_ _ _ _
 
_
 

 

 
_ _ _ _
   

 

 

Laman Utama | Hubungi

 
 
_
 
   

 

   
  Jagaan Semasa Mengandung
   
   

 

Apakah itu jagaan semasa mengandung?

 

 

 

Jagaan semasa mengandung merupakan khidmat yang diberi kepada ibu mengandung apabila sahaja ia disahkan hamil. Khidmat tersebut meliputi lawatan berjadual secara berkala ke klinik ibu mengandung, penilaian berterusan ke atas tumbesaran janin dan mengenalpasti faktor-faktor risiko yang mungkin wujud di kalangan ibu tersebut. Pengurusan seterusnya adalah sangat penting di samping memberi pendidikan dan nasihat kepada ibu serta keluarganya.


Jagaan ini akan berterusan sehinggalah ibu bersalin.

 

 

 

Apakah tujuan jagaan semasa mengandung?

 

 

 

Tujuannya adalah untuk memastikan ibu dan bayi yang dikandung itu sentiasa berada dalam keadaan sihat. Ini dilakukan dengan memantau kehamilan dan merawat segala masalah yang timbul. Jagaan semasa mengandung yang anda akan terima mungkin dianggap membebankan tetapi ia adalah untuk kebaikan anda bagi mengenalpasti masalah di peringkat lebih awal. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi anda untuk membuat lawatan secara berkala seperti yang dinasihatkan. Pemeriksaan yang dibuat secara tekal akan menghasilkan satu kehamilan yang sihat dan menjamin kelahiran yang selamat.

 

 

 

Siapakah yang memberi khidmat ini?

 

 

 

Bagi kebanyakan ibu, adalah lebih senang jika jagaan ini diberikan oleh doktor keluarga dan pihak hospital. Bagi ibu-ibu yang mempunyai faktor risiko yang minima, seorang doktor, jururawat atau bidan sudah cukup untuk memberi sebahagian besar dari khidmat jagaan ini. Di Malaysia, jagaan semasa mengandung asas diberi oleh:

 

 

 

  • Jururawat Masyarakat yang ditempatkan di klinik masyarakat.

  • Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak yang dianggotai oleh

  • jururawat kesihatan/jururawat terlatih dan jururawat masyarakat/bidan.

  • Doktor, jururawat dan bidan di klinik-klinik pakar Obstetrik dan Ginekologi di hospital-hospital.

  • Klinik-klinik doktor swasta.

  • Klinik pakar swasta.

  • Hospital bersalin swasta.

 

 

 

Apakah jagaan sebelum mengandung?

 

 

 

Jagaan sebelum mengandung merupakan jagaan yang diberi kepada wanita-wanita yang bakal menjadi ibu yang merancang untuk hamil di masa akan datang. Taraf kesihatan am bakal-bakal ibu ini boleh diperiksa dan usaha-usaha akan dilakukan untuk menstabilkan pengurusan sesuatu masalah yang wujud seperti diabetes, tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang, paru-paru atau masalah-masalah neurologi yang kronik. Implikasi atau kesan masalah-masalah ini semasa hamil ke atas ibu dan bayi akan dibincangkan kemudian. Keimunan atau ketahanan terhadap demam cacar air atau rubella, kesan bahaya dari pengambilan bahan-bahan tertentu seperti rokok, alkohol perlu diubahsuai. Terapi ubat-ubat tertentu mungkin perlu diubah atau dihentikan buat sementara waktu ketika hamil. Pada umumnya, jagaan sebelum mengandung perlu meliputi:

 

 

 

  • Suntikan.
  • Kaunseling genetik.
  • Pengurusan beberapa masalah perubatan.
  • Nasihat mengenai makanan atau diet.
  • Nasihat mengenai dadah, alkohol dan merokok.
  • Pengambilan pil perancang keluarga atau kontraseptik.
  • Nasihat mengenai kehamilan di masa hadapan.
  • Pendidikan kesihatan untuk kehamilan.

