|
|
Rasa
mual (loya) dan
muntah (emesis) merupakan
suatu keadaan yang sangat tidak menyenangkan. Namun dalam
situasi tertentu, misalnya keracunan,
muntah merupakan tindakan
tubuh sebagai kaedah pertahanan terhadap masalah tersebut.
Dalam keadaan yang lain, contohnya menaiki kenderaan atau
kehamilan, mual dan muntah
boleh menyebabkan individu berasa amat gelisah atau
terganggu.
Mual dan muntah juga turut
membawa kepada implikasi yang lain seperti gangguan
keseimbangan metabolik, kegagalan penjagaan diri sendiri
dan keupayaan untuk melakukan sesuatu, pengurangan nutrisi
atau zat makanan, kurang atau tiada selera makan (anoreksia),
gangguan ke atas status metal, jahitan dedah dan luka
mudah terbuka, saluran esofagus luka, dan kegagalan
rawatan dalam penyakit tertentu seperti kanser.
Ringkasnya, mual dan muntah
boleh mengganggu kualiti hidup pesakit.
Penyebabkan Mual dan Muntah
Mual dan muntah merupakan
tanda-tanda dan gejala yang lazim dialami apabila sakit.
Kebanyakan kejadian mual dan muntah adalah disebabkan oleh
beberapa situasi seperti mabuk laut, mabuk kereta, mabuk
apabila bergerak (dalam kenderaan),
mabuk hamil atau disebabkan terhidu bau yang sangat
busuk dan tidak menyenangkan.
Selain itu, keadaan mual dan muntah
juga disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan seperti
masalah bendalir dan elektrolit dalam badan, kepekatan
kalsium yang tinggi dalam darah, kehilangan bendalir badan
dalam jumlah yang banyak, keracunan (jumlah air dalam
badan yang terlalu banyak), keracunan makanan, gangguan
pada bahagian kelenjar adrenal, gangguan metabolik, ubat,
seperti antikanser, kumpulan opiod, antibiotik, ubat untuk
penyakit jantung kumpulan glikosida, bronkodilator (agen
untuk memperluaskan saluran pernafasan).
Mual dan muntah turut
disebabkan halangan pada saluran penghadaman (gastrousus),
peningkatan tekanan intrakanial di bahagian sistem saraf
pusat, radangan pada bahagian perut, metastasis otak,
meninges dan hati, uremia (kandungan urea iaitu bahan
beracun dalam darah), jangkitan setempat dan kehadiran
kuman dalam darah (septisemia), rawatan radiasi
terutamanya pada bahagian abdomen, radangan yang teruk
pada bahagian mukosa, resah dan gelisah, sakit kepala (migrain),
pening dan rasa berpusing (vertigo),
hamil, penyakit batu karang, radang pada bahagian
pankreas, hati atau apendik, ulser, kecederaan pada
bahagian kepala.
Jika masalah mual dan muntah diiringi dengan pening dan
demam, ini menunjukkan individu mungkin mengalami penyakit
yang serius dan perlu merujuk kepada doktor untuk
pemeriksaan lanjut.
Bagaimana Mual dan Muntah Terjadi?
Muntah merupakan satu proses yang kompleks yang
membabitkan bahagian otak dan sistem gastrousus manusia.
Muntah terjadi melalui
rangsangan yang dikawal oleh bahagian otak. Impuls aferen
akan menghantar rangsangan ke bahagian pusat muntah yang
terletak di bahagian otak melalui zon pencetus
kemoreseptor (CTZ), farink, saluran gastrousus dan korteks
serebral. Muntah berlaku
apabila impuls inferen dari pusat muntah di hantar ke
bahagian pusat peliuran, otot abdominal, pusat pernafasan
dan saraf kranial.
Bahagian CTZ, pusat muntah dan saluran gastrousus
mempunyai banyak reseptor neurotransmiter. Jika reseptor
ini diaktifkan oleh bahan kimia yang tertentu, proses
muntah akan berlaku. Di antara neuroreseptor yang
terlibat dalam respons muntah termasuklah serotonin,
asetikolin, kortikosterol, histamin, kanabonoid, opiod dan
reseptor NK 1.
Agen-agen anti muntah boleh mencegah muntah dengan
menghalang aliran impuls pada beberapa laluan saraf.
