_ _ _ _
 
_
 

 

 
_ _ _ _
   

 

 

Laman Utama | Hubungi

 
 
_
   

 

   
  Kaedah Bersalin
   
   

 

Pelahiran dan Kelahiran


Apakah yang dimaksudkan pelahiran?
 

Pada minggu-minggu terakhir kehamilan, berlaku beberapa perubahan baru yang menandakan kelahiran yang bakal anda hadapi. Sebagai contoh, anda dapat merasakan bayi berada lebih bawah di bahagian abdomen dan orang mungkin menegur yang bayi anda telah "menurun". Keadaan ini dikenali sebagai "keringanan" dan ia bermaksud bahawa kepala bayi telah masuk ke bahagian bertulang di pelvis anda. Kadangkala ia berlaku dengan cepat dan anda akan mendapati secara tiba-tiba lebih mudah untuk bernafas. Kadangkala proses "keringanan" tidak akan berlaku sehinggalah selepas proses pelahiran bermula.

 

Pelahiran atau "labour" bermaksud kerja. Pada masa ini, anda perlu bekerja keras untuk menolak bayi keluar dari rahim anda ke dunia. Ia mungkin merupakan salah satu usaha paling sukar yang pernah anda lakukan. Pangkal rahim yang terbentuk daripada tisu padat, berbentuk seperti "doughnut" kecil dan berlubang di tengah-tengahnya, telah menutup sepanjang kehamilan. Kini ia perlu meregang cukup luas supaya bayi dapat melaluinya. Rahim akan mengecut dan memaksa pangkal rahim membuka lebih lebar, sedikit demi sedikit selama beberapa jam. Pengalaman pengecutan rahim adalah berbeza-beza bagi setiap wanita. Sesetengah wanita mengumpamakannya seperti ombak yang semakin membesar dan membesar sehingga mencapai puncaknya sebelum menyusut semula.


Kelahiran Palsu
 

Pengecutan rahim di peringkat akhir kehamilan adalah satu perkara yang normal. Ia dikenali sebagai "pelahiran palsu" kerana ia tidak membuka pangkal rahim seperti yang berlaku dalam pelahiran sebenar. Di sini disenaraikan tanda-tanda yang dapat membantu anda membezakan antara pelahiran palsu dan pelahiran sebenar:

 

 

-

Pengecutan pelahiran palsu selalunya tidak kerap berlaku.

   

-

Pengecutan pelahiran palsu selalunya akan hilang apabila anda berjalanjalan manakala dalam pelahiran sebenar, pengecutannya dirasai semakin kuat.

   

-

Pengecutan dalam pelahiran sebenar akan menjadi lebih kuat dan semakin rapat di antara satu sama lain.

 

 

Pada akhir kehamilan, bahagian bawah abdomen anda mungkin terasa tegang atau sesekali berlaku pengecutan rahim. Pengecutan ini akan hilang apabila anda berjalan-jalan atau mempraktikkan teknik pernafasan. Jika ia tidak hilang, hubungilah doktor segera.

   
 

Apakah tanda-tanda pelahiran yang biasa?

Permulaan proses pelahiran bagi seseorang adalah suatu fenomena yang khusus. Sesetengah wanita tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami tahap pertama pelahiran dan menyalah anggapnya sebagai kembung, pedih ulu hati, sakit belakang, atau ketidakhadaman. Terdapat tiga tanda bermulanya pelahiran. Ia tidak semestinya berlaku mengikut turutan bagi setiap kehamilan.

 

 

-

Pengecutan yang tetap, dimana ia biasanya bermula di bahagian
bawah belakang dan kemudian bergerak ke hadapan abdomen anda.


Pengecutan berlaku kerana rahim anda menegang dan berehat untuk membantu membuka pangkal rahim dan menolak bayi keluar menerusi saluran kelahiran. Di peringkat awal pelahiran, anda akan merasa seperti sakit ketika haid. Sesetengah wanita hanya mengalami pengecutan abdomen atau sakit belakang sahaja. Pengecutan pelahiran yang sebenar berlaku secara tetap. Ia biasanya bermula dengan selang masa selama 15-20 minit di antara satu pengecutan dengan yang lain dan berakhir selama 30-45 saat. Semakin lanjut proses pelahiran, pengecutan menjadi semakin kerap dan lebih lama, iaitu lebih kurang 60 saat. Rasa sakit pula tidak akan hilang walaupun anda berjalan-jalan atau berbaring.

 

 

-

Kesan/tanda merah jambu atau 'gumpalan' lendir

Semasa bayi menolak ke arah pangkal rahim atau leher rahim, pangkal rahim akan membuka dan tanda berwarna merah jambu atau 'gumpalan' lendir akan terkeluar. Biasanya ia mengandungi sedikit darah.

