Diet kurangkan simptom ADHD

Diet kurangkan simptom ADHD

Kanak-kanak yang menghidap ADHD mempunyai masalah dalam memberi tumpuan dan bersifat hiperaktif. – Gambar hiasan

 

Diet khas yang terkawal mungkin dapat mengurangkan simptom hiperaktif dan kurang tumpuan atau attention-deficit hyperactivity disorder (ADHD) di kalangan kanak-kanak.

Kajian terbaru yang disiarkan oleh jurnal perubatan, The Lancet keluaran 5 Februari lalu mendapati bahawa apabila kanak-kanak berusia antara 4 hingga 8 tahun diletakkan dalam kumpulan diet yang tidak mengandungi makanan proses selama lima minggu, simptom ADHD berkurangan sebanyak 78 peratus dalam diri mereka.

“Diet yang diawasi dengan ketat mungkin menjadi instrumen yang paling berguna untuk melihat sama ada ADHD berpunca daripada pemakanan.

“Kami berpendapat bahawa perhatian terhadap diet pemakanan perlu dipertimbangkan bagi semua kanak-kanak yang menghidap ADHD, lebih-lebih lagi jika ibu bapa juga bersedia untuk mengikuti diet ketat ini untuk tempoh lima minggu dan di bawah pengawasan pakar,” kata salah seorang penyelidik.

Menurut Institut Kesihatan Mental Kebangsaan (NIMH) di Amerika Syarikat, ADHD adalah gangguan biasa di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak yang menghidap ADHD mempunyai masalah dalam memberi perhatian, tumpuan dan bersifat hiperaktif.

Kebanyakan ibu bapa sejak dulu beranggapan bahawa makanan bergula mungkin menjadi punca tercetusnya simptom tersebut, tetapi tidak banyak bukti diperoleh bagi menyokong teori tersebut.

Bagaimanapun bahan tambahan dan pengawet dalam makanan baru-baru ini telah disebut-sebut sebagai kemungkinan memberi kesan ke atas tingkah laku kanak-kanak, walaupun belum ada bukti yang konklusif.

Memandangkan sesetengah kanak-kanak mempunyai reaksi negatif terhadap makanan tertentu – seperti ekzema, asma dan masalah gastrointestinal — yang memberi kesan ke atas sistem organ yang berbeza, ia mungkin menggambarkan bahawa makanan mungkin juga memberi kesan kepada otak yang berkaitan dengan tingkah laku hiper.

Untuk menguji teori ini, para penyelidik telah melatih 100 kanak-kanak dari Belgium dan Belanda. Kanak-kanak ini berumur antara 4 hingga 8 tahun dan kesemuanya telah dikenal pasti mempunyai ADHD. Kebanyakan kanak-kanak adalah lelaki.

Kanak-kanak tersebut secara rawak telah dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan diletakkan dalam diet pengasingan terhad dan kumpulan lain diletakkan sebagai kumpulan terkawal dan diberi nasihat mengenai pemakanan sihat.

Diet terhad bermula dengan apa yang dipanggil sebagai ‘beberapa makanan diet’ yang hanya mengandungi nasi, daging, sayur-sayuran, buah pir dan air.

Para penyelidik kemudian melengkapkan diet tersebut dengan beberapa makanan tertentu seperti kentang, buah-buahan dan gandum. Diet terhad ini berlarutan selama lima minggu.

Dalam tempoh empat minggu berikutnya, kanak-kanak kumpulan diet terhad ini diberi dua ujian cabaran diet, di mana makanan tertentu diperkenalkan semula dalam diet mereka. Dalam hal ini para penyelidik memilih makanan yang dianggap mempunyai kedua-dua kadar IgG rendah dan tinggi.

IgG adalah antibodi yang dihasilkan oleh sistem imun yang dipercayai oleh sesetengah pengamal perubatan alternatif mempunyai kaitan dengan makanan hipersensitif.

Begitupun ujian IgG masih mencetuskan kontroversi di kalangan ahli perubatan.

Dalam pada itu seramai 41 kanak-kanak berjaya menyelesaikan fasa diet terhad tersebut. Daripada jumlah tersebut 78 peratus menunjukkan penurunan dalam simptom ADHD mereka berbanding tiada perubahan bagi kumpulan terkawal.

Sembilan kanak-kanak (22 peratus) tidak memberi respons terhadap diet tersebut. Mengikut skala simptom ADHD, tahap dari 0 hingga 72 mata, adalah simptom teruk, manakala mengikut kajian tersebut purata penurunan ialah 24 mata.

Seramai 30 kanak-kanak yang menunjukkan respons kepada diet terhad menjalani pula ujian cabaran diet yang mana 19 orang daripadanya menunjukkan simptom berulang.

“Jika ibu bapa sedar bahawa tingkah laku kanak-kanak nampaknya bertambah buruk dengan makanan tertentu, jadi mungkin diet terhad ini berbaloi untuk dipertimbangkan,” kata Dr. Jaswinder K. Ghuman salah seorang penyelidik yang merupakan profesor psikitri dan pediatrik di Universiti Arizona di Tucson, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun katanya, untuk diet ini berjaya ibu bapa perlu konsisten dan mungkin perlu memberi perhatian kepada nutrisi makanan.

“Ia harus dilakukan di bawah pengawasan doktor dan jika boleh oleh pakar pemakanan,” katanya.

 

examo-ckm500-pemakanan-minda-terbaik_14042015

Sumber Rujukan: Arkib Utusan Malaysia, 10/02/2011

Both comments and pings are currently closed.