_ _ _ _
 
_
 

 

 
_ _ _ _
   

 

 

Laman Utama | Hubungi

 
 
_
   

 

ABC hospital bersalin alternatif

 

 

 

 

Malang bagi mereka yang kurang mampu mendapatkan perkhidmatan kelas pertama, sebaliknya perlu pula bersesak-sesak untuk menunggu detik-detik yang bersejarah itu.

Lebih malang sekiranya dalam kesakitan sebegitu, dimarahi pula oleh jururawat yang terpaksa melayan begitu ramai ibu-ibu mengandung dan pada bila-bila masa akan bersalin.

Secara normal atau pembedahan, mereka yang mengandung perlu melalui beberapa tahap kesakitan sebelum menanti kehadiran anak yang dibawa selama sembilan bulan itu.

Bagi mereka yang tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan wad bersalin kelas pertama sama ada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau mana-mana klinik swasta tetapi disahkan boleh bersalin dengan normal kini mempunyai alternatif untuk melahirkan anak mereka.

Sejak tiga bulan lalu, pusat bersalin khusus untuk mereka yang tidak mempunyai masalah atau Alternative Birthing Center (ABC) telah ditubuhkan di HKL bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di hospital bersalin.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, HKL, Dr. Mohd. Roslan Abdul Halim, ABC yang terletak kira-kira 250 meter dari Hospital Bersalin Kuala Lumpur (HBKL) boleh dikatakan penyelesaian kepada kesesakan yang berlaku di tempat berkenaan.

Katanya, setiap hari selama 24 jam, wad bersalin HKL sentiasa penuh mengakibatkan ibu-ibu berasa tidak selesa dan kurang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

''ABC ini memberikan layanan yang lebih berkualiti kepada ibu-ibu hamil dan keluarga mereka.

''Ini kerana mereka yang memenuhi kriteria sahaja boleh bersalin di pusat ini.

''Ibu-ibu yang mahu bersalin di ABC mestilah tidak mengalami apa-apa penyakit semasa mengandung.

''Mereka juga mestilah tidak pernah menjalani pembedahan pada rahim, berumur kurang daripada 40 tahun, kurang daripada 6 orang anak serta disahkan boleh bersalin secara normal,'' jelasnya.

Tambah beliau, pusat bersalin itu mempunyai 10 bilik bersalin, 60 katil di wad yang kedua-duanya berkeadaan selesa dan dilengkapi dengan kemudahan bilik pendingin hawa serta mempunyai persekitaran yang lebih aman.

Jelas Dr. Mohd. Roslan, seramai empat orang jururawat terlatih akan mengawasi ibu-ibu semasa mereka hendak melahirkan anak pada satu-satu masa.

''Sehingga kini, kita mempunyai 14 jururawat yang terlatih untuk mengendalikan pusat tersebut.

''Setakat bulan Mac lalu, sejumlah 942 bayi berjaya dilahirkan tanpa sebarang masalah di pusat bersalin ini.

''Di United Kingdom (UK), konsep pusat bersalin untuk wanita melahirkan secara normal telah lama dipraktikkan dan ternyata ia sedikit sebanyak membantu ibu-ibu bersalin tanpa sebarang masalah,'' jelasnya.

Kata beliau, konsep kewujudan pusat seumpama itu di negara ini adalah sama seperti di UK iaitu memberikan perkhidmatan yang terbaik serta membuatkan mereka seperti berada di rumah sendiri.

Tambahnya, ibu-ibu boleh keluar daripada wad bersalin dalam tempoh 6 hingga 12 jam selepas bersalin dan mereka yang mengalami komplikasi akan dirujukkan terus ke Hospital Bersalin Kuala Lumpur (HBKL) dengan segera.

Jelas beliau, bilik-bilik bersalin yang ada di pusat bersalin ini boleh menerima sehingga 20 orang setiap kali dengan ambulans kecemasan beroperasi selama 24 jam sehari.

Dr. Mohd. Roslan memberitahu, kemudahan serta kelengkapan yang cukup ditambah dengan suasana menyenangkan dan tenaga jururawat yang terlatih boleh menjadikan ibu mengandung berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

Ditanya mengenai bayaran yang dikenakan, beliau berkata, ia tidak semahal di hospital swasta tetapi tidak pula terlalu murah.

Ujarnya, sesuai dengan tempat dan suasana baru, bayaran yang dikenakan kepada ibu-ibu adalah berpatutan dan wajar.

''Setiap sehari ibu-ibu warganegara tempatan perlu membayar sebanyak RM3 sementara RM5 dikenakan kepada ibu warga asing.

''Sekiranya ibu bersalin secara normal, besar kemungkinan mereka berada di wad selama sehari sahaja, jadi tidak perlulah membayar lebih dari itu,'' ujarnya.

Sambil memberi jaminan perkhidmatan yang ditawarkan memuaskan, beliau berkata, ABC boleh menjadikan proses bersalin semudah 'sebutannya'.

Sementara itu, seorang ibu muda, Siti Normaharum Abdul Ghani, memberitahu, pengalaman yang dilaluinya di pusat bersalin itu amat bermakna sekali.

Berusia 23 tahun, beliau sering dihantui kebimbangan apabila melihat sendiri senario kesesakan di HKL tetapi dalam masa yang sama akur dengan kemampuan suaminya tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan lebih dari itu.

''Suami saya yang cadangkan saya bersalin di pusat ini, secara kebetulan pula saya disahkan boleh bersalin secara normal tanpa sebarang masalah.

''Agak memeranjatkan layanan, kemudahan serta suasananya berbeza daripada apa yang saya lihat sebelum ini,'' jelasnya yang baru pertama kali menjadi ibu.

Suawarni Indamegawati, 27, pula tidak mempunyai masalah semasa melahirkan kerana hanya sakit selama satu jam sahaja.

Katanya, selepas satu jam merasakan kesakitannya, dia selamat melahirkan bayi perempuan dan menunggu saat untuk keluar daripada pusat berkenaan.

''Perkhidmatan yang diberikan sungguh istimewa, berbeza dengan pengalaman yang saya lalui semasa lahirkan anak pertama dengan keadaan sesak dan situasi tidak menentu,'' kata ibu kepada dua anak ini.

Bersalin sememangnya memerlukan situasi yang tenang dan jauh dari kesesakan kerana ini boleh mengurangkan kesakitan yang ditanggungi ibu yang mahu melahirkan anak. Meskipun begitu, 'budget' yang cukup dan betul pengendaliannya tetap tidak boleh diketepikan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
 

_

 
   
     
 

 
     
 
Perkembangan bayi dari bulan ke bulan
Indeks  Hospital Bersalin
 
     
 
 
Bagaimana anda memilih klinik / hospital bersalin ?
 
Berhampiran rumah/tempat kerja
  Berdasarkan senarai panel majikan
  Berdasarkan kelahiran sebelumnya
  Semestinya hospital kerajaan
  Semestinya hospital swasta
  Berdasarkan bajet peribadi
   
 
 
     
   
     
     
 
_ _ _
 

© Copyright 2006. www.EdaranSalindah.com