SAYA hamil
anak sulung dengan usia kandungan mencecah enam minggu.
Saya mengalami alahan yang teruk, loya dan muntah setiap
pagi dan langsung tidak berselera menjamah makanan. Saya
juga tidak mengambil apa-apa ubat atau vitamin seperti
asid folik hingga kini.
Apa yang membimbangkan saya, pada minggu-minggu pertama
dulu, ada darah keluar dari faraj dengan jumlah yang
kecil tapi berulang kali. Selain itu saya sering berasa
sakit di sebelah kanan perut. Kesakitan yang sama akan
saya rasai juga ketika bersama suami.
Apa sebenarnya yang berlaku?
FAZIHAN,
Melalui e-mel
MASALAH pertama puan ialah loya dan muntah ketika
mengandung. Puan harus sedar, banyak pertukaran akan
berlaku kepada badan kita apabila sudah mengandung.
Bolehkah puan bayangkan mana-mana keadaan lain di mana
ada sesuatu benda yang sedang hidup di dalam badan kita
– memerlukan unsur-unsur dari kita untuk ia hidup dan
terus berkembang?
Oleh itu, memang banyak pertukaran yang akan berlaku
untuk kita membiasakan diri dengan insan yang menumpang
di dalam badan kita untuk seketika itu.
Loya dan muntah memang sering berlaku, tetapi ia
sementara saja, biasanya rasa loya dan muntah ini akan
mula reda selepas tiga bulan.
Ia disebabkan oleh sejenis hormon 'human chorionic
gonadotrophin' yang sangat penting untuk memastikan
perjalanan fungsi permulaan mengandung.
Hormon ini naik ke paras yang maksimum di dalam tiga
bulan ini dan surut selepas itu.
Kemudian, hormon lain yang dikeluarkan oleh uri akan
menguruskan pembesaran bayi seterusnya dan pertukaran
lain yang diperlukan.
Buat masa ini, makanlah apa yang boleh dan digalakkan
makan sedikit-sedikit, tetapi lebih kerap, supaya perut
tidak kosong.
Kalau tak boleh makan nasi, cuba bubur, sup atau makanan
yang kurang berminyak. Minyak boleh menyebabkan rasa
mual dan senang muntah.
Jikalau muntah terlalu kerap sehingga tidak dapat
menahan apa yang diminum atau makan, puan perlu mendapat
bantuan untuk mengurangkan rasa mual dengan memakan ubat,
atau diberi cecair melalui salur darah. Ini perlu untuk
memastikan kandungan air dalam badan mencukupi supaya
tidak memudaratkan.
Dari kajian, vitamin yang perlu diambil semasa
mengandung ialah asid folik. Ia telah didapati
mengurangkan kejadian masalah kecacatan saraf tunjang
dan otak.
Vitamin lain tidak menunjukkan apa-apa faedah yang lebih
sama ada kepada pembentukan bayi atau tumbesarannya,
jika diambil atau tidak diambil.
Jadi, kalau puan dapat makan secara seimbang, nutrisi
dari pemakanan puan sudah mencukupi untuk menampung puan
dan bayi. Bagaimanapun, jika diambil, ia mungkin
menolong atasi kekurangan zat-zat mineral yang tiada
dalam pemakanan kita.
Masalah kedua berkaitan perdarahan dan sakit. Demam,
sakit, bengkak adalah contoh gejala-gejala yang terjadi
bila ada sesuatu yang tidak kena dalam badan dan ia
tidak boleh diabaikan.
Setiap masalah perlu diteliti untuk mengetahui apa
sebabnya untuk mengelak dari terjadi keadaan yang lebih
teruk.
Ada beberapa masalah perubatan yang boleh memberi sakit
yang puan ceritakan. Ia boleh disebabkan oleh masalah
seperti apendiks yang bengkak, masalah usus, atau ia
mungkin berkaitan dengan kandungan itu sendiri.
Kandungan yang normal tidak akan menyebabkan perdarahan
atau sakit. Masalah yang paling merisaukan di dalam
kandungan peringkat awal ialah terjadinya kandungan di
luar rahim.
Jika dibiarkan ia akan menyebabkan perdarahan di dalam
badan dan membahayakan diri. Puan mesti berjumpa dengan
doktor untuk menjalani pemeriksaan dengan segera.