 

 

 

Lawatan semasa mengandung yang pertama

   

 

Jika ujian kehamilan anda positif, doktor atau jururawat anda akan memeriksa dan menasihatkan sewajarnya. Pada lawatan permulaan, sejarah atau latar belakang anda akan diambil sepenuhnya. Pemeriksaan fizikal akan dilakukan. Beberapa pemeriksaan asas yang rutin akan dibuat. Dari sejarah yang diambil beberapa perkara berikut akan dijalankan:

  • Pengiraan jangkaan tarikh kelahiran (EDD) akan dibuat. Bagi wanita yang mempunyai perjalanan haid yang tekal, pengiraan ini adalah berdasarkan kepada kedatangan haid yang terakhir. Anda perlu menyimpan diari kedatangan haid anda dan bawanya ke klinik ketika membuat lawatan yang pertama nanti. Ini sangat penting terutamanya jika kedatangan haid yang tidak menentu.

  • Sejarah kehamilan sekarang seperti muntah, kesakitan atau pendarahan.

  • Sejarah sakit puan (obstetrik) yang lalu yang penting, seperti:

  - Tarikh dan tempat bersalin yang lepas.
  -

Jangka masa kehamilan, berat anak yang lahir (adakah bayi tersebut dilahirkan pramatang atau beratnya kurang dari 4 kg?)

  -

Kesan-kesan ke atas janin (adakah bayi yang dilahirkan itu hidup atau dilahirkan mati?

  - Permulaan dan jangka masa pelahiran.
  -

Jenis kelahiran (adakah ia kelahiran normal, songsang, forseps, vakum atau Ceasarean?).

  -

Komplikasi-komplikasi yang berkaitan seperti penyakit tekanan darah tinggi, pendarahan postpartum (pendarahan selepas bersalin).

  - Komplikasi pelahiran dan selepas bersalin.
  - Jenis penyusuan yang diberi.

  • Sejarah keluarga yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau tibi

  • Kewujudan masalah-masalah perubatan sebelum ini.

  • Sejarah pembedahan yang lalu terutamanya yang melibatkan pangkal rahim atau pernah mengalami D&C (pendilatan dan pengkuretan) sebelum ini.

  • Sejarah sosial - seperti merokok, pengambilan dadah (yang diberikan oleh doktor atau yang disalahgunakan) dan alkohol.

 

 

Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan fizikal?

Pemeriksaan fizikal selalunya dilakukan oleh doktor atau jururawat semasa lawatan pertama dibuat. Ketinggian, berat badan dan tekanan darah ibu akan diambil. Sebarang bentuk keabnormalan akan direkodkan dan jantung, paru-paru serta payudara akan diperiksa. Pemeriksaan-pemeriksaan lain yang akan dijalankan adalah termasuk pemeriksaan gigi dan gusi kerana penyakit gigi dan gusi ini adalah biasa dan kemungkinan jagaan lanjut diperlukan.

Abdomen dan pelvis juga akan diperiksa untuk menentukan saiz rahim. Pemeriksaan menggunakan spekulum perlu dijalankan untuk mengambil calitan pangkal rahim bersama swab faraj bagi memeriksa kewujudan sebarang jangkitan. Beberapa perkara akan dilakukan di klinik, seperti:

    

  • Pemeriksaan tekanan darah - peningkatan tekanan darah merupakan satu dari tanda-tanda tekanan darah tinggi ketika hamil. Ini adalah satu masalah yang serius.

  • Ujian air kencing untuk mengesan bahan protein (merupakan tanda praeklampsia) gula, nanah, darah dan lain-lain. Diabetes adalah perkara yang sangat biasa berlaku ketika hamil. Kewujudan gula dalam air kencing merupakan tanda pertama masalah ini.

  • Berat badan - berat badan yang berlebihan mungkin disebabkan pengumpulan lemak atau cecair. Kurang penambahan berat badan mungkin menandakan bayi dalam kandungan tidak mendapat zat makanan atau nutrien yang cukup.

  • Memeriksa perut - pemeriksaan abdomen dibuat untuk menentukan kedudukan bayi dalam kandungan; sama ada normal ataupun songsang. Periksa kedudukan kepala, sama ada ianya masih bebas atau telah "engage". Memeriksa saiz rahim untuk memastikan sama ada ia membesar mengikut tarikhnya ataupun tidak. Ini dapat dipastikan melalui palpitasi atau menggunakan pita ukuran untuk mengukur lilitan perut.