 

 

-

Pancutan atau lelehan dari rahim

Lelehan air dari rahim menunjukkan pemecahan selaput atau "kantung air" yang mengelilingi bayi semasa kehamilan. Ia tidak akan menyebabkan rasa sakit; hanya seperti aliran air yang hangat. Anda boleh kehilangan lebih kurang satu kuart air, tetapi biasanya ia bergantung kepada bahagian mana di kantung yang pecah. Anda boleh kehilangan air ini secara berterusan kerana tubuh anda menghasilkannya secara berterusan. Kadangkala 'kantung air' ini akan pecah di awal proses pelahiran dan kadangkala ia berlaku di akhir peringkat pertama pelahiran.

 

 

Hubungi doktor anda dengan segera apabila selaput atau 'kantung air' mula pecah atau apabila pengecutan menjadi tetap dengan selang masa 15 minit. Untuk anak pertama, doktor mungkin memberitahu anda supaya datang ke hospital apabila selang masa pengecutan rahim adalah 5 minit. Jangan risau jika anda terlewat. Peringkat pertama pelahiran biasanya mengambil masa lebih kurang 8-12 jam untuk bayi yang pertama. Secara amnya, jika anda telah mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak, tempoh proses pelahiran akan lebih pendek dari kelahiran yang pertama dahulu.

 

Di Hospital

Apabila sampai di hospital anda akan dihantar ke bahagian pendaftaran dan kemasukan. Jika berkesempatan, maklumat tertentu akan diminta untuk rekod anda. Jika tidak, orang yang membawa anda ke hospital akan memberi maklumat yang diperlukan. Anda akan terus dimasukkan ke wad bersalin atau bilik bersalin di mana anda perlu memakai pakaian seragam hospital. Apabila bayi 'turun' dan memasuki saluran kelahiran, anda akan terasa seperti hendak meneran/membuang air besar. Ia sebenarnya hanyalah tekanan disebabkan oleh kedudukan bayi.

Orang yang memberikan sokongan

Kebanyakan hospital membenarkan anda ditemani oleh seseorang semasa proses pelahiran (ketika sakit bersalin di dalam wad) dan kadangkala membenarkan anda ditemani sehingga ke dalam bilik bersalin. Biasanya suami yang akan menemani anda, tetapi ibu, kakak, atau pengajar kelas pendidikan kelahiran bayi yang anda hadiri boleh juga menjadi teman. Sila pastikan anda memeriksa polisi hospital dan doktor mengenai peraturan ini, kerana sesetengahnya hanya membenarkan orang yang pernah menghadiri kelas pendidikan kelahiran sahaja untuk menemani anda.
 

Peringatan kepada bapa
 

Sepanjang sesi kelas kelahiran bayi, anda dan isteri akan diajar mengenai proses kelahiran, teknik pernafasan dan cara-cara untuk menenangkan isteri ketika menghadapi saat-saat bersalin. Namun tidak ada yang benar-benar dapat menyediakan diri anda untuk menghadapi pengalaman pelahiran dan kelahiran anda yang pertama. Ingat bahawa saat ini merupakan saat yang sangat istimewa
bagi sepasang suami isteri. Walaupun anda tidak menghadiri kelas kelahiran bayi, anda mungkin tetap ingin hadir ketika kelahiran bayi anda. Jangan terkejut melihat kelakuan pasangan anda atau apa-apa yang diucapkan olehnya. Bantu pasangan anda sepanjang proses pelahiran dan kelahiran dan jangan putus asa. Dia memerlukan sokongan dan belaian anda. Ia juga merupakan peluang untuk hadir di permulaan kehidupan anak anda.
 

Peringkat pelahiran


Pelahiran boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat. Semasa peringkat pertama, pangkal rahim akan membuka seluas yang mungkin untuk membolehkan bayi melaluinya. Peringkat kedua pula bermula apabila anda menolak bayi keluar daripada rahim ke dalam saluran kelahiran dan ia berakhir apabila bayi dilahirkan. Peringkat ketiga ialah apabila uri (selepas kelahiran) dikeluarkan. Keseluruhan proses pelahiran ini mengambil masa selama 12-14 jam untuk bayi yang pertama dan lebih kurang 7 jam untuk kelahiran bayi yang seterusnya.


Peringkat Pertama:


Semasa peringkat pertama pelahiran, anda akan kerap diperiksa untuk mengetahui perkembangan bukaan pangkal rahim. Ini dilakukan melalui pemeriksaan faraj. Doktor akan mengukur bukaan pangkal rahim di dalam ukuran sentimeter. Apabila pangkal rahim membuka pada tahap maksimum iaitu 9 -10 sentimeter, bukaan adalah cukup besar untuk bayi melaluinya.


