|
Darah Nifas
Wanita yang baru
bersalin akan mengalami turun darah nifas yang hampir sama bentuknya dengan
darah haid. Jangka waktu nifas lebih panjang daripada darah haid; purata lebih
kurang dua minggu. Jika nifas berpanjangan melebihi jangka waktu ini, atau
berlaku tumpah darah yang banyak mungkin ini menandakan gangguan atau penyakit
dalam rahim.
Tumpah Darah
Tumpah
darah selepas
bersalin atau post-partum haemorrhage biasa berlaku sebaik sahaja wanita
melahirkan anak sama ada selepas uri dilahirkan ataupun sebelum uri dilahirkan
dan ia terlekat dalam rahim. Keadaan tumpah darah yang begini amatlah
berbahaya kerana biasanya ia berlaku dengan tidak semena-mena dan pendarahan
boleh berlaku dengan amat banyak sehingga boleh meragut nyawa ibu.
Tumpah darah
ketika ataupun sebaik sahaja lepas bersalin masih menjadi punca utama kematian
ibu di Malaysia, khususnya ibu yang melahirkan anak di rumah. Masalah ini juga
kerap dialami oleh ibu yang telah banyak kali melahirkan anak. Akibatnya rahim
menjadi lemah dan tidak boleh kuncup dengan kuat untuk mengelakkan kejadian
tumpah darah. Keadaan ini juga boleh berlaku di hospital atau di pusat-pusat
kelahiran khususnya mereka yang mengalami kerumitan ketika melahirkan anak
seperti kelahiran dengan cara forsep. Namun demikian jika ia berlaku di
hospital atau pusat-pusat kelahiran, biasanya ia boleh diselamatkan kerana
adanya kemudahan rawatan dalam bentuk tranfusi darah serta kakitangan yang
boleh mengendalikannya.
Jika kelahiran
berlaku di rumah ia sering mengakibatkan maut. Wanita yang mengalami masalah
seperti urinya terlekat dan tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh satu jam
selepas bayi dilahirkan, akan mengalami masalah tumpah darah yang banyak. Oleh
itu jika uri tidak boleh dikeluarkan, bawalah wanita itu segera ke hospital.
Di sesetengah negeri di Malaysia ada satu pasukan ala flying squad yang boleh
dipanggil untuk mendapatkan rawatan cemas di rumah.
Tumpah darah
selepas bersalin mungkin juga boleh berlaku dalam masa 48 jam selepas bersalin
atau bila-bila masa dalam seminggu selepas bersalin. Jika ia berlaku dalam
masa 48 jam walaupun uri telah dikeluarkan, ini mungkin menandakan kuncupan
rahim tidak begitu kuat ataupun sebahagian daripada uri atau selaput bayi
masih tertinggal dalam rahim. Pendarahan mungkin juga disebabkan oleh
jangkitan kuman dalam rahim. Setiap pendarahan yang berlaku dan melebihi had
biasa perlu mendapat perhatian doktor dan jika ia berlaku dengan banyaknya
pesakit perlu dibawa segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana ini
boleh mengancam nyawa ibu.
Sebaiknya keadaan
ini boleh dijauhkan dengan menentukan beberapa perkara:
Pertama:
Ketika bayi dan uri dilahirkan tentukan
setiap sudut uri diperiksa. Pemeriksaan ini untuk menentukan uri sempurna
dilahirkan dan tiada bahagian, cebisan atau sisa-sisa yang tertinggal dalam
rahim.
Kedua:
Jauhkan daripada sakit beranak yang
terlalu panjang dan berlarutan (prolonged labour). Ini adalah salah satu
faktor yang menyebabkan tumpah darah berlaku. Bayi perlulah dilahirkan secara
forsep atau pembedahan jika kesakitan bersalin melebihi hadnya. Wanita yang
mengalami tumpah darah itu perlulah diberi tranfusi darah ataupun apa sahaja
cecair yang sesuai dan mudah terdapat pada ketika itu jika darah tidak boleh
didapati. Juga tentukan rahim itu kuncup. Jika ia tidak kuncup, suntikan ubat
ergometrine akan diberikan untuk menentukan rahim kuncup untuk menahan
pendarahan. Pesakit ini perlu menjalani pembedahan kecil untuk membersihkan
sisa-sisa uri atau selaput bayi yang mungkin tertinggal dalam rahim. Proses
yang digelar evacuation of the uterus ini perlu dilakukan di bilik bedah.
