Cuti bersalin – Kebajikan pekerja wanita diutamakan

Cuti bersalin – Kebajikan pekerja wanita diutamakan

Sumber: Utusan Malaysia, 26/02/2002


SUMBANGAN besar wanita dalam sektor tenaga kerja di negara ini sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Sebagai antara tunggak kepada perkembangan ekonomi negara, sewajarnya penglibatan mereka lebih dihargai.

Kebajikan wanita sebagai pekerja, ibu dan isteri harus diambil kira, lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan cuti bersalin

Isu mengenai tempoh cuti bersalin yang dikatakan agak singkat dan tidak mencukupi bagi wanita bekerja di negara ini, merupakan isu yang belum selesai bagi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Biarpun jawatan Pengerusi Bahagian Wanitanya telah bertukar tangan, perjuangan mereka untuk mendesak kerajaan agar tempoh cuti bersalin dilanjutkan daripada 60 hari kepada 90 hari tetap diteruskan.

“Cadangan tersebut adalah wajar memandangkan ia memberi kebaikan kepada aspek pembangunan keluarga khususnya kepada para ibu serta anak yang baru dilahirkan,” ujar Pengerusi Bahagian Wanita MTUC yang baru, Noorlaila Aslah.

Menyentuh tentang kebaikannya kepada ibu dan anak yang dilahirkan dari segi perhatian dan penjagaan, ia adalah satu tempoh yang agak sesuai bagi ibu mewujudkan situasi sedemikian.

“Situasi tersebut hanya akan berhasil jika masa yang diberikan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau ditemui selepas ceramah mengenai gangguan seksual kepada kakitangan dan pekerja wanita dalam industri pengangkutan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Seminar anjuran Persekutuan Pengangkutan Antarabangsa (ITF) yang menumpukan aktiviti gerak kerja serta membincangkan isu-isu berkaitan wanita itu dirasmikan oleh Presiden MTUC, Senator Datuk Zainal Rampak.

Noorlaila juga berpendapat, cuti bersalin yang dilanjutkan itu juga memberi ruang kepada ibu berehat dalam tempoh yang lebih lama sebelum kembali bekerja.

Menyentuh tentang cuti golongan bapa yang dicadangkan oleh Kongres, beliau turut berpendapat cuti tersebut penting kerana dalam tempoh tersebut suami dapat membantu isteri mewujudkan persekitaran yang lebih selesa kepada bayi.

Malah cadangan yang dibuat oleh Presiden MTUC sendiri bagi membolehkan suami yang bekerja di sektor swasta bercuti selama 14 hari tanpa rekod ketika isteri bersalin turut dipersetujui.

Jika cuti tersebut dilanjutkan dari tiga hari kepada dua minggu, ia dapat membantu meringankan beban ibu dari segi emosi dan fizikal yang mungkin terganggu selepas melalui proses kelahiran.

Tempoh cuti ihsan yang diberikan oleh sesetengah majikan kepada suami selama tiga hari katanya, adalah tidak mencukupi. Malah terdapat juga majikan yang langsung tidak memberi cuti ihsan kepada para suami.

“Dalam tempoh isteri berada di hospital sehinggalah pulang ke rumah, banyak perkara yang terpaksa diuruskan oleh suami,” ujarnya lagi.

Noorlaila menyangkal sama sekali pandangan sesetengah pihak yang masih mempertikaikan keberkesanan cadangan tersebut.

“Banyak perkara yang perlu difikirkan demi kepentingan kedua-dua pihak iaitu pekerja serta majikan.

“Biarpun cadangan-cadangan tersebut banyak merujuk kepada kepentingan dan hak asasi pekerja wanita dari aspek kemanusiaan serta fitrah semula jadi wanita itu sendiri, kita tidak boleh melihat isu tersebut hanya daripada satu aspek sahaja,” katanya.

Malah alasan melanjutkan tempoh cuti bersalin kepada sebulan lagi hanya akan menurunkan produktiviti pekerja wanita katanya, adalah tidak kukuh sama sekali.

Malah kata Noorlaila, penambahan cuti bersalin itu mampu mengembalikan kecergasan kepada golongan isteri sebelum mula bertugas.

Justeru, adalah perlu kerajaan melihat kewajarannya dari pelbagai aspek terutama dari aspek melahirkan tenaga kerja yang produktif dan mahir dalam pelbagai bidang.

“Wanita lebih terkenal dengan sifat tekun dan kerja keras malah mereka sentiasa akan merebut peluang yang ada di hadapan untuk menunjukkan kemahiran dan kebolehan mereka,” ujarnya.

Wanita tidak seharusnya dilihat sebagai golongan yang lemah dan tidak produktif dalam melakukan sesuatu tugas yang dipertanggungjawabkan.

Sebaliknya wanita itu sendiri katanya, harus membuktikan bahawa mereka juga mampu melakukan tugas dan tanggungjawab yang sama dengan lelaki biarpun bergelar ibu.

Be Sociable, Share!
You can leave a response, or trackback from your own site.
Powered by WordPress | Designed by: Virtual Dedicated Servers | Compare Top WordPress Themes, wordpress 4 themes and