Peringkat pertama pula boleh dibahagikan kepada pelahiran awal dan pelahiran aktif:

 

 

 

 

1.

Pelahiran Awal:

 

   

 

 

Semasa proses pelahiran awal, pangkal rahim akan mengembang dari 0 hingga 3 sentimeter. Inilah ketikanya anda mengalami tanda-tanda awal kelahiran seperti kesan lendir bercampur darah, kantung air (ketuban) memecah, dan corak pengecutan yang stabil. Semasa pelahiran awal, anda akan mengalami pengecutan selama lebih kurang 30-60 saat, setiap 5 - 20 minit sekali. Pengecutan ini mungkin bermula seperti Braxton-Hicks yang telah anda alami beberapa ketika ini, dan ia biasanya seperti ombak yang kecil.
 

Apabila pengecutan anda berlaku setiap 5 minit untuk selama 1 jam, ia merupakan masa yang sesuai untuk menghubungi doktor anda. Melainkan beliau mencadangkan sebaliknya, atau air ketuban telah pecah, mungkin terlalu awal untuk anda pergi ke hospital. Biasanya peringkat ini mengambil masa yang agak panjang bagi kehamilan yang pertama; berbincanglah dengan doktor anda untuk memastikan masa yang betul-betul sesuai untuk pergi ke hospital, dengan mengambil kira jarak dankesesakan lalu lintas yang mungkin berlaku. Perasaan anda pada saat ini mungkin bertukar-tukar dari gembira kepada takut, dan mungkin juga merasa lega.


Sekarang adalah masa yang sesuai untuk merekodkan pengecutan anda; dari bermulanya satu pengecutan ke pengecutan yang berikutnya. Cuba bertenang. Walaupun anda terasa ingin mengemas seluruh rumah, cuba atasinya kerana anda memerlukan sepenuh tenaga untuk proses pelahiran. Jika di waktu malam, cuba tidur semula. Hubungi pasangan, jurulatih, atau sesiapa yang anda inginkan sebagai teman di hospital dan maklumkan apa yang sedang berlaku. Lebih baik sekiranya anda makan sajian yang ringan dalam kuantiti sedikit dan mengelakkan makanan berat bermula dari saat ini supaya saluran penghadaman anda tidak penuh dengan mekanan yang mungkin akan mengganggu proses pelahiran.

Periksa semula beg kelengkapan bersalin anda untuk memastikan anda segala yang diperlukan telah ada dan untuk menambah keperluan lain seperti snek dan minuman. Mula amalkan teknik berehat yang anda pelajari, dengan menarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan.

 

 

 

 

2.

Kelahiran Aktif:

     

 

 

Pada peringkat ini, bukaan pangkal rahim mungkin telah berkembang sehingga 4-6 sentimeter. Anda akan mengalami pengecutan yang lebih lama, kuat, dan lebih kerap. Ia akan bermula dari selang masa 1-3 minit, selama lebih kurang 60-75 saat. Walaupun lebih kurang sama seperti pengecutan pada pelahiran awal, ia akan menjadi semakin kuat dan sakit
dengan cepat. Jururawat atau bidan mungkin akan bersama anda sepanjang proses ini. Bapa kepada bayi atau orang yang menemani anda dibenarkan menemani anda di dalam bilik bersalin jika dipersetujui oleh anda dan pihak hospital. Tumpukan perhatian untuk berehat seberapa banyak yang boleh. Semakin anda relaks, semakin kurang anda merencat pengecutan yang berlaku yang sedang bekerja keras untuk mengembangkan dan menipiskan bahagian pangkal rahim. Berjalan-jalan dan duduk dapat membantu anda.
 

Elakkan dari berbaring terlentang terlalu lama. Jika anda perlu berada di atas katil, pastikan anda selalu mengalihkan posisi. Tarik nafas perlahanlahan dan dalam-dalam seberapa lama yang boleh untuk menolong merehatkan anda. Untuk memastikan bayi berada dalam keadaan yang baik semasa proses pelahiran, doktor atau jururawat akan memeriksa denyutan jantung bayi, sama ada dengan menggunakan stetoskop atau dengan melalui pemantauan janin secara elektronik menerusi wayar yang di pasang di abdomen anda. Semasa pelahiran, proses pengecutan akan
menyebabkan anda berasa tidak selesa. Anda boleh meminta ubat untuk meredakan kesakitan ini. Doktor akan memberi ubat yang paling sesuai di samping mengambil kira keadaan anda dan bayi di dalam kandungan. Analgesik merupakan ubat yang melegakan kesakitan dan pengecutan melalui suntikan.

