|
|
Kehamilan
Kembar
Sebahagian kecil wanita memang bernasib baik apabila
mereka disahkan mengandung, tetapi adalah lebih
menggembirakan pasangan apabila kandungan itu
kembar pula.
Mengikut kajian, kehamilan kembar berlaku sekali dalam
setiap lapan puluh kehamilan. Kejadian ini biasanya
berlaku secara spontan dan tidak siapa yang boleh mengawal
kejadian ini. Tegasnya seseorang tidak berupaya melakukan
apa-apa usaha untuk menjadikan kehamilannya kembar
walaupun dia benar-benar menginginkannya. Kelahiran kembar
seringkali berlaku berulang kali dalam sesuatu keluarga.
Dalam hal-hal lain, ia ada kaitan dengan keturunan bagi
menentukan kejadian kehamilan kembar ini.
Selain faktor keturunan, penggunaan ubat penyubur telah
menyumbang kepada peningkatan peratus kejadian kehamilan
kembar dan berganda (multiple pregnancy). Misalnya, dengan
menggunakan ubat penyubur ´clomiphene´ iaitu sejenis pil
yang diberi kepada wanita yang kurang subur, kadar
kejadian kehamilan kembar di kalangan mereka ialah lebih
kurang empat hingga lima peratus. Dengan penggunaan ubat
suntikan yang lebih kuat lagi iaitu hormon yang digelar ´gonadotrophin´
kejadian kehamilan kembar meningkat berganda lebih tinggi
mungkin dalam lingkungan 20 hingga 30 peratus. Ubat pil
penyubur ´clomiphene´ dan suntikan ´gonadtrophin´ ini
kerap digunakan oleh doktor pakar di klinik pakar mandul
dan klinik pakar ginaekologi.
Kejadian kehamilan kembar dan berganda bergantung kepada
bilangan benih yang dikeluarkan oleh pihak wanita. Pada
kebiasaannya seseorang wanita hanya mengeluarkan satu
benih sahaja dalam satu pusingan haid. Benih ini
dikeluarkan pada pertengahan pusingan haid.
Setelah persenyawaan berlaku menerusi percantuman antara
benih lelaki dengan benih perempuan, embryo akan terbentuk.
Jika dua benih perempuan yang dikeluarkan serentak, maka
kedua-dua benih perempuan yang disenyawa akan menghasilkan
dua embryo yang berlainan.
Pasangan kembar yang dihasilkan daripada satu telur, yang
kemudiannya pecah untuk menghasilkan dua jasad akan
menjadi pasangan kembar satu uri.
Kembar yang dihasilkan begini biasanya mempunyai jantina
yang sama, sama ada keduanya lelaki atau perempuan, rupa
paras yang sama dan juga sifat dan perwatakan yang
hampir-hampir sama. Manakala pasangan kembar yang
dihasilkan dari dua telur atau kembar tidak seiras
(non-identical twin) biasanya mempunyai jantina yang
berbeza iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan dan
rupa paras, perwatakan dan sifat mereka adalah tidak sama.
Dalam kembar yang sama biasanya satu uri sahaja yang
dihasilkan dan uri ini digunakan bersama oleh kedua-dua
bayi ketika dalam kandungan. Manakala dalam pasangan
kembar yang tidak sama uri biasanya ada dua, satu bagi
setiap bayi.
Kembar seiras (Identical twin)
dari satu embryo kebanyakan
menjadi dua insan (lengkap) sama rupa, jantina, dan
lain-lain.
Kembar siam juga adalah hasil dari kejadian kembar seiras
tetapi menghadapi masalah pembandingan anggota kepada dua
daripada satu embryo. Dengan ini kedua jasad tidak
berpisah seluruhnya tetapi sebahagian daripada anggota
mereka ini akan berganding atau terbendung.