Jangkitan
Kuman Pada Pundi Air Kencing
Salah satu
masalah yang kerap dialami oleh wanita selepas bersalin ialah jangkitan kuman
pada pundi air kencing. Masalah ini juga sering dialami oleh wanita hamil
kerana aliran air kencing menjadi perlahan dan bertakung akibat rahim yang
membesar. Ketika proses kelahiran berlaku, pundi air kencing menjadi sasaran
menyebabkan ia tertekan, terhimpit dan kadangkala tercedera.
Doktor perlu
memasukkan alat catheter untuk mengeluarkan air kencing yang mungkin
bertakung oleh sebab proses kelahiran. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman.
Apabila jangkitan kuman berlaku, wanita itu kerap membuang air kecil tetapi
sedikit-sedikit dan terasa sakit atau pedih. Jika tanda-tanda ini berlaku,
perlulah perhatian doktor. Air kencing perlu diperiksa untuk menentukan sama
ada rawatannya hanyalah dengan memakan ubat antibiotik selama lima hari atau
seminggu.
Jangkitan
Kuman Pada Luka Dan Rahim
Selain daripada
pundi air kencing, jangkitan kuman juga boleh berlaku pada luka di bahagian
kemaluan, luka oleh sebab pembedahan sesarean dan luka pada rahim iaitu luka
yang berlaku apabila uri dilahirkan. Jagaan dan kebersihan pada tempat-tempat
yang luka sangat penting untuk menjauhkan jangkitan kuman. Penting juga wanita
meningkatkan sistem pertahanan diri supaya serangan kuman dapat dielakkan. Ini
boleh dicapai melalui pemakanan yang seimbang kandungan zatnya.
Pengambilan pil
vitamin perlu diteruskan supaya tahap kesihatan dapat ditingkatkan dan
seterusnya boleh mengelakkan serangan kuman.
Luka pembedahan sesarean
boleh dijangkiti kuman menyebabkan takungan nanah atau abcess. Wanita itu akan
terasa sakit berdenyut-denyut pada luka menjadikannya merah. Takungan nanah
ini perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Rawatan secara dressing akan
dilakukan setiap hari di samping ubat antibiotik untuk dimakan. Luka
episiotomi juga boleh menimbulkan masalah jika jahitannya terbuka sebelum
sembuh. Keadaan ini digelar breakdown. Kejadian ini biasanya disebabkan oleh
jangkitan kuman atau takungan nanah pada luka.
Jika ini berlaku
pembedahan kecil perlu dilakukan untuk setiap hari. Masalah pada luka ini jika
tidak dirawat dengan betul boleh menimbulkan masalah jangka panjang seperti
terasa sakit ketika mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, setiap wanita
perlulah menjaga kebersihan serta menjauhkan masalah jangkitan kuman pada luka
di kemaluan.
Jangkitan kuman
pada rahim juga boleh berlaku. Tanda-tanda bagi jangkitan kuman pada rahim
ialah demam panas, sakit perut dan lendir yang berbau.
Lendir
ini biasanya
bercampur darah nifas. Masalah tumpah darah juga mungkin berlaku akibat
jangkitan kuman. Rawatan yang khususnya ialah dengan makan ubat antibiotik.
Jika ada sisa-sisa uri atau selaput bayi tertinggal dalam rahim, ini
memerlukan pembersihan secara D&C yang dilakukan di hospital.
Masalah Buah
Dada
Beberapa masalah
buah dada boleh berlaku selepas bersalin. Pertama, bengkak buah dada atau
breast engorgement. Ini biasanya disebabkan oleh saluran susu pada puting
tetek tersekat. Untuk menjauhkan masalah ini penting bagi setiap bakal ibu
membersihkan puting buah dada dengan air bersih. Urutlah buah dada ke arah
puting untuk memudahkan aliran susu. Jika buah dada selalu diurut, nescaya
masalah saluran puting susu tersumbat boleh diatasi. Bengkak buah dada
biasanya kerap berlaku di kalangan ibu yang tidak menyusukan anaknya.