     

Peringkat Kedua
 

Apabila pangkal rahim telah membuka dengan cukup besar, kepala bayi akan mula melaluinya. Jika air ketuban masih belum pecah, ia akan menyebabkan pancutan cecair dari faraj.
 

Pada peringkat ini, bayi akan ditolak melalui pangkal rahim yang terbuka, menerusi faraj dan dilahirkan. Peringkat ini lebih singkat dari peringkat pertama, iaitu 1.5 jam untuk bayi pertama dan 30 minit atau kurang bagi anak yang seterusnya. Pengecutan ketika ini adalah dalam selang masa 2-3 minit dan berlanjutan selama 1 minit.


Semasa bayi bergerak, sedikit demi sedikit melalui saluran kelahiran, ia akan mengenakan tekanan di rektum dan menyebabkan anda seperti hendak meneran najis. Doktor dan jururawat mungkin akan meminta anda melakukan teknik pernafasan yang khusus semasa meneran. Meneran selalunya akan melegakan sedikit ketidakselesaan dan memendekkan proses pelahiran.


Namun adalah penting untuk tidak mula meneran sehinggalah doktor
mengarahkan anda untuk melakukannya. Peringkat ini akan berlanjutan sehinggalah bayi dilahirkan dan mungkin mengambil masa selama 10 minit hingga 2 jam lamanya. Anda hendaklah berada dalam kedudukan meneran yang paling selesa dan efektif. Gunakan sepenuh tenaga untuk meneran dan rehat seketika di antara proses meneran itu. Ikut arahan doktor dan jururawat. Jika perlu, episiotomi mungkin dilakukan. Di akhir peringkat ini, bayi anda akan dilahirkan.


Pada peringkat ketiga pelahiran, uri dan membran akan dikeluarkan melalui bukaan faraj. Ia biasanya berlaku dalam masa 5-30 minit selepas bayi dilahirkan

 

Episiotomi
 

Episiotomi merupakan torehan kecil yang dibuat antara bahagian faraj dan anus bagi memberikan ruang yang lebih besar untuk bayi keluar. Torehan ini akan menghalang tisu faraj daripada terkoyak dan ia hanya dilakukan apabila perlu. Beberapa jahitan akan dilakukan untuk menutupnya kembali. Jahitan ini akan diserap ke dalam kulit semasa pantang dan tidak perlu ditanggalkan. Bertanyalah doktor atau jururawat mengenai polisi untuk melakukan episiotomi. Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan untuk mengelakkan prosedur ini.


Peralatan yang digunakan semasa bersalin
 

Forsep digunakan semasa bersalin hanya jika doktor merasakan tekanan pada kepala bayi perlu dikurangkan dan jika proses kelahiran bayi terbantut. Forsep hanya digunakan apabila perlu dan dalam keadaan yang tidak memudaratkan bayi .


Persediaan pelahiran
 

Kelas persediaan melahirkan bayi diadakan supaya anda memahami tentang kehamilan, pelahiran, dan melahirkan bayi dengan sedikit atau tanpa anestesia, ubat melegakan kesakitan, episiotomi atau apa-apa peralatan. Ibu dan bapa akan diajar teknik pernafasan dan kaedah merehatkan otot. Semasa pelahiran, teman siibu akan memastikannya berada dalam keadaan selesa, menolongnya melakukan teknik untuk pernafasan dan berehat semasa pengecutan, dan memberi sokongan serta galakan. Sesetengah wanita yang menggunakan kaedah kelahiran bayi tidak memerlukan anestetik atau ubat melegakan kesakitan semasa proses bersalin. Namun menghadiri kelas ini tidak bermakna anda tidak boleh mendapatkan ubat melegakan kesakitan atau anestetik jika anda dan doktor membuat keputusan anda memerlukannya. Jika anda berminat untuk menyertai sesi kelahiran bayi, berbincanglah denan doktor atau jururawat. Penglibatan mereka sangat perlu supaya kaedah ini menjadi lebih efektif.


Doktor anda boleh membantu mencarikan kelas atau pengajar untuk mengajarkan anda teknik kelahiran bayi. Terdapat banyak buku yang boleh digunakan untuk mempelajari teknik ini. Walaupun kaedah ini bukan untuk anda, namun anda masih boleh mendapat faedah dari kelas prenatalnya yang biasa.


