Isu keluarga bukan remeh

Isu keluarga bukan remeh

Sumber: Utusan Malaysia, 31/05/2003

Mukadimah
KEHIDUPAN moden yang serba pantas dan mencabar, sedikit sebanyak mencetus tekanan ke atas institusi keluarga di negara ini.

Memenuhi tuntutan kerja dan segala macam urusan lain membuatkan waktu yang diperuntukkan untuk bersama keluarga semakin kurang.

Secara tidak disedari, sedikit demi sedikit keadaan ini menghakis nilai-nilai kekeluargaan dan kekuatan untuk mempertahankan institusi keluarga semakin lemah.

Justeru bagi memperkasakan semula institusi tersebut Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga tampil dengan program-program yang menjurus kepada pengukuhan hubungan antara ahli keluarga.

Ikuti wawancara khas wartawan Siti Zaleha Jorimai dan Noraini Abd. Razak bersama Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2003 yang disambut hari ini.

UTUSAN: Apakah perlunya diwujudkan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan untuk masyarakat negara ini, Datuk Seri?

SHAHRIZAT: Hari Keluarga Kebangsaan telah disambut oleh kerajaan sekian lama melalui LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara). Pada tahun ini, kita jadikan 31 Mei sebagai Hari Keluarga Kebangsaan dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulaill akan berangkat ke majlis yang menghimpunkan ahli keluarga seluruh Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, keluarga besar, keluarga kecil, ibu tunggal sama ada di bandar, luar bandar, yang bekerja dan tidak bekerja.

Sambutan ini bagi mengingatkan kepada kita betapa mustahaknya institusi keluarga sebagai unit asas kebahagiaan masyarakat. Keluarga adalah unit asas, kalau kita pelihara unit keluarga ini dengan baik dan kalau unit ini kuat maka kuatlah masyarakat dan kuatlah negara. Kalau runtuh unit asas keluarga itu maka ia akan melemahkan sistem sosial di seluruh dunia.

Sambutan ini adalah penghargaan dan tanda terima kasih kementerian bagi pihak kerajaan kepada ibu, bapa dan keluarga kerana telah menjaga, memelihara dan melindungi anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Secara umumnya bagaimana Datuk Seri melihat nilai-nilai keluarga yang ada dalam institusi kekeluargaan di negara kita sekarang?

SHAHRIZAT: Pada umumnya Alhamdulillah di Malaysia institusi keluarga masih dihormati dan masih dipraktikkan dan ia membawa kepada kekuatan masyarakat dan negara. Kini saya lihat kaum bapa memainkan peranan yang baik dalam menjaga anak-anak mereka terutama di kalangan bapa muda.

Mereka kini melihat tugas dan tanggungjawab mereka dengan cara yang berbeza, mereka adalah bapa moden. Mereka sanggup menukar lampin. Ibu pun pada hari ini mempelajari cara-cara bagaimana untuk menjadi isteri serta ibu yang baik, bagaimana menjaga anak.

Saya melihat pada umumnya sama ada generasi lama atau baru, masih menghargai pertalian kekeluargaan, tetapi pada masa yang sama kita tidak terlepas daripada menghadapi keruntuhan keluarga. Senario ini berlaku kalau kita tidak menjaga keutuhan keluarga dan keruntuhan yang berlaku adalah dari segi perceraian dan perpisahan antara pasangan.

Kalau perkara ini tidak dibendung oleh kerajaan iaitu dengan mengingatkan kepada rakyat dalam semua agama bahawa keluarga adalah institusi paling mulia, maka keruntuhan ini pasti sukar dielakkan.

Justeru, kami di kementerian melaksanakan program memperkukuhkan institusi keluarga melalui LPPKN. Saya nampak cabaran utama LPPKN di alaf baru ini mengubah pendekatan mereka. Kalau pada satu masa dulu LPPKN terkenal dengan perancang keluarga, hari ini kita berganjak dan mahu dikenali sebagai satu badan yang membantu pembangunan keluarga.

LPPKN kini berhadapan dengan isu-isu yang dihadapi oleh keluarga di negara ini. Sebab kita lihat trend sekarang bukan sahaja bapa yang bekerja malah ibu juga demikian. Soalannya, siapa yang akan menjaga anak di rumah sedangkan tuntutan untuk memberi perhatian kepada pembelajaran anak-anak adalah dalam tanggungjawab mereka.