Terdapat agen-agen antimuntah yang bertindak secara
sinergestik (kerjasama) dengan agen-agen yang lain untuk
meningkatkan kesan antimuntah. Oleh kerana setiap agen
antimuntah bertindak ke atas reseptor yang tertentu, maka
dalam keadaan yang tertentu, seperti dalam rawatan kanser
tidak ada agen yang boleh mencegah sepenuhnya proses
muntah. Satu keadaan di mana
individu akan mengalami masalah mual
dan muntah yang teruk ialah semasa individu
menerima rawatan untuk penyakit kanser. Insiden dan
keterukan mual atau muntah di
kalangan pesakit yang menerima rawatan kanser bergantung
kepada beberapa faktor seperti agen antikanser yang
digunakan, jumlah agen antikanser yang diberikan, waktu
administrasi dan kekerapan pemberian, saluran pemberian
dan perbezaan tahap penerimaan individu.
Adalah dianggarkan sebanyak 70% hingga 80% pesakit-pesakit
kanser yang menerima agen antikanser mengalami rasa
mual dan muntah. Manakala 10%
hingga 44% pesakit dijangka akan mengalami mual atau
muntah.
Jenis-jenis muntah
Rasa mual dan masalah
muntah seringkali
dikategorikan sebagai keadaan;
i. akut (berlaku
dengan tiba-tiba)
ii. lambat
iii. boleh dijangkakan
iv. breaktrough
v. sukar dikawal
Masa berlaku rasa mual dan muntah yang akut selalunya
bermula dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam
selepas pemberian ubat dan mula reda dalam tempoh 24 jam.
Kejadian masalah muntah boleh dipengaruhi oleh beberapa
faktor seperti:
• umur
• jantina
• persekitaran semasa menerima rawatan ubat antikanser
• sejarah masalah alkoholisme (ketagihan alkohol)
• mabuk kenderaan
• episod mual dan muntah yang sebelumnya
• jumlah agen (yang diambil) yang boleh menyebabkan muntah
• keberkesanan agen antimuntah yang diambil
Masalah muntah dikatakan lambat berlaku jika ia dialami
lebih daripada 24 jam selepas pemberian ubat antikanser.
Di antara jenis ubat antikanser dalam kategori ini ialah
cisplatin, karboplatin, siklofosfamida dan doksorubisin.
Mual dan muntah dalam
kategori 'anticipatory' (boleh dijangkakan) berlaku
sebelum pesakit menerima agen antikanser yang seterusnya.
Masalah muntah hanya akan berlaku jika pesakit mengalami
masalah muntah semasa menerima rawatan antikanser sebelum
itu (pengalaman yang lepas). Insiden dalam kategori ini
ialah dalam lingkungan 18% hingga 57% dan kejadian mual
adalah lebih biasa dialami pesakit berbanding dengan
muntah. Pesakit-pesakit yang muda pula lebih mudah
mengalami keadaan ini kerana menerima rawatan antikanser
yang lebih agresif dan secara amnya sukar mengawal masalah
mual dan muntah berbanding golongan tua.
Masalah muntah dalam kategori
breaktrough biasanya dikaitkan dengan muntah yang berlaku
walaupun diberi rawatan profilaktik (untuk mencegah muntah)
dan memerlukan rawatan untuk merawat muntah.
Muntah refraktori sukar
dikawal dan dikaitkan dengan muntah yang berlaku semasa
rawatan antikanser susulan, apabila rawatan profilaktik
antimuntah dan rawatan merawat muntah gagal semasa rawatan
kanser yang awal.
Muntah refraktori sukar dikawal dan dikaitkan dengan
muntah yang berlaku semasa rawatan antikanser susulan,
apabila rawatan profilaktik antimuntah dan rawatan merawat
muntah gagal semasa rawatan kanser yang awal.
Agen Antimuntah
Secara umum, terapi antimuntah untuk pesakit kanser harus
dimulakan sebelum rawatan antikanser dan disambung
sepanjang tempoh rawatan penyakit kanser. Ia bertujuan
untuk memastikan pencegahan atau perlindungan yang
maksimum terhadap masalah muntah. Agen-agen antimuntah
boleh diberikan melalui mulut, dubur, saluran vena (intravena)
atau saluran otot (intraotot). Antara agen-agen antimuntah
yang digunakan dalam perubatan lain:
1. Agen-agen yang lama
• fenotiazin
• benzamida
• antihistamin
• butirofenon
• kortikosteroid
• benzodiazepin
• kanabinoid
2. Agen yang baru
• ondansetron
• granisetron
• dolasetron mesilat
Perhatian:
Adalah diingatkan kepada orang ramai bahawa agen
antimuntah yang digunakan dalam rawatan penyakit kanser
harus dipreskripsikan oleh doktor dan pesakit mesti
mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan.
