|
|
Asap rokok
ancam nyawa anak, isteri
Sumber:
Harian Metro
JENUH rasanya mendengar kempen mengajak orang berhenti
merokok, tetapi kerajaan dan pengamal perubatan tetap
gigih berusaha walaupun hasilnya sangat perlahan.
Kata pakar, menyedarkan perokok memerlukan banyak
kesabaran kerana mereka sebenarnya hilang rasional atau
kewarasan ketika merokok.
Tidak mengapalah jika tidak sayang pada diri sendiri,
tetapi pada masa sama mereka turut mendedahkan anak dan
isteri yang dikategorikan sebagai perokok sekunder kepada
bahaya asap rokok.
Mungkin kesan ke atas kesihatan anak isteri yang tidak
begitu jelas membuatkan perokok sengaja ‘tutup mata’ atau
sememangnya tidak sedar mengenai perkara ini.
Jika tidak tahu, suka diingatkan sekali lagi bahawa
perokok sekunder (iaitu individu yang tidak merokok tetapi
turut terdedah kepada asap rokok) mempunyai risiko
kesihatan sama seperti perokok, terutama untuk mendapat
kanser tekak dan paru-paru.
Asap rokok juga akan memburukkan keadaan anak yang
menghidap asma.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, satu
daripada 10 kematian di seluruh dunia berpunca daripada
penyakit berkaitan rokok dan menyebabkan empat juta
kematian. Jika amalan ini berterusan, kadarnya akan
meningkat kepada satu kematian bagi setiap enam penduduk
dunia.
Jumlah perokok di negara kita dianggarkan mencecah lima
juta orang pada 2003 dan pengambilan rokok per kapita di
kalangan orang dewasa meningkat ke 69 peratus (antara 1985
hingga 2000) berbanding hanya 57 peratus pada 1970 hingga
1985.
Lebih penting, tabiat merokok menjadi punca 25 peratus
kematian yang bukan disebabkan kemalangan di negara kita.
Ia termasuk kematian akibat barah mulut, penyakit jantung
dan strok. Tidak kiralah apa jenis rokok yang anda hisap —
sama ada rokok komersial, rokok daun, paip atau cerut —
semuanya memberikan kesan sama.
Namun, rokok komersial yang ditambah ammonia dan pelbagai
bahan kimia lain lebih ‘enak’ rasanya, selain
mempercepatkan kesan nikotin pada otak.
Jika anda pernah bercadang berhenti merokok, sekarang
adalah masa terbaik. Bagi yang tidak terlintas untuk
berhenti, inilah saatnya untuk menimbangkan semula
keputusan anda itu. Mengapa? Ada banyak sebab dan manfaat
untuk anda berbuat demikian.
Anda boleh memanfaatkan Program Berhenti Merokok (CSCSP)
anjuran bersama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA)
dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia dengan sokongan
Pfizer Consumer Healthcare, Kementerian Kesihatan serta
Pusat Racun Kebangsaan Universiti Sains Malaysia — yang
direka khusus untuk golongan perokok seperti anda!
Menurut Pengerusi program CSCSP, Dr How Kim Chuan, rokok
menjadi punca kepada tiga masalah iaitu estetika, sosial
dan kesihatan.
Asap rokok yang sampai ke dalam rongga mulut akan
menyebabkan gigi menjadi kuning dan mencacatkan penampilan
seseorang.
Bagi yang tidak peka dan jarang berjumpa doktor gigi, tar
daripada asap rokok akan berkumpul di celah dan hujung
gigi. Ini sebabnya kebanyakan gigi perokok mempunyai garis
berwarna coklat yang sukar dihilangkan.
Kebanyakan perokok mempunyai bau nafas yang kurang
menyenangkan dan ia menjadi pencetus kepada masalah sosial.
Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan, perokok juga
berdepan risiko kehilangan gigi lebih awal berbanding
individu yang tidak merokok.
Hampir 45 peratus perokok yang berumur 65 tahun ke atas
rongak berbanding hanya 10 peratus di kalangan bukan
perokok.
“Asap rokok mengurangkan aliran darah ke gusi, iaitu
tulang yang membentuk dan menyokong struktur mulut. Ini
bermakna bekalan nutrien ke organ dalam mulut juga
berkurang.
“Akibatnya, perokok mudah mendapat masalah gusi dan lesi
pra kanser seperti leukoplakia (tompok putih tebal) atau
eritroplasia (tompok merah dan tebal) pada lidah, pipi,
gusi, lantai mulut atau lelangit.
“Bagaimanapun, jika tabiat merokok diteruskan, lesi ini
boleh berubah menjadi kanser. Masalah gusi juga biasanya
lambat sembuh di kalangan perokok. Bahkan, jangka hayat
perokok juga lebih pendek 14 tahun berbanding orang yang
tidak merokok,” katanya.
Ketua Penyelaras CSCSP, Profesor Madya Dr Mohamad Haniki
Nik Mohamed, berkata program ini dirangka khusus untuk
meningkatkan kemahiran kaunseling pengamal perubatan untuk
membantu pengguna tembakau berhenti merokok.
Alasannya mudah, untuk mengelakkan anak bangsa merosakkan
diri sendiri kerana rokok menyebabkan 10,000 kematian
rakyat Malaysia.
Tahun lalu saja, sebanyak 37.4 peratus orang dewasa di
negara ini dilaporkan pernah merokok dalam sepanjang hidup
mereka dan 22.7 peratus masih merokok. Yang membimbangkan
ialah umur permulaan mencuba rokok. Walaupun secara purata
kebanyakannya mula merokok ketika berumur 15 tahun, ada
yang bermula seawal masuk darjah satu!
Lebih parah ialah peningkatan jumlah perokok di kalangan
remaja perempuan, sedangkan insiden merokok di kalangan
remaja lelaki menunjukkan pengurangan sejak beberapa tahun
kebelakangan ini.
Katanya, peningkatan ini disebabkan pengaruh iklan dan
persekitaran. Ramai remaja perempuan percaya, jika merokok
mereka kelihatan hebat dan mudah diterima kelompok yang
difikirkan bersesuaian dengan jiwanya.
“Selain itu, mereka mungkin terpengaruh apabila melihat
wanita dewasa yang berjaya dan merokok. Ia secara tidak
langsung memberitahu remaja ini bahawa merokok adalah satu
gaya tanpa menyedari ia lebih banyak membawa keburukan,”
katanya.
Sebagai kesinambungan kempen Tak Nak, program ini
mengamalkan pendekatan 5A iaitu Ask (tanya), Advise (nasihat),
Assess (periksa), Assist (bantu) dan Arrange follow-up (buat
temu janji susulan) supaya matlamat berhenti merokok dapat
dicapai.
Kajian juga menunjukkan hanya 15 peratus rakyat negara ini
mendapatkan pemeriksaan gigi setiap tahun.
Jika anda perokok dan tergolong dalam kumpulan 85 peratus
yang tidak menjalani pemeriksaan gigi, sekarang adalah
masa terbaik untuk memulakan penjagaan kesihatan mulut.
Jika bukan untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya
lakukanlah ia demi kesejahteraan isteri dan anak.
Kajian kesuburan mendapati bapa perokok boleh menyebabkan
anaknya kurang subur, terutama anak lelaki. |