| |
Banyak mitos
yang didengari mengenai ibu hamil dan amalan berpuasa.
Ramai percaya, ibu hamil perlu makan kerana takut anak
dalam kandungan kelaparan terutama yang masih pada
peringkat awal kehamilan. Malah, ibu hamil juga dikatakan
perlu makan untuk dua orang (ibu dan anak dalam kandungan)
menjadikan kuantiti pemakanan ditambah dua kali ganda.
Justeru, puasa tidak digalakkan sama sekali.
Pakar Pemakanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti
Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fatimah Arshad, berkata
meskipun anggapan berkenaan sudah sebati dengan masyarakat
hari ini, kajian menunjukkan mitos berkenaan salah sama
sekali.
"Tiada halangan yang menyekat ibu hamil untuk berpuasa.
Tidak kira pada awal kandungan atau pada peringkat akhir
kehamilan. Asalkan ibu berkenaan sihat tanpa penyakit
kronik yang membahayakan kesihatan, mereka boleh berpuasa
seperti orang lain. Dalam Islam dibolehkan mereka tidak
berpuasa sekiranya memudaratkan kesihatan ibu atau anak,”
katanya.
Puasa yang memudaratkan ibu hamil ialah apabila kandungan
gula dalam darah menurun. Namun dalam kebanyakan kes
penyakit kronik seperti
diabetis, tekanan darah tinggi dan sebagainya, puasa
adalah sebaik-baik langkah mengurangkan risiko yang
dihadapi.
"Lazimnya, ibu yang sihat tanpa risiko boleh berpuasa.
Bagaimanapun, amalan berpuasa sebenarnya adalah jalan
terbaik untuk merancang diet terutama mereka yang
menghidap penyakit seperti diabetis atau darah tinggi.
Waktu makan lebih teratur dan tidak berselang seli dengan
makanan yang tidak diperlukan. Misalnya waktu sahur sama
dengan waktu sarapan dan makan malam, makan tengah hari
adalah sama dengan waktu berbuka puasa dan moreh pula sama
dengan snek.
"Jadi, aturan ini secara tidak langsung menyekat ibu hamil
daripada makan berlebihan yang menyebabkan kandungan gula
di dalam darah meningkat. Ini kerana ibu hamil mudah
mengalami peningkatan gula dalam darah,” katanya.
Fatimah menasihatkan ibu hamil supaya bijak merancang
pengambilan makanan dengan
mengatur keperluan khasiat dan zat pemakanan.
Perancangan itu menjamin ibu hamil memperoleh semua zat
yang diperlukan janin dalam kuantiti diperlukan saja.
"Ibu hamil perlu memastikan berat mereka tidak bertambah
secara berlebihan ketika hamil. Anggaran peningkatan hanya
sekadar 1 kg setiap bulan iaitu jumlah maksimum sebanyak 9
kg saja. Pertambahan berat badan lebih daripada 10 kg
hanya menyebabkan ibu berisiko mengalami kandungan gula
bertambah dan
tekanan darah tinggi. Justeru, perancangan menu amat
penting bagi memastikan ibu dan bayi terus sihat,” katanya.
Kalsium adalah zat paling penting untuk pembentukan tulang
janin. Bagi mendapatkannya, ibu perlu minum dua gelas susu
skim (tanpa lemak) setiap hari iaitu pada waktu sahur dan
berbuka.
Jika ibu mengalami
diabetis, amalkan minum susu dan buah-buahan berserat
tinggi seperti betik, epal, tembikai atau oren. Jangan
makan buah-buahan manis. Pemanis mulut seperti bubur
kekacang dapat melawaskan penghadaman.
"Selepas terawih, minum minuman bersusu seperti susu
bersama oat, emping jagung, kacang kuda atau tauhu sumbat.
Elakkan makan nasi secara berlebihan iaitu tidak lebih 3/4
cawan kerana nasi mengandungi gula. Kalau boleh gunakan
beras perang atau beras basmati.
"Memilih spageti lebih baik berbanding mi atau bihun biasa.
Lauk seperti sup sayur satu mangkuk, lebihkan ikan atau
ayam satu potong. Banyakkan minum air kosong berbanding
air bergula,” katanya.
Ketika bersahur, ibu boleh mengambil sandwic tuna
menggunakan roti berkalsium tinggi atau nasi yang dimakan
bersama sayuran yang banyak. Bagi menambah darah, pastikan
ibu makan hidangan mengandungi zat besi. Ia boleh
diperoleh dengan memakan organ ayam atau lembu seperti
hati sekali seminggu.
Memakan sayur hijau dapat membantu menyerap zat besi
dengan lebih berkesan, manakala ayam dan daging juga boleh
membina sel darah merah.
"Bulan puasa menjadikan ibu lebih peka dengan pengambilan
hidangan sihat mengandungi pelbagai nutrien yang mengikut
semua keperluan seperti terkandung dalam piramid pemakanan.
Malah, menu terancang menjadikan bayi lebih sihat. Ibu
hamil juga perlu bersenam walaupun pada bulan puasa. Ini
boleh dilakukan dengan mengamalkan sembahyang terawih.
"Sebelah petang banyakkan berehat untuk menyimpan tenaga.
Apa yang penting, waktu berbuka jangan makan berlebihan
kerana ia menyebabkan tubuh cepat letih dan menjadikan
kita mengantuk. Pengambilan makanan tambahan sebenarnya
tidak menjamin khasiat diperlukan tubuh mampu diserap
sepenuhnya oleh tubuh. Jika tidak boleh minum susu,
gantikan dengan dadih yang kini boleh didapati dalam
pelbagai perisa,” katanya. |