| |
Amalan Ibu
Mengandung persediaan menanti ‘orang baru’
SUDAH menjadi kebiasaan ibu-ibu mengandung menghadapi
pelbagai masalah sepanjang proses kehamilan. Masalah demi
masalah yang dialami ini hakikatnya menjadikan wanita
hamil itu dalam keadaan yang tidak selesa malah sehingga
menimbulkan komplikasi yang lebih serius sama ada dari
segi kesihatan fizikal dan mental.
Mahu tidak mahu kehamilan dilalui oleh majoriti wanita
yang berkahwin. Hakikatnya Islam meletakkan kemuliaan yang
paling tinggi kepada kaum ibu melebihi tiga kali kemuliaan
berbanding kaum bapa dalam hal penghormatan yang harus
diberikan oleh anak-anak.
Malah hadis riwayat al-Hassan bin Safwan, Tabrani dan Ibnu
As-Sahin dan Salamah menjelaskan lagi kelebihan yang
diperoleh wanita yang mengandung, melahir, menyusu dan
memelihara anaknya.
Apakah reda hai golongan wanita bahawasanya seorang wanita
yang sedang hamil daripada suaminya yang telah menikahi
dengan halal (menurut syariat Islam). Allah memberikan
pahala kepadanya sebagaimana pahala orang berjihad
fisabilillah. Apabila ia berasa sakit untuk melahirkan
anaknya, maka ia mendapat pahala yang banyak sekali
sehingga manusia tidak mengerti berapa banyaknya pahala
itu. Apabila telah lahir lalu disusui anak, bagi ibu itu
setiap teguk dari susunya, Allah memberi dia pahala satu
kebaikan. Apabila si ibu semalaman tidak tidur dan
memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberi pahala
seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk
membela agama Allah.
Menyedari hakikat ini, Telaga Biru Sdn. Bhd. di samping
menerbitkan album-album nasyid dan motivasi telah mengorak
langkah mengeluarkan bahan pendidikan dan bimbingan Islam.
Terbaru ia menerbitkan buku berjudul Amalan Ibu Mengandung:
Menurut al-Quran, as-Sunnah dan Pengalaman.
Inisiatif terbaru ini didokong oleh tiga orang penulis
yang berwibawa untuk menyorot hal-hal berkaitan ibu
mengandung. Mereka ialah penceramah bebas yang tidak asing
lagi, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Muhammad Zakaria
dan Jaafar Salleh.
Isteri memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya
dalam membuat persiapan diri sepanjang masa hamil hingga
melahirkan anak. Selain itu, para suami harus memberi
penumpuan yang tinggi kepada isteri apabila dia mula hamil.
Hinggakan ada istilah father pregnant di kalangan
masyarakat Barat.
Perkembangan sebegini harus diikuti oleh semua manusia
tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama. Pun begitu,
umat Islam mempunyai satu lagi senjata hikmat iaitu
berserah menerusi doa kepada Allah s.w.t. yang telah
merancang dan melaksanakan segala yang bernyawa dan yang
tidak bernyawa di muka bumi ini.
Dalam Islam, usaha mendidik anak-anak tidak hanya bermula
setelah bayi lahir atau setelah kanak-kanak mumayyiz (berakal),
tetapi bermula sejak bayi dalam kandungan lagi. Bahkan
jika kita merujuk kepada panduan mencari pasangan hidup,
pendidikan bermula daripada memilih pasangan dan
mengadakan majlis walimah lagi. Ini disebabkan semuanya
mempengaruhi dan memberi kesan kepada bentuk sahsiah
zuriat akan datang.
Lantaran itu, sepanjang kehamilan aspek persediaan rohani
dan adab penting diambil kira kerana ia menentukan tingkah
laku anak yang bakal dilahirkan. Tingkah laku dan perasaan
seorang ibu sewaktu mengandung mempunyai pengaruh yang
besar terhadap pembentukan sikap dan jiwa anak-anak kelak.
Oleh yang demikian, tenang atau gelora jiwa ibu sewaktu
mengandung memberi kesan kepada jiwa anaknya dalam
kandungan.
