|
|
KEHADIRAN suami
di sisi isteri semasa melahirkan anak amat bererti bagi
memberi semangat dan kekuatan menghadapi saat-saat
melahirkan.
Amalan yang dulunya jarang berlaku, kini semakin meluas di
hospital kerajaan mahupun swasta.
Namun, sebelum amalan membenarkan suami bersama isteri
semasa menunggu detik kelahiran, banyak persediaan dan
kemudahan baru perlu disediakan supaya keselesaan semua
pihak dapat dipenuhi.
Di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang
Kerian, Kota Bharu, contohnya, pelbagai pengubahsuaian
dilakukan supaya hasrat menjadikan hospital tersebut
sebagai Rakan Suami dapat dilaksanakan sebaiknya.
Pengarahnya, Dr. Ramli Saad berkata, persiapan termasuk
bilik-bilik khas untuk seseorang ibu, juga keperluan dan
keselesaan suami semasa menunggu.
Selain itu katanya, pihak hospital juga menyediakan bilik
sembahyang dan berehat khas untuk kegunaan masa tertentu.
"Begitu juga pemantauan berpusat yang disediakan oleh
pihak hospital termasuk menerusi komputer bagi mengawasi
keadaan ibu-ibu yang akan bersalin,'' ujarnya ketika
ditemui baru-baru ini.
Dr. Ramli berkata, HUSM telah mendapat pengiktirafan
sebagai hospital Rakan Suami daripada Kementerian
Kesihatan sejak beberapa tahun lalu.
Bahkan menurutnya, HUSM merupakan hospital pertama yang
mewujudkan program yang mengajar atau memberi panduan
kepada suami ketika berhadapan dengan saat isteri
melahirkan anak.
"Sebelum mewujudkan program mengajar ini, HUSM telah
melihat dan mengambil pandangan daripada pelbagai
perspektif,'' ujarnya.
Sebagai permulaan katanya, pihak hospital telah
melancarkan tempoh percubaan pada Januari lalu yang
membabitkan 12 buah bilik yang telah diubahsuai.
Tambahnya, tempoh percubaan tersebut bagi melihat reaksi
dan sambutan daripada orang ramai terhadap program
Hospital Rakan Suami ini.
"Dalam tempoh tersebut HUSM menerima 65 kes kelahiran yang
isteri ditemani suami, seterusnya ia meningkat sehingga
207 kes kelahiran pada Mei lalu,'' katanya.
Dr. Ramli berkata, pada Jun dan Julai pula, masing-masing
mencatatkan 120 dan 141 kelahiran yang ditemani suami.
Beliau berkata, HUSM mencatatkan kira-kira 600 kelahiran
setiap bulan, tetapi hanya 500 kelahiran sahaja yang
ditawarkan untuk ditemani suami.
"Selebihnya disebabkan beberapa masalah ketika kelahiran
seperti penyakit yang dihidapi oleh ibu, bayi menyongsang
dan sebagainya,'' ujarnya.
Bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai program
tersebut, katanya, HUSM menerbitkan risalah khas
mengandungi garis panduan kepada suami yang menemani
isterinya ketika bersalin.
Dalam risalah tersebut juga, tambahnya, turut disenaraikan
adab-adab suami semasa menemani isteri mereka.
Antaranya suami hendaklah banyak bersabar serta
menasihatkan isteri agar bertenang ketika dalam kesakitan.
Suami juga perlu mendoakan keselamatan dan kesejahteraan
isteri dan meredakan kesakitan isteri dengan mengurut
secara perlahan-perlahan di bahagian tubuh yang sakit.
"Sekiranya suami mengalami perasaan tidak selesa seperti
mual, pening atau rasa pitam, segeralah keluar berehat ke
tempat yang disediakan,'' ujarnya.
Katanya, suami juga digalakkan bertanya kepada kakitangan
bertugas jika memerlukan penerangan yang jelas tentang
proses kelahiran. Tetapi pada keadaan tertentu, katanya,
suami hendaklah berada di luar bilik bersalin semasa
doktor mengadakan pemeriksaan ke atas isteri mereka dan
juga semasa kelahiran yang bermasalah.
Menurutnya, HUSM mengambil langkah membenarkan suami untuk
menemani isteri semasa bersalin untuk memberi kepuasan dan
kepercayaan kepada pesakit.
Katanya, usaha itu juga untuk menggalakkan sikap prihatin
dan penyayang di kalangan masyarakat. |