Begitu juga dengan masalah penghakisan keluarga besar (extended family), kalau dulu apabila kita bercakap fasal keluarga ia termasuk tok nenek kita, moyang, sepupu, bapa saudara, mak saudara. Tetapi kini banyak yang sudah terhakis malah sekarang kita tak kenal pun sepupu kita. Perkembangan ini memberi kesan kepada institusi keluarga yang jika kita ingin pastikan keutuhannya, kita mesti mengambil langkah untuk menghargainya dan memastikan supaya institusi ini tidak terlerai.

Untuk itu, kementerian saya kini mencari jalan untuk memantapkan institusi kekeluargaan termasuk mewujud atau memperkenalkan modul pengurusan krisis keluarga supaya setiap pasangan berfikir panjang sebelum mengambil tindakan yang boleh meruntuhkan institusi keluarga termasuk perceraian.

Sebab saya lihat trend sekarang memperlihatkan kerapuhan institusi keluarga di mana jika pasangan suami isteri berhadapan dengan masalah, walaupun sedikit, mereka melihat perceraian sebagai jalan penyelesaian. Keadaan ini berbeza dengan ibu bapa kita dahulu yang sekiranya berhadapan dengan masalah mereka akan duduk. Mereka juga mengharungi cabaran dan masalah dalam keluarga dengan penuh cekal terutama jika mempunyai anak-anak.

Ini terbukti jika kita hayati kata orang tua-tua, kalau nak bercerai pandang muka anak-anak. Jelas menunjukkan betapa mereka menghargai institusi keluarga dan berusaha mengelak daripada meruntuhkannya sebab ia melibatkan masa depan anak-anak.

Tetapi trend pasangan hari ini, apabila ada masalah walaupun di peringkat awal mereka akan berpisah atau bercerai terutama pasangan muda. Dan ini membimbangkan kerajaan. Sebab tu saya minta LPPKN beri penekanan kepada modul pengurusan krisis dalam program anjuran mereka.

Kita perlu mengakui bahawa tiada perkahwinan yang sempurna malah setiap perkahwinan melalui pelbagai cabaran. Ada masa berkasih sayang, ada masa suka, ada masa duka, ada masa dicabar, jadi kita dalam program itu kita nak terapkan kesedaran mengenai pentingnya institusi keluarga diperkukuhkan.

Anak muda selalu fikir apabila masuk ke alam perkahwinan mereka kata ia adalah honeymoon year jadi mereka ingat sepanjang perkahwinan honeymoon belaka, sebenarnya ini tidak betul kerana perkahwinan adalah komitmen dan tanggungjawab.

Ini adalah aspek yang kita akan tekankan dalam kursus kita. Anak-anak muda harus faham bahawa dalam perkahwinan bukan hanya kasih sayang menjadi keutamaan tetapi tanggungjawab juga penting. Kita mahu pasangan suami isteri di negara kita mengikut pepatah Inggeris iaitu don’t abandon ship at the first time of trouble. Saya juga melihat tahap kecekalan di kalangan pasangan suami isteri terlalu rendah berbanding generasi dulu yang akan berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah sebelum memilih perpisahan atau perceraian sebagai jalan terakhir. Jangan pula kita jadikannya sebagai penyelesaian pertama kerana ia bakal meruntuhkan institusi keluarga.

Pada pendapat Datuk Seri, adakah kurangnya kecekalan di kalangan pasangan suami isteri sekarang disebabkan oleh tekanan-tekanan yang dihadapi dari luar lebih-lebih lagi di zaman serba pantas sekarang?

SHAHRIZAT: Saya berpendapat sebenarnya jika dibandingkan dengan keadaan dulu dan sekarang, dahulu kita banyak melihat kepada faktor lain. Dahulu masyarakat mementingkan nilai kekitaan berbanding sekarang yang mengutamakan diri sendiri. Kita sekarang pentingkan keselesaan kita, kejayaan kita sedangkan orang dahulu kalau kita tengok datuk nenek kita, mereka banyak berkorban.

Walaupun dulu banyak perkahwinan yang tidak membawa kebahagiaan tetapi oleh kerana memikir anak-anak, mereka mengorbankan kebahagiaan atau kejayaan sendiri demi anak-anak. Tetapi hari ini budaya di seluruh dunia menyaksikan `awak fikir tentang diri awak dulu,’ dan kedua-dua pasangan ada jalan keluar yang lebih mudah. Suami dan isteri bekerja sedangkan dahulu tidak begitu menyebabkan para isteri tidak mempunyai pilihan jadi mereka menelan dan menahan semua kepayahan.

