Lelaki Britain dapat cuti enam bulan isteri bersalin

Lelaki Britain dapat cuti enam bulan isteri bersalin

Sumber: Utusan Malaysia, 24/12/2003
LONDON 23 Dis. – Lelaki Britain yang bakal menjadi bapa mungkin akan menikmati cuti selama enam bulan apabila isteri mereka bersalin bagi membolehkan mereka menjaga bayi masing-masing.

Setiausaha Perdagangan dan Industri, Patricia Hewitt hari ini berkata, wanita yang bersalin pula akan berpeluang mendapat bayaran gaji yang lebih tinggi dalam tempoh enam bulan selepas bersalin selain diberi pilihan untuk mendapat cuti tanpa gaji selama enam bulan lagi.

Menurut Hewitt, lelaki yang isteri mereka baru melahirkan anak juga boleh mengambil cuti tambahan selama enam bulan lagi sekiranya pasangan mereka mahu kembali bekerja selepas enam bulan bercuti.

“Ramai yang turut mendesak agar pihak lelaki juga diberi peluang terlibat secara langsung dalam mengasuh anak-anak sewaktu kita sedang mengkaji untuk melanjutkan tempoh cuti bersalin kepada kaum wanita,” katanya kepada akhbar The Times.

Menurut Hewitt, usul cuti panjang untuk para ibu dan bapa itu dibuat kerana kedua-dua pihak perlu memainkan peranan aktif dalam hidup anak-anak.

“Saya mahu melihat bagaimana untuk membawa keseluruhan pakej ini dan selepas menimbangkannya, cuti enam bulan kepada bapa merupakan satu daripada jalan terbaik untuk pakej kekeluargaan itu,” katanya.

Bagaimanapun usul baru itu mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak termasuk Timbalan Ketua Pengarah Persekutuan Industri Britain, John Cridland yang menganggap langkah tersebut akan mengurangkan produktiviti negara. – AFP

You can leave a response, or trackback from your own site.