Bahagian anggota yang mungkin terbendung ini berbeza
antara satu pasangan kembar siam dengan yang lainnya. Ada
yang berbendung di bahagian dadanya dengan berkongsi satu
jantung, ada pula yang berbendung di bahagian abdomen
iaitu berkongsi satu tali perut sahaja.
Pembedahan untuk memisahkan kembar siam, biasanya hanya
dilakukan pada kes yang berganding pada bahagian yang
kurang penting seperti bahu atau punggung. Gandingan
anggota penting seperti jantung, tali usus atau otak tidak
boleh dibedah. Pernah juga tercatat dalam sejarah kembar
siam ini terus hidup hingga ke akhir hayat. Mereka
berbendung di bahagian tubuh. Kedua kembar ini mempunyai
perwatakan yang amat berlainan dan setiap seorang
mempunyai isteri dan keluarga sendiri. Mereka
bergilir-gilir menjalankan tugas masing-masing. Akhirnya
apabila seorang mati, kembar yang kedua juga mati.
Tidak dinafikan, melahirkan anak kembar adalah satu
peristiwa yang sangat menggembirakan setiap ibu bapa.
Kejadian ini boleh dianggap satu rahmat Tuhan kerana
dikurniakan dua atau tiga orang anak sekaligus dalam satu
kehamilan saja. Walaupun demikian, pada keseluruhannya
kehamilan dan kelahiran hanya menghasilkan satu bayi
sahaja. Beberapa masalah memanglah tidak boleh dielakkan
apabila si ibu perlu menampung dua jasad dalam
kandungannya. Ini bermakna perutnya menjadi lebih berat
dan beban fizikalnya juga bertambah untuk membawa isi
kandungannya ke sana ke mari.
Ibu tersebut perlu menampung dengan lebih banyak lagi
bekalan makanan yang berzat kepada bayi yang dikandungnya
khususnya zat besi untuk membina darah dan vitamin asid
folik. Dia juga perlu menambah mutu makanannya bagi tujuan
itu. Pil zat besi dan asid folik mesti dan wajib dimakan
oleh setiap ibu yang sedang mengalami kehamilan kembar.
Jika tidak, ibu akan mengalami kekurangan darah kerana zat
besi dan zat asid folik dalam tubuhnya akan diambil oleh
bayi dalam kandungan untuk membina darahnya sendiri. Masalah kekurangan darah jika dibiarkan akan membahayakan
serta mengancam nyawa ibu ketika kelahiran bayi kembar ini
berlaku. Kejadian tumpah darah selepas bersalin lebih
kerap berlaku di kalangan kembar berbanding dengan
kelahiran tunggal.
Keadaan ini disebabkan oleh otot rahim menjadi kendur
kerana rahim menjadi terlalu kembang untuk memuatkan dua
jasad. Begitu juga dengan luka di tempat uri itu melekat
pada rahim.
Tempat ini biasanya berdarah sejurus selepas bayi
dilahirkan dan selepas uri itu dikeluarkan. Seperti yang
saya tegaskan kejadian tumpah darah selepas bersalin
adalah satu sebab utama kematian ibu di Malaysia.
Ibu yang sedang hamil kembar juga mungkin mengalami
beberapa gejala lain seperti tekanan darahnya naik atau
´hypertension´. Biasanya, ini disertai dengan bengkak kaki
dan ´kencing kotor´ iaitu air kencing mengandungi protein.
Rangkaian tiga tanda ini kerap berlaku ketika hamil,
terutamanya kehamilan kembar. Penyakit ini biasanya
digelar toxaemia dan ia boleh melarat menjadi sangat
serius sehingga menyebabkan sawan atau ´eclamptic fits´.
Sawan adalah satu keadaan yang amat mencemaskan kerana ia
boleh meragut nyawa seseorang ibu. Oleh itu penting bagi
semua ibu mendapat jagaan yang sewajarnya ketika hamil
dengan melakukan pemeriksaan di klinik untuk menentukan
tekanan darah, air kencing, timbang berat dan keadaan bayi
yang dikandungnya. Ini bertujuan untuk menjauhkan segala
gejala dan bencana yang mungkin menimpa ibu hamil,
khususnya ibu yang sedang hamil kembar.