Matlamat Rawatan
Matlamat rawatan dalam keadaan ini ialah mengurangkan
ketidakselesaan disebabkan oleh mual dan muntah, mencegah
dehidrasi (kehilangan air dan garam galian) dan mengenal
pasti serta merawatan punca kejadian mual serta muntah.
Masalah mabuk perjalanan apabila menggunakan kenderaan
seperti kapal terbang, kereta ataupun bot/kapal boleh
diatasi dengan memperbetulkan kedudukan semasa berada di
dalam kenderaan tersebut. Selain itu, pastikan individu
menghirup udara segar sepanjang perjalanan.
Untuk merawat muntah, ada beberapa
garis panduan yang harus diikuti:
• Elakkan memakan makanan pejal, susu, kopi dan jus sitrus.
• Minum minuman bergas, jus buah-buahan dan berais sedikit
demi sedikit.
• Makan makanan dengan kerap dalam jumlah yang sedikit
sepanjang hari.
• Elakkan mengambil makanan yang pedas.
• Kerap mandi dan minum untuk mengelakkan kekeringan tubuh.
• Elakkan makanan yang berminyak dan berlemak.
Terdapat banyak jenis rawatan untuk mual dan muntah tetapi
rawatan yang tepat bergantung kepada faktor penyebab
kejadian mual dan muntah. Masalah mabuk apabila bergerak
seperti mabuk laut, mabuk kereta dan sebagainya boleh
berlaku pada semua peringkat umur tetapi ia kerap berlaku
pada kanak-kanak yang berumur bawah tujuh tahun.
Gangguan atau sakit perut kerapkali menyebabkan mual dan
muntah. Jika masalah ini dihadapi bersama sakit yang teruk,
demam kuat, pembengkakan atau pening, pemeriksaan yang
terperinci oleh doktor perlu dilakukan dengan segera.
Individu tersebut mungkin mengalami masalah batu karang,
radang pankreas, radang hati, ulser atau ketumbuhan.
Diantara ubat-ubat yang boleh digunakan untuk merawat
masalah mual dan muntah ialah:
• Dimenhidrinat
• Dolasetron Mesilat
• Dronabinol
• Granisetron Hidroklorida
• Meklizin hidroklorida
• Metoklopramida Hidroklorida
• Prokloperazin Maleat
• Prometazin Hidroklorida
• Trimetabenzamida Hidroklorida
Masalah mual dan muntah juga boleh bertindak sebagai
pelindung kepada tubuh badan seperti apabila terhidu bau
makanan yang sudah basi atau termakan makanan yang telah
dikontaminasi oleh kuman. Dalam keadaan seperti di atas,
individu akan mengelak daripada memakan makanan tersebut
kerana berasa loya atau tubuh akan bertindak untuk
memuntahkan kembali makanan yang telah tercemar setelah di
dimakan.
Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan mual dan
muntah. Masalah ini juga bergantung kepada sensitiviti
individu terhadap ubat tersebut. Sejarah masa lalu
individu dapat membantu doktor untuk mempreskripsi ubat
yang sesuai untuk individu tersebut. Jika individu
mengalami kesan sampingan mual dan muntah apabila memakan
ubat-ubat tertentu, individu tersebut dinasihatkan untuk
berjumpa dengan doktor.
Pilihan Rawatan
Rawatan untuk masalah mual dan muntah yang berkaitan
dengan mabuk perjalanan dan masalah keseimbangan perlu
diambil sebelum mengalami simtom tersebut (aktiviti
pencegahan). Di antara ubat yang boleh digunakan ialah
meklizin, dimenhidrinat dan skopolamin.
Ubat-ubat yang digunakan untuk merawat mual dan muntah
yang berkait dengan kesan sampingan ubat antikanser,
terapi radiasi, ubat bius dan migrain ialah metoklopramid,
prometazin, ondan-sentron dan granisetron.
Wanita yang hamil sering mengalami masalah mabuk hamil dan
akan kerap berasa mual dan muntah. Ia boleh berlaku pada
bila-bila masa dalam sehari, biasanya dalam awal tempoh
hamil dan akan reda mulai bulan ketiga. Individu
dinasihatkan supaya memakan makanan dalam jumlah yang
sedikit tetapi kerap, elakkan makanan yang pedas dan
banyak meminum air serta mandi dengan kerap. |