Maybank2u Pay pantas, selamat

maybank2u_pay_blogshop_perniagaan-online

Abdul Wahid (tengah), Hong Tat (kanan) dan Mohd Suhail pada pelancaran Maybank2u Pay di Kuala Lumpur, semalam. – Foto Che Rani Che Din

Maybank sasar transaksi RM5j melalui pembayaran baru

Malayan Banking Bhd (Maybank) melancarkan gerbang pembayaran baru dikenali ‘Maybank2u Pay’ yang menyediakan transaksi lebih pantas serta selamat kepada pemilik laman blog beli belah menguruskan perniagaan secara dalam talian.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata pihaknya menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya lima peratus daripada 3,000 pemilik laman blog tempatan dengan 180,000 transaksi bernilai RM5 juta bagi perkhidmatan baru itu tahun ini.

“Perkhidmatan ini mencerminkan sokongan berterusan Maybank terhadap komuniti perniagaan di Malaysia” Abdul Wahid Omar, Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank

Beliau berkata, Maybank2u Pay menawarkan kepada pemilik blog kaedah pengurusan jual beli yang sistematik dan profesional menerusi platform perbankan dalam talian bank itu, Maybank2u.

Ketika ini, katanya seramai 20 peniaga blog sudah menyertai perkhidmatan itu.
“Maybank mendapati sejak akhir-akhir ini perniagaan dalam laman sosial semakin meningkat dan peniaga blog juga menggunakan Maybank2u sebagai kemudahan pembayaran khususnya urusan pindahan wang.

“Berdasarkan arah aliran itu dan perubahan gaya hidup digital pelanggan, kami memutuskan untuk menyediakan kemudahan bagi peniaga blog dan juga kepada pelanggan mereka. Perkhidmatan ini mencerminkan sokongan berterusan Maybank terhadap komuniti perniagaan di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Maybank2u Pay di Kuala Lumpur, semalam.

Pelanggan meningkat

Yang hadir sama ialah Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Lim Hong Tat dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Maya dan Bayaran Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Mohd Suhail Amar Suresh.

Abdul Wahid berkata, bilangan pelanggan Maybank2u Pay dijangkakan meningkat kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun dengan anggaran transaksi berjumlah RM105 juta.

Katanya, pembelian dalam talian kini semakin popular di negara ini apabila perangkaan menunjukkan 1.1 juta rakyat Malaysia berbelanja sebanyak RM1.8 bilion pada 2010.

“Nilai ini dijangka berkembang kepada RM5 bilion tahun depan. Daripada jumlah pelanggan Maybank, kami mempunyai 2.3 juta pengguna aktif yang membuat lebih 2.5 juta transaksi beli belah dalam talian sebanyak RM675 juta tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, Maybank juga merancang untuk mengembangkan sistem Maybank2u Pay itu ke Indonesia, Filipina dan Singapura mulai tahun depan.

Perbankan internet

Katanya, Maybank2u Pay dijangka mengukuhkan lagi penguasaan Maybank dalam perbankan internet di Malaysia menerusi Maybank2u, yang mana ia menguasai 50 peratus pengguna berdaftar di pasaran.

Menerusi Maybank2u Pay, Abdul Wahid berkata, peniaga boleh melihat maklumat terperinci jualan seperti tarikh dan masa transaksi dibuat selain nama pembeli, alamat emel dan jumlah wang yang dipindahkan oleh pembeli.

Sumber: Berita Harian, 17/4/2013

Maybank2uPay_logo Perhatikan logo Maybank2u Pay ini di kedai online MYORDER

.

.

.

Both comments and pings are currently closed.