| |
Kelahiran
kembar yang diidamkan dianggap double trouble dalam kamus
perubatan
"YANG mana satu Azira ni,” kata saya ketika pertama kali
bersua dengan pasangan kembar seiras, Fara Azura Mazli Md
Razalli (Azura) dan adik kembarnya, Fara Azira Mazli (Azira).

Perkenalan singkat dengan pasangan kembar itu bermula
ketika membuat liputan program realiti TV3, Explorace: The
Extreme Journey di Miri, Sarawak, kira-kira dua tahun lalu.
Kejayaan pasangan kembar seiras itu menjuarai pusingan
awal di Miri, melayakkan mereka bersaing dalam pusingan
separuh akhir di Brisbane, Australia. Kebetulan, kami
bertemu sekali lagi.
Nampaknya, `pening’ dalam membezakan antara keduanya di
Miri berlarutan pula ke Brisbane memandangkan
masing-masing berambut lurus panjang melepasi bahu, berat
badan sama dan ketinggian yang hampir tidak membezakan
antara satu sama lain.
Apatah lagi, pakaian sukan yang digayakan Azura dan Azira
juga sedondon. Akibatnya, penulis asyik keliru antara
kedua-dua mereka.
Berkali-kali juga dialog "Yang mana satu Azira ni?”. Tidak
pun dialognya "Awak Azura atau Azira?”. Begitulah antara
interaksi awal untuk memastikan penulis tidak keliru
dengan pasangan kembar itu.
Walaupun pasangan itu gagal meneruskan cabaran ke pusingan
akhir, ternyata Fara Azira mendapat `hadiah’ lebih
bermakna apabila bertemu jodoh dengan seorang lagi peserta
Explorace, Muhamad Zairulnizam, 32.
Itulah antara ragam tatkala berdepan dengan pasangan
kembar seiras. Sudahlah tidak dapat membezakan antara
kedua mereka, gelagat mereka juga kadangkala turut
memeningkan kepala kerana hampir serupa.
Mungkin bagi mereka yang mempunyai adik-beradik, saudara
mara atau kenalan yang kembar seiras merasakan suatu
keseronokan bila berhadapan dengan mereka.
Tentulah glamor pasangan kembar seiras tatkala berada di
khalayak ramai bila banyak mata yang memandang, meneliti
persamaan dan mencari perbezaan dari hujung rambut hingga
ke hujung kaki.
Mungkin kurang memeningkan mencari kelainan walaupun
sedikit pada pasangan kembar seiras remaja atau dewasa.
Mungkin kerana segan tampil sedondon, pasangan kembar yang
meningkat dewasa sering tampil dengan sedikit perbezaan,
setidak-tidaknya pakaian atau potongan rambut berlainan.
Lain keadaannya ketika kanak-kanak. Ibu bapa bangga
menampilkan anak kembar, berwajah serupa, hinggakan
pakaian, potongan rambut, kasut, pendek kata
segala-galanya, tiada yang dapat membezakan.
Selasa lalu, saya bertemu semula pasangan kembar seiras,
Azura dan Azira, yang berusia 27 tahun ini. Kali ini,
kurang sukar untuk membezakan mereka kerana sebelum
bertemu, saya sudah dimaklumkan Azira baru saja selamat
melahirkan putera sulungnya, Mohamad Kayden Muhamad
Zairulnizam pada 5 Mei lalu, jam 5.55 pagi.
Tambah pula, Azura kini bertudung, membuatkan dialog siapa
Azura, siapa Azira tidak lagi saya suarakan.
Bertemu pasangan kembar ini, melihat kemesraan dan
keakraban mereka, memutikkan perasaan cemburu. Terdetik di
hati keseronokan yang akan dikecapi andai mempunyai
pasangan kembar seiras. Adakah segala cerita, pengalaman,
suka dan duka akan dikongsi bersama? Mungkin tiada rahsia
antara kami berdua?
Memang ramai pasangan suami isteri mendambakan untuk
memiliki anak kembar. Hakikatnya, bukan semua pasangan
suami isteri dapat memiliki anak kembar, lebih-lebih lagi
kembar seiras.
Ia bukan sesuatu yang boleh diatur dan ditentukan, kata
Ketua Kaunselor Kesuburan, Pusat Kesuburan Concept Vivian
Tan. Kelahiran kembar seiras, katanya, umpama keajaiban
dan kuasa Tuhan.
Namun, apa yang lebih menarik, kelahiran kembar yang
sering dianggap berita paling menggembirakan buat ibu bapa
dilihat sebaliknya dalam konteks perubatan. Kelahiran
kembar dilihat doktor sebagai double trouble. Masalah?
Kepayahan?
Mengapa? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan double
trouble? Ikuti juga kisah Azura dan Azira serta pasangan
kembar `sensasi’, pemain bola sepak skuad Olimpik
Kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan
kembarnya, Mohamad Zaquan Adha.
