|
|
Rokok rendah kandungan tar
dicipta oleh pengeluar tembakau untuk memastikan perokok
meneruskan tabiat mereka.

LEBIH banyak perkara perlu dilakukan untuk membetulkan
mitos dalam kalangan rakyat China bahawa rokok yang rendah
kandungan tarnya kurang bahaya berbanding yang normal.
Ukuran mereka yang antimerokok amat penting dengan Beijing
kini mempromosikan negara China sebagai bebas tembakau
sempena Sukan Olimpik dan mengharamkan rokok di tempat
umum mulai 1 Mei ini.
Perkara itu dinyatakan oleh penyokong kawalan tembakau
dalam satu seminar di Beijing dan dilaporkan akhbar China
Daily baru-baru ini.
Mereka menyatakan tinjauan yang dilakukan baru-baru ini
mendapati hampir 60 peratus responden percaya perokok
mengambil rokok rendah kandungan tar berbanding yang
normal manakala separuh daripada mereka berkata, menghisap
rokok sedemikian adalah lebih selamat.
Tinjauan yang dilakukan Think Tank Research Centre for
Health Development dan portal berita Sohu.com menerima
undian daripada 1,403 orang pada bulan lalu. Majoriti
mereka yang mengundi berusia 29 hingga 50 tahun dengan 86
peratus daripada jumlah tersebut adalah perokok.
"Rokok rendah kandungan tar ini sama bahaya dengan produk
tembakau lain. Helahnya terletak dalam rekaan rokok itu
sendiri," kata Wu Yiqun, pengarah pusat kajian tersebut.
Rokok rendah kandungan tar ditakrifkan mengandungi tahap
kandungan tar dalam asap rokok yang diukur menerusi mesin
khas.
Siasatan di Amerika Syarikat (AS) di mana rokok 'ringan'
pertama dicipta ditemui pada tahun 2001 dalam usaha untuk
mendapat kandungan tar yang lebih rendah.
Untuk itu, pengusaha tembakau mengubah rekaan rokok
seperti menambah lubang pengalihan udara yang sukar
dilihat oleh mata kasar bagi mencairkan tar dalam asap
daripada rokok-rokok sebegitu.
Tetapi sukatan itu tidak menggambarkan sebanyak mana
perokok terdedah kepada bahan-bahan kimia yang boleh
membawa maut yang dikeluarkan oleh rokok tersebut.

PURATA kematian di China kerana merokok akan meningkat
kepada tiga juta daripada satu juta orang pada masa ini.
- Gambar hiasan
"Ia adalah salah satu sebab mengapa perokok menyedutnya
dalam-dalam," kata Hans Troedsson, Ketua Perwakilan
Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) di China dalam satu
kenyataan baru-baru ini.
Bukti-bukti perubatan sejak lima dekad lalu turut
menunjukkan bahawa penyakit kanser paru-paru yang dihidapi
perokok tidak mengurangkan penyebaran rokok rendah
kandungan tar.
"Oleh itu, rokok rendah kandungan tar dicipta oleh
pengeluar tembakau untuk memastikan perokok meneruskan
tabiat mereka," kata Zhi Xiuyi, Profesor dan Pengarah
Pusat Kanser Paru-Paru Beijing.
Meskipun rokok rendah kandungan tar muncul di China pada
tahun 1976 iaitu lebih sedekad berbanding di AS, anggapan
yang salah mengenainya tersebar pantas dan meluas.
Malah, ramai doktor mempercayai rokok kurang kandungan tar
tidak begitu membahayakan kesihatan.
"Ini sebahagiannya kerana pengeluar tembakau sering
memaklumkan perokok bahawa mereka menggunakan teknologi
yang tinggi untuk mengurangkan bahaya tar," kata Yang
Gonghuan, Profesor dan Timbalan Pengarah Pusat Kawalan dan
Pencegahan Penyakit China.
Kajian awal yang dilakukan oleh program kawalan tembakau
antarabangsa pada tahun 2006 turut menemui bahawa China
merupakan antara negara teratas daripada 14 buah negara
yang mempunyai peratusan tinggi terhadap salah tanggapan
mengenai rokok rendah kandungan tar.
Mereka melaporkan China mempunyai 350 juta perokok. Lebih
kurang satu juta orang mati setiap tahun disebabkan
penyakit yang dikaitkan dengan rokok seperti kanser
paru-paru.
Berdasarkan ramalan WHO, satu bilion orang akan mati di
seluruh dunia pada abad ke-21 disebabkan tembakau jika
tiada tindakan segera diambil untuk menangani ancaman
kesihatan daripada rokok.
Selain itu, purata kematian di China kerana merokok akan
meningkat kepada tiga juta daripada satu juta orang pada
masa ini.
Berhadapan dengan cabaran sedemikian, kerajaan telah
melipatgandakan usaha untuk mengharamkan rokok dengan
menyertai Konvensyen Framework terhadap Kawalan Tembakau
anjuran WHO pada tahun 2005 dan mengharamkan penggunaan
perkataan seperti light atau mild di kotak rokok.
Negara itu juga perlu membuka lebih banyak klinik untuk
membantu perokok membuang tabiat buruk tersebut, kata
aktivis antimerokok, Gregory Ying-nien Tsang.
"China perlu memberi perhatian yang lebih untuk mengawal
perokok. Saya menghadiri lebih 12 aktiviti yang
mempromosikan rokok sebagai haram pada tahun lalu.
"Tetapi lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk
membolehkan orang ramai tahu bahawa rokok rendah kandungan
tar juga adalah berbahaya. Malah sebenarnya tiada tahap
keselamatan terhadap tabiat merokok," tambahnya. - Bernama |