Sebab itu, kita di LPPKN terus relevan dan bersedia membantu mana-mana pihak yang bermasalah terutama melalui pengurusan krisis supaya rumah tangga yang diibaratkan seperti sebuah kapal tidak tenggelam apabila dilanda ombak.

Kalau kita sudah mencuba seberapa daya dan pada akhirnya kapal itu tenggelam juga, orang kata itu puas hati. Yang penting kita mesti mencuba jangan kena sikit terus bercerai, masalah berkelahi sekali… bercerai, anak sapa nak jaga. Dan jika berlaku perceraian misalnya, kementerian terus memainkan peranan membantu ibu tunggal dan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk memastikan golongan ini tidak terpinggir dalam masyarakat.

Pada dasarnya kementerian saya memantau isu-isu kekeluargaan termasuk memperjuangkan kelompok ibu tunggal seperti memberi bantuan sebanyak RM600 sebulan, setidak-tidaknya masyarakat tidak memandang rendah pada golongan ini.

Walaupun bukan semua ibu tunggal dapat pembelaan begitu juga isu-isu lain seperti perjuangan kami supaya para suami mendapat cuti bersalin lebih lama dan cuti kematian selama tiga hari.

Perkembangan terbaru sekarang ramai ibu yang memilih untuk bekerja dari rumah. Apa pendapat Datuk Seri berhubung perkembangan ini?

SHAHRIZAT: Saya minat betul dengan konsep ini, saya begitu minat dan berharap kita dapat mendesak semua pihak memandang serius cadangan supaya kaum wanita dibenarkan bekerja dari rumah. Sekarang ini wanita bekerja disebabkan oleh banyak perkara.

Pertama, kerana mereka memilih untuk berbuat demikian dan kedua disebabkan mereka mempunyai kemahiran. Kita kena ingat wanita adalah separuh daripada tenaga kerja di Malaysia jadi kalau wanita tidak beri sumbangan maka kelak lumpuhlah ekonomi negara. Dan tuntutan keluarga kini memerlukan para isteri bekerja, kalau tidak mereka tidak mampu menyediakan keperluan asas, sebab itu kita mahu kalau boleh salah seorang dapat bekerja di rumah.

Zaman teknologi maklumat (IT) ini jelas membolehkan sama ada isteri atau suami bekerja dari rumah. Wanita yang mahir dalam bidang IT misalnya mampu berbuat demikian dan pada masa yang sama memberi perhatian kepada anak-anak. Kementerian sedang mencari jalan untuk mempopularkan konsep ini. Saya pasti pada zaman ini ada beberapa sektor di mana pekerja-pekerjanya tidak perlu menghadirkan diri di pejabat.

Melalui konsep ini, terbukti ia berjaya meningkatkan lagi produktiviti para ibu yang bekerja kerana tumpuan kerja mereka tidak lagi diganggu dengan masalah di rumah. Mungkin kementerian boleh berbuat sesuatu agar konsep ini diperluaskan?

SHAHRIZAT: Saya juga tertarik dengan konsep Small Office Home Office (SOHO) di mana wanita digalak untuk bekerja dari rumah seperti menghasilkan kraf tangan, bidang IT dan penulisan. Jadi kita harap pada tahun ini konsep SOHO ini dapat dipopularkan supaya sama ada ibu atau bapa dapat bekerja dari rumah dan pada yang sama menguruskan rumah tangga.

Kita kena ingat tugas membesarkan anak-anak kini diambil alih oleh pembantu rumah dan trend tersebut tidak boleh dipandang sambil lewa kerana ia memberi kesan yang besar. Kementerian juga memberi perhatian kepada kaum wanita yang berpendidikan tinggi tetapi terpaksa mengorbankan kepakaran mereka semata-mata untuk mendidik anak-anak. Saya tahu ramai profesional muda yang terdiri daripada doktor, peguam dan akauntan yang tidak mahu bekerja selepas berkahwin, jadi kita kena cari jalan supaya kepakaran mereka itu tidak disia-siakan dan pada masa yang sama mereka boleh menjadi isteri serta ibu yang baik.

Apakah langkah-langkah kementerian untuk merealisasikan konsep SOHO ini?

SHAHRIZAT: Sekarang kita hanya pemantau dan jika ia dapat dilaksanakan kelak, kita akan salurkan keperluan ini kepada Kementerian Pembangunan Usahawan yang mungkin pada masa akan datang akan mempunyai peruntukan untuk mereka yang ingin bekerja dari rumah.

