| |
Jiwai watak
si kembar
(Sumber RENCANA UTAMA, Kosmo, 12/11/2008)

Kepada
penggemar siri animasi Upin&Ipin yang ditayangkan menerusi
saluran TV9, suara kepada dua karakter tersebut ialah
seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.
TATKALA meninjau bilik rakaman yang berada di Tingkat
Bawah bangunan Les Copaque Productions (LCP) Sdn. Bhd.,
Shah Alam, Selangor kelihatan seorang kanak-kanak
perempuan comel begitu fokus mendengar arahan dan tunjuk
ajar daripada seorang pereka audio, Safrizan Mohd Razali.
Sesekali dia mengangguk faham, kadangkala tersenyum dan
ketawa kecil.
Selepas memahami tugas yang perlu dilakukan, dia terus
menghampiri mikrofon dan melontarkan dialog dalam lima
intonasi yang berbeza-beza.
Tanpa perasaan malu atau takut, kanak-kanak berusia
sembilan tahun ini melakonkan suara latar dengan baik.
"Hai kawan- kawan, saya Upin, yang ini adik saya Ipin. Ini
kisah kami berdua iaitu, Istimewa Hari Raya. Hah, betul!
Betul! Betul!," lakon empunya diri Nur Fathiah Diaz atau
Teha yang menjadi suara latar bagi karakter Upin&Ipin yang
popular ditayangkan menerusi stesen TV9.
Secara ringkasnya, Upin&Ipin merupakan siri kartun animasi
mengenai pasangan kembar berusia lima tahun. Menerusi siri
ini penonton dapat menyaksikan bagaimana mereka menjalani
ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh dengan dugaan.
Tapi, Upin&Ipin amat bertuah kerana dibantu oleh opah dan
kak Ros sebagai pembimbing supaya mereka terus tabah
menjalani ibadah puasa.
Banyak nilai-nilai murni, pengajaran dan elemen kampung
untuk mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.