Pembedahan Caesaerean
 

Kelahiran Caesarean atau Irisan C merupakan pembedahan di mana bayi dilahirkan menerusi insisi di bahagian abdomen dan bukan melalui faraj. Walaupun kelahiran melalui Caesarean dianggap pembedahan besar, risikonya adalah sangat kecil. Kelahiran Caesarean hanya akan dilakukan apabila kelahiran normal (melalui faraj) amat berisiko. Biasanya ia dilakukan apabila kelahiran normal akan membahayakan nyawa bayi dan ibu, jika bayi terdahulu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean, atau kerana disebabkan penyakit atau keadaan tertentu.


Bayi Songsang
 

Biasanya kepala bayi akan masuk ke dalam saluran kelahiran terlebih dahulu. Jarang berlaku keadaan di mana bayi memasuki saluran kelahiran dalam posisi yang berlainan. Bayi songsang adalah keadaan dimana punggung atau kaki memasuki saluran kelahiran terlebih dahulu. Ini akan menyebabkan proses pelahiran lebih lama dan lebih sukar untuk bayi, jadi anda perlu menjalani pembedahan Caesarean jika bayi berada dalam keadaan songsang. Doktor akan memaklumkan kepada anda jika bayi anda songsang dan akan memberitahu apa yang harus dilakukan.


Selepas Bersalin
 

Sebaik sahaja selepas bersalin, bayi dipegang dengan kepalanya lebih rendah untuk membenarkan pengaliran keluar cecair amniotik, mukus dan darah. Picagari 'bulb' yang kecil digunakan untuk menyedut mulut dan hidung bayi. Tali pusat akan dipotong, bayi akan dikeringkan, dan dibalut dengan selimut untuk memanaskannya atau diletakkan dibawah lampu pemanas atau dalam tempat tidur/buaian yang dipanaskan. Selalunya bayi akan diletakkan di atas dada sebaik sahaja dilahirkan untuk memberikan sentuhan kulit ke kulit.

Ubat mata akan dititikkan ke dalam mata bayi supaya dapat mencegah sebarang jangkitan dan gelang pengenalan akan dipakaikan pada tangan anda dan bayi sebelum keluar dari bilik bersalin. Cap jari tangan dan kaki bayi juga akan diambil.


Bilik Pemulihan
 

Sebelum memasuki bilik, anda akan dimasukkan ke bilik pemulihan untuk 1-2 jam. Di sini anda akan diperhatikan dengan teliti dan diperiksa dengan teliti untuk menentukan tiada pendarahan berlebihan atau perubahan tekanan darah yang luar biasa. Bapa bayi dibenarkan masuk ke dalam bilik pemulihan bersama anda. Jika tiada bilik pemulihan, anda dibenarkan tinggal di bilik bersalin untuk 1 jam berikutnya.

   
   
   
 
   
   

 

Teknik epidural atasi sakit bersalin

Soalan:
 

Saya seorang ibu kepada tiga anak perempuan. Ketika saya melahirkan anak bongsu, saya mengalami masalah uri melekat di dinding rahim. Saya ingin mengetahui punca berlakunya uri melekat dan adakah cara untuk mengelakkannya? Saya diberitahu saya berisiko untuk mengalaminya lagi pada kelahiran akan datang.

Suami berhasrat untuk menambah lagi seorang anak tetapi saya masih berasa fobia kerana kesakitan mengeluarkan uri yang melekat lebih sakit daripada sakit melahirkan bayi. Diharap doktor dapat membantu. Terima kasih.

 

Sumber: Harian Metro

 

Jawapan:

Uri itu dikatakan melekat jika ia masih tidak dapat dikeluarkan dalam masa 30 hingga 60 minit selepas kelahiran bayi. Pengeluaran uri berlaku apabila rahim sudah mula mengecut, membenarkan uri itu bercerai dari tempat melekat pada lapisan dalam rahim.

Proses ini berlaku dengan lancar membabitkan 98 peratus wanita yang bersalin. Kebanyakan uri yang ‘melekat’ sebenarnya mengambil masa yang lebih lama untuk diceraikan. Bila diberi masa lagi, didapati ia boleh dikeluarkan dengan normal tanpa masalah. Tetapi baki dua peratus lagi, uri tidak terpisah atau melekat dalam keadaan yang tidak normal sehingga tidak boleh dipisahkan langsung.

Bila ini berlaku, keadaan yang paling bahaya yang boleh terjadi ialah pendarahan tidak terkawal. Di Malaysia, penyebab utama kematian wanita mengandung ialah pendarahan selepas bersalin - iaitu membabitkan 23 peratus daripada semua kes kematian ibu hamil dan lepas bersalin. Daripada jumlah ini, salah satu sebabnya ialah uri melekat luar biasa.

Punca utama uri melekat antaranya ialah mungkin pernah berlaku luka di bahagian rahim (pembedahan pernah dilakukan pada rahim) atau apabila terjadi uri melekat tidak normal yang di panggil ‘placenta accreta’.