Selain itu, ibu-ibu yang sedang mengandung hendaklah
sentiasa menjaga segala pancaindera iaitu mata, telinga,
lidah, perut, kemaluan, kedua-dua tangan dan kedua-dua
kaki daripada maksiat-maksiat atau dosa-dosa zahir kerana
ini akan mengotorkan hati.
Petua
Menyentuh soal kepercayaan dan pengamalan kepada
petua-petua tertentu ketika mengandung, ia bukanlah suatu
ketetapan atau kewajipan, hanya suatu amalan dan usaha
dalam melahirkan zuriat yang cemerlang.
Buku ini mengandungi petua-petua yang menjadi amalan sejak
berkurun lamanya dan terbukti membuahkan hasil memuaskan.
Akan tetapi, perlu diingat, segalanya ketentuan Allah,
kita hanya mampu berusaha.
Aspek penampilan diri juga perlu diambil perhatian biarpun
diri berbadan dua. Di samping petua dan amalan kerohanian
yang sangat perlu diamalkan oleh ibu-ibu mengandung,
persiapan lahiriah juga tak kurang pentingnya. Jadi
dapatkan beberapa cara dan tips meningkatkan seri wajah
ibu mengandung dalam bab Penampilan Ketika Mengandung.
Ramai wanita yang tidak menghiraukan kesihatan mereka
selepas bersalin kerana memikirkan sudah selamat setelah
melahirkan anak. Pendapat sebegini harus dielakkan dan
berbahaya kepada kesihatan para ibu. Kebiasaannya, selepas
bersalin, wanita akan mengalami beberapa masalah umum yang
tidak sepatutnya diambil ringan.
Buku ini juga menyentuh berkaitan penjagaan dan rawatan
selepas bersalin. Ramai wanita yang tidak mempedulikan
bentuk badan dan kesihatan mereka setelah bersalin. Cara
begini salah dan boleh mengundang kepada masalah
perhubungan suami isteri.
Oleh itu, untuk menjaga dan merawat kesihatan selepas
bersalin, beberapa petua dilampirkan. Sikap isteri yang
mengambil ringan tahap kesihatan dan bentuk badan selepas
bersalin akan membawa impak negatif kepada perhubungan
suami isteri.
Ibu-ibu juga digalakkan melakukan sedikit senaman untuk
melancarkan peredaran darah, pencernaan atau penghadaman
makanan, memperbaiki selera makan dan mengurangkan
kegelisahan. Senaman juga boleh membantu memudahkan waktu
bersalin. Selain bertujuan menjaga kesihatan ibu dan anak
dalam kandungan, senaman juga dapat memudahkan saat-saat
bersalin.
Bab 16 pula menyentuh tentang penyusuan bayi. Susu ibu
amat penting bagi perkembangan fizikal dan mental
anak-anak. Susu dianggap sebagai kunci hubungan antara
pemakanan dengan faktor kejiwaan serta kesan hubungan
rapat antara anak dengan ibu. Kesan penyusuan, sama ada
kandungan zat susu dan adab-adab ketika menyusu, menjadi
faktor ke arah pembentukan peribadi anak-anak.
Secara keseluruhannya buku ini banyak mengutarakan panduan
untuk ibu-ibu mengandung, suri rumah, bakal pengantin,
pengantin baru, pengantin veteran dan remaja yang bakal
menempuh alam kedewasaan.
Teksnya yang dipermudahkan dalam bentuk byline, flashers,
nota ringkas, sub-tajuk dan kisah serta foto-foto yang
realistik memberi gambaran bahawa kehamilan adalah sesuatu
yang biasa dan mudah dilalui.
Selain itu, paparan beberapa ilustrasi yang menarik,
berjenaka dan merehatkan pembacaan serta diselangi dengan
gambar rajah, carta, grafik, hiasan dan jadual sekali gus
menjadi ia mudah difahami dan senang diingat.
Bagi melengkapkan amalan, buku ini juga turut diselitkan
ayat al-Quran, hadis dan doa yang amat berguna untuk
hafalan dan rujukan sebelum, semasa mengandung dan selepas
melahirkan anak. |