_ _ _ _
 
_
 

 

 
_ _ _ _
   

 

 

Laman Utama | Hubungi

 
 
_
   

 

   
 
Kampung Kembar
   
   
 
  KELAHIRAN kembar di Kodinhi dikenal pasti secara perubatan sejak lebih 60 tahun lalu.
 

 

 

DI sebuah perkampungan India yang terpencil, Kodinhi di Kerala, terdapat hampir enam kali ganda kelahiran kembar berbanding purata dunia.

Kira-kira 250 pasangan kembar telah didaftarkan di kampung yang dihuni 2,000 keluarga itu.

"Berdasarkan pengalaman perubatan saya, terdapat kira-kira 300 hingga 350 pasangan kembar di Kampung Kodinhi," kata Dr. Krishnan Sribiju yang menambah, masih banyak kelahiran yang belum didaftarkan.

Sebagai doktor setempat dan pengikut setia perkembangan kelahiran kembar, Sribiju sudah menghabiskan masa sehingga dua tahun untuk mengkaji fenomena kembar kampung itu.

"Perkara yang menakjubkan adalah peningkatan jumlah kembar setiap tahun begitu banyak sehingga saya merasakan sejak 10 tahun yang lalu bilangan pasangan kembar di Kodinhi sudah berganda.

"Berdasarkan pengetahuan saya, penemuan perubatan ini bermula sekitar 60 hingga 70 tahun lalu."

Jadi mengapa ada begitu banyak pasangan kembar di kampung itu? Barisan doktor sendiri masih buntu.

Sribiju menolak sebarang cadangan bahawa ia terjadi berikutan faktor genetik atau pencemaran, memandangkan kesemua pasangan kembar di situ dilahirkan dalam keadaan sihat.

Rawatan kesuburan seperti semaian in vitro pula tidak digunakan di kampung itu kerana kosnya yang tinggi.

"Saya fikir ia ada kaitan dengan aktiviti dan makanan serta minuman yang diambil oleh penduduk kampung," kata Sribiju.

"Malah, kembar lazimnya dilahirkan wanita yang lebih berusia, sedangkan di Kodinhi senarionya berbeza. Penduduk di kampung ini kebanyakannya kahwin muda pada usia sekitar 18 hingga 20 tahun dan mereka berkeluarga tidak lama selepas itu."

 

 

 

Sumber: KOSMO

   
  Sumber Berita Ke-2:
   
 
   
 

DI SEBALIK lokasinya yang terpencil di Kerala, Kampung Kodinhi menjadi perhatian seluruh dunia kerana memiliki keunikan tersendiri.

Ketika pakar perubatan masih cuba mencari jawapan, penduduk kampung itu terus mengalami peningkatan populasi berganda kerana kadar kelahiran anak kembar di situ hampir enam kali lebih tinggi berbanding kadar seluruh dunia.

Di Kodinhi, lebih 220 pasangan kembar di lahirkan di kalangan 2,000 keluarga yang menetap di kampung itu.

Pakar perubatan melawat ke situ untuk menjalankan penyelidikan, tetapi setakat ini belum ada sebarang jawapan diperoleh.

Pada tahun lalu saja, 15 pasangan kembar dilahirkan daripada 300 kes kelahiran dan jumlah itu dijangka meningkat lebih tinggi tahun ini.

Sebanyak 60 pasangan kembar dilahirkan di Kodinhi dalam tempoh lima tahun lalu dan kadarnya didapati meningkat setiap tahun.

Doktor tempatan dan pengkaji kembar, Dr Krishnan Sribiju, menghabiskan masanya sejak dua tahun lalu bagi memahami apa sebenarnya berlaku di kampung terpencil itu.

Katanya, walaupun 220 pasangan kembar direkodkan, dia yakin jumlah sebenar jauh lebih tinggi daripada angka itu.

"Berdasarkan pengalaman perubatan saya, kira-kira 300 hingga 350 pasangan kembar dilahirkan di seluruh Kodinhi,” katanya.

Selain itu, kata Dr Krishnan, isu yang perlu lebih difahami ialah mengapa jumlah kelahiran bayi kembar di situ semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Katanya, dia percaya jumlah pasangan kembar di Kodinhi meningkat dua kali ganda hanya dalam tempoh 10 tahun lalu.

Sementara itu, penduduk Kampung Kodinhi berkata, fenomena kembar itu mula berlaku sejak tiga generasi atau 60 hingga 70 tahun lalu.

Justeru, Dr Krishan teruja membincangkan kesan saintifik terhadap penduduk kampung berkenaan.

Tanpa peralatan mencukupi bagi menganalisis butiran biokimia, Dr Krishnan memang tidak mampu menjelaskan mengapa fenomena itu berlaku.