Uri biasanya berada pada satu lapisan saja dalam rahim. Tetapi, ada yang boleh menembusi lapisan ini untuk melekat pada bahagian yang lebih dalam iaitu di lapisan otot rahim.

Bila otot mengelilingi bahagian uri ini, memang berlaku uri meletak dengan kuat dan tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, selepas bersalin, rahim tidak dapat mengecut dengan sempurna untuk menghentikan pendarahan. Dalam keadaan yang normal apabila uri sudah berpisah dan dikeluarkan, salur darah pada rahim yang terdedah akan tertutup semula apabila saiz rahim mengecil dengan mengecut.

Mereka yang lebih berisiko tinggi ialah mereka yang pernah ada uri melekat pada kandungan sebelum itu dan yang pernah mengalami luka pada rahim seperti pembedahan untuk fibroid.

Pembedahan cesarean juga memberi risiko yang lebih tinggi untuk placenta accreta dan dalam kes uri di bahagian bawah rahim (placenta praevia) yang melalui pembedahan, kejadian placenta accreta lebih tinggi pada kandungan yang seterusnya.

Lain-lain risiko termasuk kelahiran tidak cukup bulan dan mereka yang sudah kerap kali bersalin.

Bagaimanapun, dengan pengawasan dan perhatian yang rapi, keadaan yang cemas boleh dielakkan. Harus diingati kebanyakan kes uri melekat ialah kerana ia mengambil masa yang lebih lama daripada biasa, atau cuma sebahagian kecil dari uri sahaja yang terbabit.

Apa yang biasa dilakukan ialah memberi masa yang lebih lama sebelum cuba menarik uri lagi. Barangkali inilah yang terjadi pada puan. Ia terasa lebih sakit kerana pemeriksaan yang dilakukan ke dalam faraj lebih dalam, lebih-lebih lagi selepas bersalin, tisu sekelilingnya amat sensitif dan ada juga bahagian yang luka.

Jika ini masih tidak berjaya, persiapan untuk mengeluarkan uri di dewan bedah akan dilakukan seandainya berlaku pendarahan yang teruk. Jika perdarahan tidak boleh dikawal, pembedahan untuk mengeluarkan rahim mungkin perlu untuk menyelamatkan nyawa.

Selain itu, penggunaan ubat-ubatan yang semakin khusus yang ada sekarang menurunkan insiden kes perdarahan yang serius. Ubat-ubatan ini menolong dalam kontraksi rahim yang efektif dan berpanjangan.

Antara cara untuk menahan sakit bersalin ialah dengan teknik epidural - satu jenis bius separuh badan. Dengan cara ini, sakit bersalin tidak dirasai termasuk pelbagai lagi pemeriksaan yang perlu dilakukan. Ia diberi ketika mula sakit hendak bersalin. Mungkin puan boleh mencuba cara ini untuk mengelak rasa sakit bersalin dan kalaulah (harapnya tidak) uri melekat sekali lagi, sakit untuk mengeluarkannya tidak akan dirasai seperti dulu.

   
   
 
   
   
 

Kaedah epidural beri kesan minimum
 

Soalan:


SAYA melahirkan dua cahaya mata melalui pembedahan pada 2003 dan 2005 dengan menggunakan kaedah epidural. Adakah penggunaan epidural ini boleh mendatangkan kesan sampingan kepada tubuh saya dalam jangkamasa panjang?

 

Sumber: Harian Metro

 

Jawapan:

Jika epidural itu dilakukan dengan mudah dan selepas pembedahan juga tiada komplikasi, kesan sampingan jangka masa panjang adalah sangat minimum. Apa yang sering diperkatakan ialah sakit belakang yang terjadi selepas epidural sehingga dapat dirasai beberapa tahun selepasnya. Kajian terbaru menunjukkan risiko mendapat sakit belakang selepas epidural sama seperti risiko bagi wanita yang bersalin tanpa epidural. Oleh itu, masalah sakit belakang ini berpunca ketika mengandung lagi, dan tidak berkait dengan kesan berpanjangan dari teknik epidural. Walaupun sakit belakang dirasai selepas epidural, ia adalah sementara saja dan akan pulih seperti biasa.

Ada dua cara pembiusan yang digunakan sebelum melakukan pembedahan caesarean, iaitu pembiusan secara tidak sedar yang memerlukan intubasi di mana gas anestetik diberikan atau biusan separuh badan. Kaedah epidural dan spinal ialah dua cara pembiusan separuh badan. Dalam kaedah ini, pesakit itu sedar dan teknik untuk membius ialah dengan memasukkan ubat ke kawasan epidural atau spinal pada bahagian tulang belakang. Ubat ini akan melalikan urat saraf yang merangsang bahagian badan yang terbabit termasuk bahagian kulit, rahim dan kedua-dua belah kaki. Prosedur ini hanya dilakukan pakar bius.