Ibu yang hamil kembar juga sering menghadapi risiko
kelahiran tidak cukup bulan. Seringkali kelahiran berlaku
di peringkat lapan bulan atau lebih awal daripada itu. Ini
kerana rahim menjadi kembang dan amat besar dan ia tidak
berupaya untuk mengembang lebih besar lagi pada peringkat
itu. Oleh itu sesetengah doktor menasihatkan ibu supaya
berehat di hospital sebaik sahaja kehamilan meningkat
lapan bulan sehinggalah dia melahirkan anak. Dengan
berehat di hospital, masalah sakit bersalin awal dan
tekanan darah tinggi mungkin boleh dielakkan atau dikawal
rapi. Sayangnya, ramai wanita sukar dinasihatkan supaya
masuk hospital, khususnya mereka yang datang dari luar
bandar. Demi kesihatan, keutamaan yang sewajarnya patutlah
diberikan untuk menjauhkan malang yang tidak berbau.
Setiap kelahiran kembar patutlah dilakukan di hospital
yang terdapat berbagai-bagai kemudahan jika berlaku
sebarang masalah dan kerumitan. Kedudukan bayi dalam rahim
seringkali tidak normal, adakalanya songsang atau
melintang. Kelahiran bayi yang sulung biasanya jarang
menimbulkan masalah tetapi kelahiran yang kedua seringkali
menimbulkan kerumitan. Jika tidak dikendalikan dengan
betul mungkin tangan bayi yang kedua akan keluar dahulu.
Ini tentulah menimbulkan masalah kerana dalam keadaan
songsang atau melintang, bayi ini mungkin perlu dilahirkan
dengan pembedahan sesarean. Sebaik-baiknya semua kelahiran
kembar patutlah dikendalikan oleh doktor pakar yang
terlatih dalam bidang ini.
Selain itu, bayi kembar juga terpaksa menempuh lebih
banyak rintangan dan ancaman pada peringkat awal kehidupan
sehingga umur sebulan. Kadar kematian bayi kembar lebih
tinggi berbanding dengan kelahiran bayi tunggal. Tidak
cukup bulan dan tidak cukup timbang berat adalah di antara
sebab utama kematian bayi. Kerumitan dan kesukaran ketika
kelahiran juga merupakan satu sebab mengapa kadar kematian
kembar lebih tinggi. Biasanya, dalam kelahiran kembar ini,
bayi kedua adalah lebih terancam daripada bayi pertama.
Bagi kembar siam, penting disahkan kehamilan itu sebelum
kelahiran berlaku kerana kembar siam tidak boleh
dilahirkan melalui cara biasa. Ia perlu dilahirkan
menerusi pembedahan. Pengesahan ini biasanya didapati
dengan melakukan X-ray pada peringkat akhir kehamilan dan
daripada gambar ini beberapa tanda boleh dikesan untuk
mengesahkan kejadian kembar siam. Walaupun demikian,
perkara ini tidak perlu dibimbangkan kerana ia sangat
jarang berlaku.
Jagaan bayi kembar juga merupakan satu cabaran kepada ibu
dan bapa. Menjaga seorang bayi kadangkala boleh
menimbulkan kekecohan, bagaimana pula menjaga dua orang
bayi yang amat kecil dalam satu masa. Walaupun demikian,
bantuan dari ahli keluarga lain bolehlah didapati
khususnya dari ibu sendiri atau ibu mertua yang telah
banyak pengalaman. Namun begitu, sekiranya anda disahkan
mengandung bayi kembar, anda semamangnya seorang ibu yang
bertuah kerana bukan senang untuk dikurniakan dua bayi
comel dalam satu masa yang bakal mewarnai kehidupan anda
sekeluarga. |