  • Ujian-ujian darah.

  • Pemeriksaan ultrasound.


Apakah pemeriksaan yang lazimnya dilakukan pada kali pertama melawat klinik?

 

Antaranya termasuklah:

  • Anggaran paras hemoglobin - untuk menentukan anemia.

  • Kumpulan jenis darah ABO dan Rhesus - adalah penting untuk mengenalpasti ibu yang mempunyai negatif Rhesusnya lebih awal bagi membolehkan mereka menerima anti-D globulin (rhogam) berikutan dari sesuatu keguguran, penamatan atau menjalani sesuatu prosedur yang invasif seperti amniocentesis. Penyerasian silang darah pesakit juga dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pesakit menghadapi pendarahan yang teruk dan memerlukan pemindahan darah.

  • Ujian serologi untuk penyakit sifilis dan VDRL (veneral disease research laboratories) - ibu yang seropositif untuk penyakit sifilis perlu dirujuk ke klinik pakar venerologi supaya rawatan awal boleh diberikan.

  • Ujian serologi untuk Hepatitis B - ujian ini bukanlah rutin tetapi hanya dilakukan untuk ibu mengandung yang disyorkan sahaja. Bagi pembawa Hepatitis B yang positif, anggota kesihatan yang melakukan pemeriksaan dan kelahiran ibu tersebut perlu lebih berhati-hati.

  • Di sesetengah klinik ujian saringan untuk HIV juga diljalankan.

 

Apakah tujuan melakukan saringan ultrasound semasa mengandung?

 

Di Malaysia, pemeriksaan ultrasound bukanlah sesuatu yang rutin dilakukan untuk semua ibu mengandung. Di tempat-tempat yang memiliki kemudahan ini ianya sangat baik jika dilakukan di trimester pertama dan pada minggu yang ke 18. Kemudian diulang, mungkin di minggu ke 34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.

  • Ia dilakukan apabila tarikh kedatangan haid yang terakhir tidak diketahui dan juga di kalangan pesakit yang kedatangan haidnya tidak menentu.

 

Tujuan ultrasound ialah:

  • Dilakukan di awal kehamilan untuk mendapat maklumat berhubung dengan jumlah janin, kebolehhidupannya dan untuk menentukan umur janin dengan tepat.

  • Ia membantu mendiagnoskan komplikasi kehamilan lebih awal, seperti pengguguran tertinggal, kehamilan ektopik dan kehamilan molar.

  • Ia membantu mendiagnoskan keadaan janin seperti anensefali, spina bifida dan keabnormalan kromosom seperti sindrom Down. Juga mengesan masalah yang mungkin wujud di penghujung kehamilan seperti plasenta previa juga boleh didiagnoskan.

  • Pengimbasan awal boleh membantu menentukan jangkaan tarikh kelahiran.

 

Bagaimanakah ultrasound ini dilakukan?

 

Prosedur ini tidak mendatangkan sebarang kesakitan. Anda hanya perlu berbaring di atas kerusi panjang dan gel ultrasound akan disapukan ke perut anda supaya imej bayi anda akan dapat dilihat dengan jelas. Gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi akan dihasilkan oleh kuar ultrasound dan ia digunakan untuk menghasilkan gambar bayi. Anda akan dapat melihatnya di skrin. Gambar yang terbaik dapat dihasilkan apabila pundi kencing anda penuh. Oleh itu anda akan diminta untuk minum lebih banyak cecair sebelum prosedur ini dijalankan. Ini dilakukan di peringkat awal kehamilan. Di akhir kehamilan anda, rahim akan menonjol keluar dari rerongga pelvis dan anda tidak lagi perlu mengisi pundi kencing sebegitu banyak. Prosedur ini akan mengambil masa antara 5 minit hingga setengah jam, bergantung kepada bentuk pengimbas.


Bagaimanakah ibu mengandung yang berisiko dapat dikenalpasti?

 

Jagaan ibu mengandung yang berkala dan tekal seharusnya dapat mengenalpasti mana-mana ibu hamil yang berisiko. Faktor risiko selalunya dikaitkan dengan:

  • umur dan pariti (jumlah anak yang berjaya dilahirkan hidup).