Kawasan epidural dan spinal adalah berbeza, epidural ialah lapisan sebelum ruang spinal. Akar saraf yang keluar dari saraf tunjang berada di lapisan ini. Bila ubat pelali dimasukkan di kawasan ini melalui kateter yang halus, ia akan membasahi akar saraf ini menyebabkan pembiusan yang efektif. Kelebihannya ialah ia boleh diberi secara berterusan selagi kateter itu tidak dikeluarkan atau tidak beralih. Ia menjadi cara pembiusan yang sangat sesuai untuk digunakan dalam kes pembedahan yang mengambil masa lama dan juga untuk menahan sakit bersalin. Selepas pembedahan, kateter ini masih boleh ditinggalkan selama mana yang perlu.

Kaedah spinal pula ialah memasukkan ubat terus ke dalam ruang spinal. Kesan pembiusan bermula sejurus selepas ubat dimasukkan, tetapi ia akan tahan selama mana jangkamasa ubat pelali itu saja, biasanya lebih kurang dua jam. Ini sudah mencukupi kerana pembedahan caesarean tidaklah mengambil masa lama.

Kesan sampingan yang biasa terjadi ketika epidural ialah penurunan tekanan darah (ini dielakkan dengan pemberian cecair melalui infusi sebelum prosedur dimulakan dan diteruskan ketika penggunaan epidural) dan susah untuk membuang air kecil kerana hilang sensasi. Bila ini berlaku, air kencing akan dikeluarkan melalui tiub.

Komplikasi lain ialah luka dan pendarahan di tempat suntikan dan luka kepada saraf akibat terkena jarum atau kateter epidural. Satu masalah yang khusus untuk epidural dan spinal ialah bila cecair spinal terkeluar selepas jarum atau kateter dikeluarkan. Ini menyebabkan sakit kepala yang teruk, lebih-lebih lagi bila ada pertukaran posisi disebabkan tekanan cecair dalam otak yang berkurangan. Ia biasanya pulih dengan sendiri dan dengan mengambil minuman berkafein, tetapi dalam kes lebih serius, cara dilakukan ialah memasukkan sedikit darah ke kawasan ini seolah-olah untuk menampal tempat yang luka itu.

   
   
 
   
   

 

Episiotomi untuk kelahiran pertama
 

Soalan:


a) Saya melahirkan anak menggunakan forcep dan juga vacum kerana saiz anak yang besar 11 bulan lalu. Doktor yang menyambut kelahiran memberitahu, lubang najis terpaksa dikoyakkan untuk memberi jalan melahirkan yang lebih luas. Masalah saya, sehingga sekarang saya sukar membuang air besar berikutan lubang najis yang terlalu sempit dan apabila najis itu keluar ia disaluti darah.

Selain itu, kemaluan saya berasa sakit jika saya mencangkung atau ketika meneran seperti seolah-olah ada sesuatu yang akan terkeluar dari alat sulit.

b) Saya bersalin pada 2005 dan anak sudah berusia setahun sebulan. Sejak selepas bersalin hingga kini semacam ada letusan angin keluar dari kemaluan membuat saya rasa kurang selesa. Untuk pengetahuan doktor saya melahirkan anak dengan kaedah endoposotami.

 

Sumber: Harian Metro

 

Jawapan:

Kedua soalan di atas membuka peluang untuk penerangan mengenai episiotomi, iaitu pemotongan di bahagian kulit pembukaan bawah faraj untuk membesarkan ruang keluar ketika kelahiran. Topik ini mencetus banyak perbincangan, kerana lebih kurang 20 tahun lalu ia menjadi amalan rutin. Tetapi kebelakangan ini, dari tahun 90an, ramai pakar perubatan tidak bersetuju kaedah ini dan tidak menggalakkan kegunaannya secara rutin, kecuali untuk kes tertentu saja.

Faraj wanita adalah suatu rongga yang tertutup. Saiznya lebih kurang tiga inci panjang. Bayangkan seorang insan kecil yang kepalanya sebesar saiz bola sepak takraw ditolakkan melalui saluran yang kecil ini untuk keluar memulakan hidupnya. Yang menakjubkan ialah kebolehan faraj mengembang beberapa kali ganda untuk membenarkan bayi itu melaluinya tanpa mengalami apa-apa carikan atau kecederaan. Bahagian yang akan terluka ialah di pembukaannya kerana di sinilah ia bertembung dengan kulit. Kulit tidak dapat meregang begitu banyak - oleh itu bila ia diregang ke tahap yang maksimum, ia akan mula koyak dan luka, dan otot-otot di bahagian bawahnya juga akan turut luka dan terkoyak. Luka ini boleh berlaku di banyak bahagian pembukaan faraj dan boleh menyebabkan luka teruk yang mendalam dan membabitkan dubur.