"Bagaimanapun, saya rasa ia ada kena mengena dengan amalan pemakanan mereka, bukan faktor genetik,” katanya.

Di sebalik kemungkinan itu, Dr Krishnan, 40, melihat ada potensi membantu pasangan yang tidak mendapat anak.

Dia juga menolak kemungkinan fenomena kembar di Kodinhi dipengaruhi pencemaran, kerana tahap kesihatan bayi terbabit adalah sempurna,

"Apa saja faktor yang menyebabkan kadar kelahiran kembar di Kodinhi boleh dimanfaatkan,” katanya.

Walaupun ada banyak faktor menyebabkan seseorang wanita melahirkan bayi kembar, kata Dr Krishnan, keadaan di Kodinhi unik kerana beberapa faktor.

"Antaranya, jumlah kelahiran kembar di sini adalah kira-kira 45 kes bagi setiap 1,000 kelahiran berbanding empat bagi 1,000 kelahiran di kalangan penduduk Asia Selatan.

"Kaedah rawatan IVF (In vitro fertilisation) juga bukan sesuatu yang lazim kerana kos tinggi berbanding di Barat,” katanya.

Dalam kes biasa, katanya, pasangan kembar selalunya dilahirkan wanita berusia tetapi di Kodinhi, ibu pasangan kembar berusia di antara 18 dan 20 tahun.

Faktor lain yang menarik perhatian Dr Krishnan adalah bentuk fizikal ibu bayi kembar.

"Secara purata pasangan kembar dilahirkan wanita setinggi 1.61 meter tetapi wanita di Kodinhi hanya 1.52 meter,” katanya.

Di kalangan penduduk setempat, mereka menggelar Kodinhi sebagai ‘bandar kembar’, selain menubuhkan Persatuan Kembar dan Saudara-mara (Taka).

Presidennya, Puallani Bhaskaran, berkata persatuan itu ditubuhkan untuk mendaftar dan memberi sokongan kepada pasangan kembar serta keluarga masing-masing.

Mempunyai sepasang anak kembar lelaki, Puallani, 50, berkata adalah wajar penduduk kampung yang kembar itu disatukan di bawah satu persatuan bagi memperjuangkan kepentingan mereka.

"Kehadiran anak kembar memberi kekangan kewangan kepada keluarga, selain aspek perubatan yang rumit,” katanya.

Justeru, katanya, Taka boleh mendidik dan memberi sokongan kepada penduduk Kodinhi menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Di bawah Taka, 220 pasangan kembar - berusia di antara sebulan hingga 65 tahun - didaftarkan sebagai ahli, manakala 30 permohonan masih diproses.

Jika ibu bapa pasangan kembar diambil kira, keanggotaan Taka melebihi 600 orang.

Ia ditubuhkan secara rasmi pada Disember tahun lalu.

Bagi anak Puallani, Anu Bhaskaran, menjadi anak kembar bukan sesuatu yang aneh kepadanya.

"Apabila di sekolah rendah, ada 30 hingga 40 pelajar kembar di situ,” katanya.

Menurut Anu, 16, dia berasa istimewa dan unik kerana menjadi sebahagian daripada fenomena di Kodinhi.

"Paling menyeronokkan, anak kembar boleh mengelirukan rakan dan guru,” kata saudara Anu, Abhi.

Kadar kelahiran kembar seiras yang tinggi di Kodinhi - dan kebanyakannya berusia di bawah 20 tahun - juga membuka ruang lebih besar untuk berlaku kesilapan.

"Kami selalu mengenakan guru dengan bertukar identiti di depannya,” kata Shahala yang baru berusia lima tahun.

Di sekolah rendah, katanya, kadang-kadang dia bertukar kelas dengan pasangan kembarnya untuk menimbulkan kekeliruan.

Sehingga penjelasan saintifik ditemui, Dr Krishnan perlu terus menjalankan penyelidikan untuk memahami fenomena kembar di Kodinhi.

Pada masa sama, jumlah pasangan kembar di kampung itu akan terus bertambah dari semasa ke semasa. — Agensi

   
   
   
 

Sumber: Harian Metro

   
   
 
   
   
   
 
 

_

 
   

 

 

  _
  Pemakanan Untuk Otak
   
 
   
 

Adakah anak-anak anda menghadapi masalah malas belajar, tidak dapat tumpuan terhadap pelajaran, kuat berangan, kerap buntu fikiran, lemah, gugup, mudah letih, mengantuk, pelupa, lalai, malas bangun pagi atau menghadapi tekanan perasaan malas belajar dan tercicir?

 

Anak-anak perlu dibantu dengan Pemakanan yang sesuai dan berkesan.

 

Klik untuk info lanjut.

 
 

 

 

 

 

 
 
  _  
     
     
 
_ _ _
 

© Copyright 2006. www.EdaranSalindah.com