  • Faktor yang menunjukkan umur janin yang tidak pasti.

  • Faktor-faktor yang terdapat pada sejarah kehamilan masa lalu yang ada kaitannya dengan kematian janin dan penyakit-penyakit tertentu.

  • Masalah-masalah kesihatan ibu mengandung seperti tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit buah pinggang, masalah jantung yang boleh memberi kesan buruk kepada kehamilan. Pada masa yang sama meletakkan ibu berkenaan dalam ketegori mereka yang berisiko tinggi.

 

Bagi ibu-ibu yang berisiko tinggi ini jagaan semasa mengandung perlu dikongsi bersama dengan doktor swasta ataupun hanya diletakkan di bawah jagaan pakar-pakar dalam satu pasukan di hospital.

 

Apakah yang dilakukan semasa lawatan susulan semasa mengandung?

 

Di setiap lawatan:

  • Pesakit akan ditanya mengenai keadaan kesihatan amnya terutamanya mengenai selera makan, loya, muntah, mabuk hamil, masalah usus yang berkaitan, kesakitan dalam abdomen atau pendarahan melalui faraj.

  • Pesakit akan ditimbang. Puratanya berat badan seorang ibu mengandung harus meningkat pada kadar 0.5 kg setiap minggu antara minggu ke 15 hingga minggu ke 38.

  • Tekanan darah akan diambil setiap kali lawatan. Hanya bacaan sebelum minggu ke 12 sahaja yang memberi garis dasar tekanan darah yang betul.

  • Kaki dan buku lali akan diperiksa untuk melihat sama wujudnya sembab (bengkak) ataupun tidak yang selalunya disebabkan oleh pembendungan air dan garam. Ini juga menunjukkan adanya masalah lain yang lebih serius seperti penyakit jantung atau buah pinggang, praeklampsia atau anemia yang teruk.

 

Ujian-ujian yang dilakukan secara rutin di setiap lawatan ialah:

  • Sampel air kencing - ujian batang celup selalunya digunakan untuk mengesan bahan protein dan gula dalam air kencing. Jika terdapatnya bahan protein yang berterusan dalam air kencing atau jika pesakit menunjukkan gejala jangkitan saluran kencing, sampel air kencing yang di tengah-tengah akan diambil untuk pemeriksaan kultur.

  • Paras hemoglobin juga akan diperiksa setiap bulan. Ibu mengandung digalakkan mengambil pil zat besi dan asid folik tambahan. Bagi ibu yang memiliki paras hemoglobin kurang dari 10 gml perlu disiasat lebih lanjut dengan menjalani pemeriksaan gambaran darah lengkap, air kencing untuk kultur dan najis untuk ujian ova dan sista.

  • Ibu mengandung yang negatif rhesus (D) tanpa antibodi pada lawatan pertama mereka perlu diuji sekali lagi pada minggu ke 28 dan minggu ke 34 - 38. Jika antibodi rhesus dikesan pada lawatan yang pertama atau berlaku ketika hamil, ujian-ujian antibodi seterusnya perlu dilakukan lebih kerap dan diberi rawatan yang sepatutnya. Mereka juga perlu dirujuk kepada doktor pakar.



Apakah harapan ibu mengandung ke atas khidmat jagaan semasa mengandung selepas 28 minggu kehamilan?

 

Apabila kehamilan itu meningkat, beberapa perkara menjadi semakin penting. Antaranya ialah:

  • Penambahan berat badan merupakan petanda keseluruhan kesejahteraan ibu dan bayi dalam kandungannya.

  • Saringan untuk mengesan praeklampsia (tekanan darah tinggi semasa mengandung) kerana keadaan ini boleh membawa komplikasi yang serius kepada ibu dan kandungannya. Kewujudan protein, walaupun sedikit, dalam air kencing (proteinuria) adalah satu petanda yang penting.

  • Pengukuran ketinggian fundus boleh digunakan sebagai panduan untuk menentukan saiz janin dan tumbesarannya.

  • Palpitasi rahim boleh diguna untuk menentukan:

     

 

-

Kedudukan janin (kekaitan paksi membujur janin dengan ibunya). Perubahan pada kedudukan adalah perkara biasa selepas minggu ke 32 bagi wanita yang mengandung kali pertama dan selepas minggu 36 bagi ibu yang telah biasa mengandung.