Untuk mengelakkan luka tidak terkawal, episiotomi dilakukan supaya luka itu terjadi hanya di satu tempat saja dan senang untuk dijahit dan dibaiki semula. Bahagian dubur tempat najis keluar tidak akan terbabit dalam episiotomi, sebaliknya ia dielakkan supaya fungsinya tidak terganggu. Bagaimanapun jika kepala bayi terlalu besar untuk pembukaan faraj itu, koyakan di kawasan episiotomi itu boleh merebak ke bawah dan ke dalam dan secara tidak sengaja, ia juga akan carik.

Selepas bersalin, episiotomi itu akan dijahit semula seperti keadaan sebelumnya. Ia memang tidak selesa, dan ibu yang baru bersalin itu mungkin tidak dapat duduk dengan betul untuk beberapa minggu. Jika sudah pulih, ia tidak akan menyebabkan apa-apa masalah lagi. Tetapi semestinya setiap prosedur ada komplikasi. Di antaranya ialah sakit semasa melakukan perhubungan intim dan sakit di pembukaan faraj. Itulah sebabnya ia tidak digalakkan untuk dilakukan untuk setiap wanita yang bersalin. Biasanya episiotomi dilakukan untuk mereka yang bersalin buat kali pertama kerana ketegangan kulit masih kuat lagi ketika ini, bila kelahiran dibantu dengan forseps atau vakum dan jika dianggar saiz bayi itu besar untuk mengelakkan carikan yang lebih teruk.

Sakit yang puan alami sudah terlalu lama. Sesudah habis pantang, luka dari episiotomi tidak sepatutnya menyebabkan sakit yang teruk atau masalah untuk membuang najis. Bila ini masih lagi berlaku, pemeriksaan yang lebih teliti perlu dilakukan. Kekeringan yang dialami mungkin tidak kena mengena dengan episiotomi. Perdarahan semasa membuang najis mungkin tidak ada kena mengena dengan tempat episiotomi tetapi masalah khusus di dubur seperti buasir. Bahagian ini harus diperiksa untuk memastikan tiada ketumbuhan lain di dalamnya.

Semasa perhubungan intim, cecair yang keluar semasa stimulasi ialah dari kelenjar di dalam faraj. Tetapi jika sakit dialami di bahagian jahitan, ia akan mengurangkan stimulasi dan cecair yang keluar akan berkurangan menyebabkan terasa kekeringan. Selepas bersalin, ketegangan di otot-otot sekeliling faraj juga akan berkurangan dan biasanya tidak kembali ke keadaan sebelum bersalin. Oleh itu, angin yang dirasai keluar dari kemaluan ialah kerana otot-otot ini sudah lemah. Ini boleh dikurangkan dengan melakukan senaman khas untuk menegangkan otot pelvis yang dipanggil senaman pelvik Kegel. Senaman lain seperti pilates dan yoga juga dapat menolong keadaan ini.

Pada zaman perubatan moden sekarang, jika anda bersalin di hospital atau pusat rawatan, sudah tentu anda tidak akan dibiarkan meneran selama sehari. Masa inilah yang paling kritikal untuk bayi dan ibu - bila serviks membuka dengan sepenuhnya, kepala bayi sudah berada di dalam faraj menanti masa untuk keluar dan ia bergantung sepenuhnya atas kebolehan ibu untuk menolaknya keluar. Ia mengambil masa lebih kurang sejam atau lebih sedikit dari itu, dan keadaan ibu dan bayi sentiasa diperhatikan.

Jika didapati tanda-tanda bayi itu mulai lemas atau ibu sudah terlalu letih, doktor akan menolong dengan menggunakan vakum atau forseps untuk menariknya keluar.

   
   
 
   
   
   
   
   
 
 

_

 
   
     
   
     
 

"Tiada Kesan Sampingan & Amat Selamat Digunakan"

 
     
 
 
     
  KOLEKSI VIDEO IBU BERSALIN  
     
 

AMARAN!

Laman ini mempunyai gambar yang mencolok mata. Sila keluar sekiranya anda tidak selesa dengan tajuk ini...!

 
     
  Bersalin Normal  
  Bersalin Cesarean  
     
 
 
     
     
   
 
_ _ _
 

© Copyright 2006. www.EdaranSalindah.com