|
|
PUTRAJAYA 12 Jun
– Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan
menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21
peratus kanak-kanak di negara ini mengalami ‘Masalah 3G’
iaitu Gebu, Gempal dan Gemuk.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata,
kajian tahun lalu itu menunjukkan satu juta atau 18.8
peratus wanita berusia 25 hingga 64 tahun adalah gemuk,
manakala bagi lelaki sebanyak 13.9 peratus atau 850,000
orang.
Beliau berkata, ini bermakna bagi setiap 100 orang di
kalangan mereka yang berumur 25 hingga 64 tahun, terdapat
14 orang lelaki yang gemuk sementara bagi wanita pula
seramai 19 orang.
Trend obesiti yang serupa, katanya, turut melanda
kanak-kanak.
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 12,000
murid sekolah di Semenanjung Malaysia menunjukkan 10.5
peratus daripada mereka berlebihan berat badan dan enam
peratus dikategorikan sebagai gemuk.
‘‘Kalau dulu mungkin orang yang gebu, gempal serta gemuk
dikatakan sihat dan sejahtera tetapi kini tidak lagi
kerana ia menjurus kepada bahaya dan bencana.
“Gejala 3G sekarang sudah menjadi masalah kesihatan yang
semakin serius, justeru langkah-langkah pencegahan perlu
dilaksanakan oleh semua pihak,” kata Soi Lek pada seminar
kesihatan Masalah 3G dan Kesannya Kepada Kesihatan Wanita
anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan
Awam Malaysia (Puspanita) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Parlimen
Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon.
Soi Lek berkata, berbanding kajian serupa 10 tahun lalu,
jumlah penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas yang
berlebihan berat badan adalah 16.6 peratus sementara
kegemukan dianggarkan 4.4 peratus.
Beliau menambah, Malaysia merupakan negara rantau Asia
Tenggara yang mempunyai masalah kegemukan kedua tertinggi.
Tegasnya, pendidikan kesihatan yang betul amat penting
kerana kegemukan adalah permulaan untuk mendapat penyakit
kronik seperti sakit jantung koronari, diabetes dan strok.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kegemukan
turut meningkatkan risiko mendapat kanser payu dara,
kanser kolon, prostat, uterus, buah pinggang dan penyakit
pundi hempedu menerusi perubahan hormon akibat kegemukan.
‘‘Kegemukan juga menjadi penyumbang kepada penyakit sendi
atau ‘osteoartritis’ yang kerap dialami oleh golongan
dewasa sehingga mengehadkan pergerakan mereka,” katanya.
Perkembangan ini antara lain berpunca daripada perubahan
gaya hidup rakyat negara ini ekoran pertumbuhan pesat
sosioekonomi yang memberangsangkan.
Sehubungan itu, Soi Lek mahu dua amalan asas dipatuhi oleh
semua terutama kanak-kanak iaitu mengambil makanan
berkhasiat mengikut keperluan tubuh dan melakukan aktiviti
fizikal mencukupi.
‘‘Kegemukan tidak berlaku dalam sekelip mata. Penurunan
berat badan juga tidak boleh dilakukan dalam tempoh
singkat kerana mereka yang mengalami masalah 3G perlu
menurunkan berat badan secara sistematik iaitu antara 0.5
hingga satu kilogram seminggu,” katanya.
Soi Lek menambah, penurunan berat badan yang drastik
melalui pengambilan ubat-ubatan tidak diiktiraf oleh
Kementerian Kesihatan akan mendatangkan kemudaratan dan
seterusnya kematian. |