 

 

 

 

-

Presentasi janin seperti songsang.

 

 

 

 

-

Engagemen (apabila kedudukan janin telah menurun ke bahagian pelvis) janin ketika lawatan susulan.

 

 

 

 

-

Rahim lebih besar dari tarikhnya dan juga sama ada terdapat lebih dari satu janin. Ini boleh dipastikan melalui pengimbasan ultrasound

  • Penilaian pergerakan janin boleh digunakan sebagai panduan kasar untuk menentukan keadaan kesihatan janin. Carta gerakan janin atau carta tendangan selalunya digunakan oleh ibu-ibu untuk memantau gerakan janin mereka sendiri. Ibu-ibu boleh mula menggunanya selepas minggu ke 34.

  • Pemeriksaan ultrasound yang bersiri perlu dilakukan untuk ibu yang berisiko tinggi seperti mereka yang menghadapi masalah perubatan untuk memantau tumbesaran janin mereka.

  • Sebarang pendarahan selepas 28 minggu kehamilan perlu diberi perhatian yang serius dan perlu disiasat untuk memastikan puncanya. Penyebab pendarahan yang berlaku dalam semester ketiga adalah termasuk plasenta previa dan abrupsi plasenta (pautkan ke topik berkenaan). Kedua-dua masalah ini memerlukan rujukan segera kepada pakar untuk rawatan selanjutnya.


Apakah yang diharapkan dari jagaan ibu mengandung ini?

 

Kebanyakan ibu akan melalui satu pengalaman kehamilan yang tidak menarik. Jika timbulnya masalah yang membahayakan ibu dan kandungannya, kelahiran awal adalah disyorkan. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan adanya kemudahan pediatrik sebagai khidmat sokongan. Jika boleh, adakan kemudahan unit jagaan intensif untuk neonatal atau kemudahan nurseri jagaan khas bagi menampung keperluan ibu-ibu mengandung yang berisiko tinggi untuk bersalin.

 

Apakah masalah-masalah yang selalunya dihadapi di awal kehamilan?

 

Masalah-masalah biasa yang berlaku ketika kehamilan ialah:

  • Mabuk hamil

     

    • Ia selalunya berlaku dalam minggu yang ke 4 dan berakhir sehingga minggu ke 12 atau 13. Kadangkala ia berlarutan melepasi minggu ke 13.

     

    • Ia mungkin disebabkan oleh meningkatnya sensitiviti terhadap hormon yang bertambah semasa hamil. Inilah yang menyebabkan mabuk hamil.

     

    • Tidak seperti loya yang dikaitkan dengan sesuatu penyakit, loya mengandung meningkat apabila perut kosong. Untuk mengelakkan keadaan ini, makanlah lebih kerap tetapi sedikit-sedikit. Cuba mengambil biskut atau roti di waktu pagi sebelum keluar dari tempat tidur. Elakkan dari makanan yang berlemak dan berempah. Pastikan pengaliran udara dalam rumah atau di tempat kerja dalam keadaan baik.

  • Sembelit

     

    • Keadaan ini berlaku kerana makanan yang dimakan bergerak terlalu perlahan melalui sistem penghadaman disebabkan oleh kesan progestron, iaitu sejenis hormon yang meningkat ketika hamil. Progestron akan mengendurkan otot usus. Oleh yang demikian ia memperlahankan pergerakan bahan makanan.

     

    • Minumlah lebih banyak air dan tambahkan lebih banyak serat dalam makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin atau bijian.

     

    • Anda perlu elak dari mengambil julap semasa hamil.

     

  • Pedih hulu hati

     

    • Ini disebabkan oleh pengaliran balik asid dari perut. Ia menyebabkan terasa pedih di bahagian dada dan di bahagian belakang tekak.  

     

    • Ubat antasid boleh membantu melegakan pedih hulu hati ini. Ingat bahawa anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil ubat ini.

 

 

  • Sakit Belakang

     

    • Berat badan bayi dalam kandungan menyebabkan perubahan kepada pusat graviti. Keadaan belakang akan diburukkan lagi jika anda mempunyai postur yang tidak baik.