Saya juga nampak wanita yang telah berumur dan bekerja misalnya untuk tempoh 30 tahun tidak lagi cergas dan akan pencen. Oleh kerana wanita ini banyak pengalaman, kita juga kena cari jalan untuk menggunakan pengalaman serta ilmu yang ada pada mereka dengan cara menyumbang dari rumah. Saya percaya masyarakat kita sedang menuju ke arah itu.

Dalam usaha kementerian untuk memperkasakan institusi keluarga, ada pula pihak-pihak yang memandang ringan nilai-nilai dan isu-isu mengenai kekeluargaan. Apa pandangan Datuk Seri mengenai perkara tersebut?

SHAHRIZAT: Banyak orang bila kita cakap mengenai pembangunan keluarga mereka pandang ia sebagai isu remeh, mereka rasa isu pembangunan keluarga bukan isu yang mustahak, ramai yang beranggapan demikian terutama mereka yang pembuat keputusan, tetapi Kabinet Malaysia memang mengambil berat isu ini.

Apa juga kementerian pohon mereka beri perhatian, tapi saya lihat isu pembangunan keluarga nampak macam tak penting. Isu ini sering diletak di bawah sekali dalam senarai perkara yang perlu diberi keutamaan. Sebenarnya produktiviti seorang pekerja amat bergantung kepada bentuk institusi keluarganya.

Seorang pekerja kalau dia ada masalah keluarga, anak sakit, tak ada duit nak makan dia tak akan menjadi pekerja yang produktif. Sebab itu mesej kita ialah keluarga bahagia akan meningkatkan produktiviti masyarakat. Sebab itu saya minta kepada majikan supaya tidak melihat institusi keluarga sebagai isu remeh kerana kalau pekerja di syarikat itu tidak ada ketenangan jiwa atau ada yang mengganggu jiwanya, dia tidak dapat menjadi pekerja yang baik.

Orang yang gembira akan menjadi pekerja yang baik dan memberi keuntungan yang bagus kepada syarikat. Masanya sudah tiba isu pembangunan keluarga diperdanakan dan tak diremehkan kerana ia mempengaruhi struktur sosial dan kemasyarakatan negara kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan produktiviti negara.

Bagaimana pula kerjasama atau sokongan daripada kementerian-kementerian lain?

SHAHRIZAT: Isu wanita dan keluarga menghadapi struktur yang sama melibatkan semua kementerian, sebab itu kita bekerja dalam satu kabinet. Kalau ada apa isu misalnya isu ibu tunggal saya bawa ke kabinet maka kementerian yang berkenaan akan bantu selesaikan. Isu keluarga ada di mana-mana.

Berbalik kepada sambutan Hari Keluarga Kebangsaan, tidakkah program ini bertindih dengan program-program kekeluargaan lain yang diperkenalkan oleh kementerian seperti Utamakan Keluarga Semakin Hari Semakin Sayang dan sebagainya?

SHAHRIZAT: Tidak… Sebab saya melihat di peringkat akar umbi mereka gemar kita adakan program seperti ini. Kita tak melihat dari sudut komersial, kita ni keluarga sama ada di rumah, kita sedarah sedaging, kita keluarga di pejabat, di negara, di mana-mana… kita keluarga. Kita buat iklan… jom balik rumah… setidak-tidaknya mengingatkan kita, dalam dunia kita hari ini semua sibuk. Mak sibuk, bapak sibuk, anak sibuk, nenek sibuk… tak ada masa. Setidak-tidaknya kita curi masa untuk bersama keluarga. Sebab itu kita buat iklan jom balik rumah… dan kalau berjaya tahun ini, kita bawa ke Kabinet dan dijadikan acara tahunan.

Masyarakat akar umbi gembira, sebab ia macam peringatan kepada mereka mengenai pentingnya institusi keluarga dan ia tidak dikaitkan dengan nilai komersial seperti kena beli kad. Setidak-tidaknya mereka ingat tanggungjawab kepada keluarga – kasih sayang kepada keluarga, paling kurang pun kita telefon emak bapa kita, tanya khabar kepada anak-anak.

Kepada anak yang berjaya, mereka ada bagi atau tak duit kepada ibu dan bapa. Inilah nilai-nilai yang kian terhakis. Pada satu masa, walaupun anak bekerja dan macam mana kaya raya sekali pun mak bapak mereka, tiap bulan mereka bagi duit. Hari ini amalan itu dah tak ada lagi.

Be Sociable, Share!
You can leave a response, or trackback from your own site.