|
|
Empat ciri pilih hospital terbaik
Petikan dari: Harian Metro Online, 16/12/2007
“SENYUMAN dan layanan mesra kakitangan di hospital A
membuat saya rasa lebih sihat walaupun belum mendapat
rawatan.
“Sebaik melangkah masuk, ada saja kakitangan yang menyapa
dan menawarkan bantuan tanpa diminta. Faktor ini mendorong
saya dan keluarga datang ke sini setiap kali ada masalah
kesihatan, walaupun jauh dari rumah,” kata seorang teman.
Namun, tidak semua orang bertuah seperti dia. Seorang
teman lain baru-baru ini mengeluh menceritakan kisah
ibunya yang mengalami pelbagai kesan sampingan tekak
kering dan susah menelan selepas mengambil ubat untuk
darah tinggi.
Doktor yang memberi ubat itu hanya acuh tidak acuh apabila
ditanya. Namun, apabila adiknya bercakap dalam bahasa
Inggeris, baru doktor buka mata dan beri perhatian kepada
masalah ibunya sambil menunjukkan peringatan yang tertulis
halus pada plastik bungkusan ubat mengenai kesan sampingan
ubat itu.
Aduan terhadap layanan kakitangan perubatan (doktor,
jururawat dan petugas lain) dan kecuaian memberi rawatan
boleh dikatakan bersilih ganti dipaparkan di dada akhbar.
Itu belum kira kes tidak puas hati pesakit yang tidak tahu
ke mana hendak mengadu.
Sikap sesetengah doktor dan jururawat yang tidak peduli
kebajikan pesakit, terutama dalam aspek keselamatan,
sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan orang ramai
terhadap sistem rawatan di negara kita. Ini sebabnya ada
yang sanggup membayar dua tiga kali ganda kepada hospital
negara lain semata-mata mahu mendapat rawatan dan layanan
lebih baik.
Masalahnya, bukan semua orang mampu berbuat demikian.
Malah, kita juga sebenarnya ada sistem rawatan dan
kepakaran setara (mungkin lebih baik) berbanding di negara
jiran pada kos lebih murah.
Soalnya, bagaimana cara memilih hospital yang selamat?
Apakah ciri yang boleh dijadikan panduan untuk memastikan
hospital yang kita pilih benar-benar selamat? Apakah
tanggungjawab seseorang pesakit sebelum mendapatkan
rawatan di mana-mana pusat perubatan?
Pengarah Hospital Besar Sibu, Datuk Dr Rahim Abdullah,
berkata kualiti sesebuah hospital diukur berdasarkan aspek
keselamatan dalam semua hal, termasuk rawatan, kawalan
jangkitan dan persekitaran. Tiada cara khusus untuk
menentukan hospital mana yang baik atau sebaliknya kerana
setiap hospital ada kelebihan dan kekurangan.
Katanya, dalam apa juga jenis rawatan, risiko komplikasi (kesan
tidak diingini) selepas rawatan sentiasa ada. Bagaimanapun,
berdasarkan kajian di United Kingdom, hanya 300 daripada
sejuta kes komplikasi disebabkan kesilapan doktor atau
kakitangan perubatan.
+ Kesilapan ini biasanya membabitkan langkah berisiko
seperti:
+ Pemindahan darah (risiko mendapat penyakit berjangkit).
+ Pembedahan pada bahagian salah.
+ Pemberian ubat berisiko tinggi seperti ubat anti kanser.
+ Jangkitan nasokomial (jangkitan yang berlaku di
hospital, contohnya daripada tangan doktor atau jururawat
kepada pesakit).
+ Pesakit jatuh di kawasan hospital.
Secara umumnya, beberapa ciri boleh dijadikan panduan
untuk memilih hospital yang baik, iaitu:
+ Reputasi hospital dan kepakaran doktor. Doktor yang baik,
ada kepakaran dan beretika lebih mudah mendapat tempat di
hati pesakit. Pesakit yang berpuas hati sebenarnya boleh
menjadi ejen publisiti yang sangat berguna dan berpengaruh
kerana mereka biasanya berkongsi pengalaman dengan ramai
orang, khususnya kawan serta keluarga.
+ Penampilan hospital. Persekitaran hospital yang cantik,
selesa dan terjaga kadangkala boleh memberi pengaruh besar
pada pesakit. Namun, ia tidak semestinya benar kerana ada
juga hospital baru dan cantik masih tidak mampu memberi
perkhidmatan baik.
+ Kesediaan hospital untuk bersikap terbuka dan sentiasa
mendekati masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan yang
diadakannya. Cara ini juga memberi peluang masyarakat
mengetahui kemudahan dan kepakaran dimiliki hospital.
+ Mempunyai logo pengurusan berkualiti seperti ISO9000
atau pengiktirafan (akreditasi) daripada Persatuan Kualiti
Kesihatan Malaysia (MSQH). MSQH contohnya menunjukkan
hospital yang menerima akreditasi mengamalkan sikap
terbuka dengan membenarkan orang luar (pihak ketiga)
membuat penilaian terhadap perkhidmatan rawatan dan
kemudahan dimiliki.
Akreditasi MSQH bermakna hospital itu mempunyai prestasi
cemerlang dalam penjagaan pesakit, pencapaian kualiti yang
diadili badan persendirian membabitkan pakar perubatan,
menggalakkan pembangunan organisasi secara berterusan,
memperbaiki sistem penjagaan pesakit, mengawal penggunaan
antibiotik serta mengurangkan risiko dan mengutamakan
keselamatan pesakit.
Dalam forum ‘Adakah Hospital Anda Selamat’ anjuran MSQH,
Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Pantai, Dr David Quek,
berkata sehingga kini 78 hospital diberi akreditasi itu,
membabitkan 61 hospital kerajaan dan 17 pusat perubatan
swasta. Daripada jumlah itu, 35 hospital di negara kita
mencapai piawaian antarabangsa yang menjadikan Malaysia
sebagai hub kesihatan di rantau ini.
Katanya, penilaian sesebuah hospital tidak seharusnya
dibuat berdasarkan penampilannya, sebaliknya masyarakat
perlu membuat pilihan berdasarkan kepakaran dimiliki
berdasarkan pengalaman pesakit yang pernah mendapatkan
rawatan di situ.
“Namun, paling penting ialah sikap kakitangan hospital.
Peralatan moden dan canggih, bangunan baru dan
persekitaran yang cantik tiada makna jika kakitangan
bersikap kasar dan biadap. Cara petugas perubatan
menyambut kedatangan pesakit sebenarnya memberi kesan
psikologi kepada mereka.
“Biasanya setiap hospital ada unit kaunseling sendiri
untuk menangani masalah petugas kurang sopan kerana ia
bukan saja menjejaskan kepercayaan pesakit, malah memberi
imej buruk kepada hospital,” kata Ketua Pegawai Eksekutif
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Datuk Dr Jacob Thomas.
Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tuanku
Jaafar Seremban, Datuk Dr Ravindran Jegasothy, berkata
pesakit perlu membuat persediaan dengan mendapatkan
pelbagai maklumat mengenai penyakit dan rawatan sebelum
mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan.
Katanya, kaedah ini bukan saja memudahkan pemahaman
mengenai rawatan yang bakal diterima, malah boleh
menjimatkan wang kerana ramai membayar berkali ganda
mendapatkan rawatan di luar negara tanpa mengetahui
rawatan serupa ada di negara sendiri.
Untuk mengetahui senarai hospital yang mendapat akreditasi
MSQH, sila layari www.msqh.com.my |