     

    • Untuk mengurangkan sakit belakang:

     

    • Pakai kasut tumit yang rendah.

     

    • Ampukan belakang anda apabila duduk.

     

    • Tidur di atas tilam yang keras.

     

    • Berjumpa doktor anda jika sakit belakang menjadi semakin teruk.

     

  • Buasir

     

    • Buasir yang sederhana yang dialami akan menjadi menjadi lebih teruk semasa hamil dan boleh berlakunya trombos, terasa sakit dan mungkin berdarah semasa hamil.

     

    • Anemia boleh berlaku oleh sebab pendarahan yang teruk dari buasir tersebut.

     

    • Berjumpa doktor anda untuk mendapatkan ubat melembutkan najis dan ubat untuk buasir.

     

  • Tidak dapat tidur (insomnia)

     

    • Kesukaran untuk tidur di waktu malam disebabkan oleh naik turunnya emosi mengandung.

     

    • Elakkan dari makan terlalu banyak sebelum tidur. Cuba tidur dalam kedudukan yang lebih selesa.

     

    • Jika perlu, elak dari mengambil ubat penenang atau ubat tidur semasa mengandung. Ubat penenang dan pil tidur ini boleh membahayakan anak dalam kandungan. Dapatkan nasihat doktor jika anda benar-benar memerlukannya ketika anda sedang mengandung.

     

  • Gatal-gatal

     

    • Di akhir kehamilan adalah biasa jika anda terasa gatal-gatal. Ia hanya melibatkan tempat-tempat yang terdapatnya tanda regang di abdomen. Gunakan krim atau minyak zaitun untuk menghilangkan tanda regang tersebut.

     

    • Losyen Calamine juga boleh digunakan untuk melegakan keadaan. Bagi gatal-gatal yang teruk anda perlukan ubat antihistamin untuk menghilangkannya dan membantu anda tidur di waktu malam.

     

  • Sembab/bengkak di kaki dan buku lali

     

    • Sembab adalah perkara biasa dan normal ketika mengandung. Rawatan lazimnya tidak diperlukan.

     

    • Angkat kaki anda sedikit ketika baring untuk mengalirkan cecair keluar. Jika sembab menjadi semakin teruk berjumpalah doktor.

     

  • Vena varikos

     

    • Vena varikos selalunya terjadi di kaki. Di kalangan sesetengah wanita ia berlaku di bibir faraj.

     

    • Elakkan dari berdiri terlalu lama

     

    • Gunakan stoking untuk melegakan keadaan.

     

    • Kekejangan kaki

     

    • Keadaan ini disebabkan oleh kekurangan kalsium

     

    • Biasanya dirawat dengan tablet kalsium.

  • Serangan pengsan

  • Selalunya berlaku dalam minggu ke 28 yang pertama dan seringkali disebabkan postur. Pembesaran rahim menekan saluran aorta dan vena cava yang merupakan saluran darah besar terletak di belakang rahim. Pengurangan pengaliran darah balik ke jantung akan berlaku jika anda bangun secara tiba-tiba.

  • Tukar postur anda secara perlahan-lahan untuk mengelak dari masalah ini.

  • Kerap membuang air kecil

  • Ini kerapkali berlaku di awal kehamilan disebabkan pembesaran rahim yang memberi tekanan ke atas pundi kencing.

  • K eadaan ini tidak memerlukan rawatan.

  • Terasa sakit, kerap membuang air kecil dan bangun pada waktu malam lebih dari sekali mungkin merupakan tanda jangkitan saluran kencing yang sangat biasa semasa mengandung.

  • Peningkatan lelehan dari faraj.

  • Ini disebabkan oleh peningkatan rembesan yang dihasilkan oleh pangkal rahim.

  • Terasa kebas dan berdenyut-denyut di jari-jari?

 

Ini boleh diatasi melalui fisioterapi dan senaman

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

_

 
   
     
 
  Fakta Ringkas
 

 

_

Apakah itu jagaan semasa mengandung?

_ _

Apakah tujuan jagaan semasa mengandung?

_ _

Siapakah yang memberi khidmat ini?

_ _

Apakah jagaan sebelum mengandung?

_