Mereka mungkin serupa tetapi hakikatnya, mereka tidak sama...
Azu, Azi berhubung macam orang bercinta
MENGALAHKAN orang sedang bercinta bila mengenangkan jumlah
bil telefon bimbit mencecah RM600 sebulan yang terpaksa
ditanggung Fara Azura Mazli. Semuanya gara-gara `terpisah’
dengan adik kembar kesayangan, Fara Azira Mazli.

Selepas 18 tahun hidup bersama, Fara Azura yang mesra
digelar Azu dan Fara Azira, Azi, `terpisah’ apabila
masing-masing menerima tawaran belajar di universiti
berbeza. Azu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah
Alam, Selangor manakala Azi pula di Universiti Utara
Malaysia (UUM), di Sintok, Kedah.
Penghubung terbaik selama empat tahun berjauhan adalah
telefon dan akibatnya, bil telefon mencecah sehingga RM600
sebulan!
"Kadang-kadang bukanlah penting sangat benda yang hendak
dibualkan, tetapi ada saja yang terlintas di fikiran akan
kami kongsi bersama.
"Memang tidak boleh berahsia langsung dengan Azi kerana
lambat laun dia akan bertanya sendiri dengan saya perkara
yang tidak dikhabarkan padanya.
"Kalau bercerita pun, tak sempat habiskan ayat Azi sudah
memberikan jawapannya,” gelak Azu mengenangkan hubungan
akrab mereka berdua walaupun berpisah buat sementara bagi
meneruskan cita-cita.
Segala cerita dikongsi bersama, suka-duka tidak menjadi
rahsia pasangan kembar seiras ini. Seperti penulis yang
sering kali `tertipu’ untuk mengenali mereka, sesiapa saja
yang melihat mereka juga akan mengalami suasana sama.
Persamaan mereka begitu ketara, sukar untuk mencari
perbezaan.
Cuma kini, Azu sudah bertudung. Itulah satu-satunya cara
mudah untuk membezakan pasangan kembar ini.
Kata Azi, walaupun seiras, karektor mereka berbeza. Azi
lebih bersifat pasif dan sedikit penakut berbanding Azu
yang lebih berani dan gemarkan aktiviti lasak.
Tetapi, dalam banyak perkara, cita-rasa dan keinginan
mereka kelihatan sama dan pada pasangan kembar ini, itu
semua berlaku secara kebetulan.
Ketika membuat pilihan universiti untuk melanjutkan
pengajian dulu pun, masing-masing memilih UiTM. Walaupun
akhirnya mereka menuntut di universiti berlainan,
pekerjaan mereka kini boleh dikatakan dalam cabang yang
sama.
Azu bertugas sebagai guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
di sebuah sekolah menengah di Puchong, Selangor manakala
Azi pula memegang jawatan Pegawai Belia dan Sukan, Majlis
Sukan Negara (MSN).
Begitu juga halnya dalam pemilihan pasangan hidup.
Karektor suami mungkin berbeza tetapi minat hampir sama.
Masing-masing menyukai dan memiliki motosikal berkuasa
tinggi, suami Azi menunggang superbike manakala suami Azu
dengan Harley Davidsonnya.
Malah, celah Azu, pernah suatu ketika mereka berdua
bertanyakan suami masing-masing mengenai pesanan makanan,
jawapannya sama iaitu chicken sandwich!
INFO Azu &
Azi
|
- |
Azu lahir empat minit lebih awal daripada Azi pada 30 Mei
1980. |
|
- |
Ketinggian Azi satu sentimeter kurang daripada kakaknya
iaitu 152 sentimeter (sm). |
|
- |
Berat Azu 48 kilogram (kg), manakala berat Azi pula 52 kg. |
|
- |
Azu lebih berani dan sukakan cabaran berbanding Azi yang
sedikit penakut. |
|
- |
Azu bernikah pada 1 Oktober 2005, manakala Azi pula
bernikah pada 23 Disember 2005. |
|
- |
Azu dan Azi tidak boleh menipu dan berahsia sesama mereka
kerana masing-masing boleh `merasai’ antara satu sama
lain. |
|
- |
Suami Azu, Zoolfadli Suradi peminat motor Harley Davidson,
kecenderungan sama turut dialami suami Azi, Muhamad
Zairulnizam Bahrom pula yang meminati superbike. |
|
- |
Umur suami Azu dan Azi juga serupa, 32 tahun. |
|
- |
Secara kebetulan, Zoolfadli dan Muhamad Zairulnizam saling
mengenali sebelum masing-masing mengenali Azu dan Azi. |
|
- |
Zoolfadli dan Muhamad Zairulnizam juga ada sedikit
persamaan - botak dan saiz bentuk badan yang sama. |
|
|
|
|