri) Mohd.
Azri Hazim, Mohd. Aqil Haziq dan Mohd. Adli Hadi Abdul
Halim memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Dato'
Wan Ahmad, Kangar, Perlis, semalam.
KANGAR 3 Jan. - Menangis dalam kelas, takut untuk `berkawan'
sehingga ibu bapa terpaksa menjadi `murid' dalam kelas,
merupakan fenomena biasa ketika sesi persekolahan tahun
satu bermula.
Berlainan pula dengan trio kembar di Sekolah Kebangsaan
Dato' Wan Ahmad, dekat sini, mereka terlalu gembira dapat
memulakan persekolahan di sekolah yang sama secara
serentak.
Justeru tidak hairan apabila anak-anak kepada peguam Abdul
Halim Din iaitu Mohd. Adli Hadi, Mohd. Aqil Haziq dan Mohd.
Azri Hazim tiada masalah jika ibu dan bapa tidak menemani
mereka.
Mohd. Adli Hadi yang merupakan `kembar sulung' berkata,
dia tidak berasa kekok memulakan persekolahan.
Katanya, ini kerana dia mempunyai `rakan serumah' yang
sentiasa bersama melakukan aktiviti di mana-mana termasuk
ketika memulakan persekolahan hari ini.
"Saya seronok kerana ada adik yang sama-sama bersekolah.
Ibu dan ayah saya tak payah temankan.
"Lagi pun kawan-kawan pula sudah lama saya kenal kerana
dahulu kami belajar di tadika yang sama. Cikgu pun baik,''
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mereka adalah di antara 4,237 murid yang memulakan sesi
persekolahan tahun satu di Perlis hari ini.
Dalam pada itu, lima kanak-kanak cacat pendengaran
memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan
Khas di sini.
Muhammad Ikram Ishak, Muhammad Qamarul Mahazan, Muhammad
Ridwan Rahman, Mohd. Amin Azizul Amri dan Soffi Zuraidi
tidak sabar menimba ilmu meski pun cacat pendengaran.
Guru Besar sekolah berkenaan, Norhayati Mohd. Ratin
berkata, terdapat 27 orang kanak-kanak cacat pendengaran
di sekolah tersebut setakat ini.
"Mereka belajar sama seperti murid di sekolah biasa,''
katanya ketika ditemui di sini.
Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Wahab Ismail
ketika ditemui berkata, peruntukan khas telah dipohon
daripada kerajaan Pusat untuk mengganti peralatan sekolah
yang rosak akibat banjir. |