Sebaiknya setiap
ibu patut menyusukan bayinya dengan susu sendiri kerana khasiat makanan yang
terkandung di dalamnya. Susu ibu sudah tersedia dan apa yang lebih pentingnya
penyusuan ibu dapat merapatkan hubungan emosi antara bayi dan ibu. Bagi ibu
yang telah membuat keputusan tidak akan menyusukan anaknya, masalah bengkak
buah dada boleh diatasi dengan memakan ubat yang khusus untuk menyekat
pengeluaran susu. Ubat ini mengandungi hormon estrogen yang dimakan lebih
kurang lima hari. Ubat terbaru di pasaran untuk menyekat pengeluaran susu dan
mencegah bengkak dan sakit buah dada ialah Bromocryptine yang dimakan selama
beberapa hari.
Bengkak buah dada
boleh menimbulkan masalah jangkitan kuman, mengakibatkan mastitis. Ini
menyebabkan rasa sakit serta demam panas. Bagi mengawal keadaan ini, perlulah
ibu berjumpa doktor yang kemudiannya akan memberi ubat antibiotik dan juga
penawar sakit. Masalah jangkitan kuman pada buah dada boleh berlarutan
menimbulkan masalah nanas atau abcess. Jika keadaan ini berlaku satu
pembedahan kecil perlu dilakukan di hospital untuk mengeluarkan nanah itu.
Ubat antibiotik,
penawar sakit dan juga hormon untuk menyekat pengeluaran susu akan diberikan
bagi merawat abcess ini.
Amalan menyusukan
bayi dengan susu sendiri boleh mengatasi masalah yang saya nyatakan di atas.
Di samping itu, kajian telah menunjukkan
penyusuan ibu mungkin boleh menghindarkan atau mengurangkan risiko
penyakit kanser buah dada. Oleh itu saya sering menasihatkan ibu menyusukan
bayinya sendiri kerana menyusu sendiri itu amat banyak faedahnya. Penyusuan
juga dikehendaki oleh agama Islam seperti yang ternyata dalam Surah al-Baqarah
233 yang bermaksud bahawa ibu patut menyusukan bayinya selama dua tahun.
Masalah Emosi
Dalam masa
pantang, sesetengah ibu yang baru melahirkan anak kerap mengalami tekanan jiwa
dan emosi. Tekanan ini memang telah wujud sejak ibu hamil dan berterusan
hingga melahirkan anak. Ketika pantang pula ibu perlu memberi jagaan yang rapi
kepada bayinya.
Tekanan fizikal dan mental mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa dan emosi
ibu. Akibat
tekanan darah ini segolongan wanita mengalami masalah kemurungan (depression)
atau ada yang lebih teruk lagi mengalami masalah sakit jiwa (pueperal
psychosis). Dalam keadaan yang amat menekan jiwa ada segelintir wanita yang
cuba membunuh diri. Tekanan jiwa dan emosi ini boleh dijauhi jika sokongan dan
nasihat yang sewajarnya dapat diberikan oleh orang yang penting dalam hidupnya
seperti suami.
Si isteri sepatutnya diberi
bantuan, bukan sahaja bantuan fizikal dari segi jagaan terhadap isteri dan
bayi yang baru lahir, tetapi juga sokongan moral. Saudara mara khususnya ibu
wanita itu boleh juga membantu mengatasi masalahnya.
Jika ada
tanda-tanda ibu itu mengalami kesedihan atau sakit jiwa, penting bagi suaminya
membawa ibu ini berjumpa doktor atau pakar sakit jiwa supaya keadaan ini tidak
akan berlarutan sehingga menimbulkan pueperal psychosis yang boleh
membahayakan nyawa ibu. Pada masa ini, lingkungan keluarga menjadi semakin
kecil. Sokongan moral dari saudara-mara makin berkurangan dan ini adalah salah
satu faktor yang boleh mengakibatkan ramai wanita mengalami masalah emosi dan
jiwa selepas bersalin. Sebaiknya hidup secara tradisi dengan mengamalkan
keluarga luas atau extended family patut diteruskan supaya wanita yang baru
bersalin dapat menghindarkan gejala-gejala emosi dan jiwa. |