PENGALAMAN menjadi suara latar Upin&Ipin banyak membantu
Nur Fathiah mempelajari teknik menyampaikan cerita dan
intonasi yang betul.
Keletah kembar yang begitu mencuit hati dan disusuli
dengan pelbagai adegan lucu membuatkan kartun animasi ini
mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kanak-kanak
hinggalah golongan dewasa.
"Ramai yang mengajukan mengapa Fathiah yang
dipertanggungjawabkan watak Upin&Ipin, mengapa tidak
kanak-kanak lelaki. Alasannya, seramai 20 orang
kanak-kanak yang hadir ke sesi uji bakat tidak memenuhi
kriteria.
"Mereka tidak menjiwai watak dengan baik, berlakon seperti
membaca teks dan kurang memiliki daya kreativiti yang
boleh menonjolkan karakter Upin&Ipin yang comel. Fathiah
sebaliknya. Dia bukan saja bijak beraksi malah berani,
ceria dan mudah mesra dengan orang lain," tegas Pengarah
Upin&Ipin, Mohd Nizam Abd Razak.
"Seronok menyumbangkan suara dalam siri Upin&Ipin. Banyak
pengalaman diperoleh dan pada masa yang sama membantu
memberi pengajaran mengenai kebaikan bulan puasa dan
pengisian hari raya kepada penonton.
"Tapi, Teha cuma berani berlakon sebagai suara latar
berbanding drama kerana malu berhadapan dan dikelilingi
dengan orang ramai," jelas pelajar Sekolah Kebangsaan
Telok Menegong, Klang, Selangor yang ceria menyarungkan
baju-t Upin&Ipin berwarna hijau.
Di sebalik sifat pemalu itu, anak sulung daripada tiga
adik-beradik ini berjaya merangkul tempat ketiga dalam
pertandingan bercerita mewakili sekolah di peringkat
daerah, Klang.
Tambah Teha yang bercita-cita menjadi doktor: "Pengalaman
berlakon Upin&Ipin banyak membantu saya mempelajari teknik
menyampaikan cerita dan gaya intonasi yang betul.
|
|
|
|
Selain
Fathiah, siri Upin&Ipin, turut diceriakan dengan
karakter opah (Ainon Ariff), kak Ros (Noor Ezdiani
Ahmad Fawzi), Rajoo (Kannan Rajan), Mei Mei (Yap Ee
Jean), Ehsan (Mohd Syahmi Abd Hamid) dan Fizi (Ida
Rahayu Yusoff).
Walaupun di
televisyen kita menyaksikan setiap karakter bercakap
antara satu sama lain, realitinya proses rakaman suara
(audio) dilakukan secara berasingan.
Ini bagi
mengelakkan studio rakaman menjadi gamat dan tidak
terkawal memandangkan kebanyakan watak dilakonkan oleh
pelakon kanak-kanak. |
 |
|
|
|
Jika proses rakaman kartun animasi yang lain dilakukan
sambil melihat gerak-geri karakter (berjalan, berlari atau
makan), tetapi produk animasi keluaran LCP mempraktikkan
gaya rakaman tersendiri.
Dalam proses ini, pelakon perlu menggunakan imaginasi dan
kreativiti yang tinggi. Ini kerana mereka hanya berlakon
bersandarkan skrip dan mengikut panduan yang diberikan
oleh pengarah dan pereka audio.
Di LCP proses audio dilakukan terlebih dahulu, sebelum
beralih pada proses-proses yang lain. Sebab itu kumpulan
pelakon berlakon berpandukan skrip, bukannya animasi yang
tertera di depan mereka.
Biasanya proses rakaman suara diadakan pada hujung minggu.
"Selesai proses audio, kami meneruskan proses animasi yang
menggunakan pengisian autodesk maya. Kumpulan pereka akan
mengerakkan tubuh badan dan mulut karakter supaya menyamai
serta bersesuaian dengan dialog yang diucapkan.
"Proses ini penting bagi memastikan pergerakan bibir dan
dialog seiringan serta meletakkan emosi pada karakter.
Jika pelukis tidak mempunyai idea untuk mencipta karakter
berlari atau makan, salah seorang staf akan melakonkan
gaya yang dikehendaki untuk rujukan kumpulan animasi,"
terang Nizam.
Upin&Ipin berdurasi lima minit
Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md Radzi menyatakan pada
asalnya filem kartun animasi 3 Dimensi (3D), bertajuk,
Geng: Bermulanya sebuah pengembaraan, merupakan produk
sulung mereka. Bukannya siri kartun Upin&Ipin yang semakin
digilai ramai.
Namun idea Upin&Ipin timbul pada awal tahun 2006 ketika
sedang sibuk menyiapkan pembikinan siri Geng. Dek kerana
bimbang sekiranya filem yang membabitkan kos empat juta
ringgit ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan,
mereka mengambil keputusan mengeluarkan salah satu
karakter untuk dikomersialkan.

NUR FATHIAH mengakui seronok dapat menyumbang suara untuk
siri animasi Upin&Ipin.
Melalui tinjauan, rata-ratanya orang ramai lebih berminat
pada watak Upin. Jadi bagi menyuntik tarikan yang lebih
efektif pada jalan cerita, mereka lahirkan pula watak Ipin.
"Perancangan komersial akhirnya dapat direalisasikan
apabila saya terserempak dengan Ketua Pegawai Operasi TV9,
Bukhari Che Muda, di Cannes, Paris. Pada pertemuan
tersebut beliau mencadangkan kartun animasi yang durasinya
selama lima minit.
"Sehingga kini masih ramai yang tidak berpuas hati
menonton siri Upin&Ipin selama lima minit. Pernah juga
diminta memanjangkan tempoh siaran, tetapi kami masih
kekal pada durasi yang sama supaya penonton
tertunggu-tunggu episod yang seterusnya," tambah
Burhanuddin yang menghasilkan karya dan dialog bersama
isterinya, Ainon Ariff serta dibantu krew LCP yang lain.
Tambah Pengarah Teknikal LCP, Nazrul Hadi Nazlan: "Ketika
episod keenam Upin&Ipin siri pertama yang disiarkan pada
tahun lepas melonjak naik kami berhadapan dengan masalah
baru. Ini kerana dalam filem animasi Geng, karakter Upin&Ipin
bukanlah watak utama. Jadi kami terpaksa mengolah skrip
dan menukar plot baru yang menampilkan peranan pasangan
kembar ini.
Justeru kepada peminat setia, siri Upin&Ipin jangan
ketinggalan untuk menyaksikan episod raya istimewa yang
bermula pada hari raya pertama hingga hari raya keenam, di
stesen TV9, Dekat di hati. |