|
Kehamilan Melalui Tiga Peringkat Penting
"SUDAH berapa bulan kandungan awak, dan sudahkah awak
bertemu doktor?" tanya Aminah kepada rakannya Rogayah yang
sedang hamil.
"Kenapa perlunya saya jumpa doktor? Saya tahu saya sedang
hamil tiga bulan, melalui ujian air kencing yang saya beli
dari farmasi," jawab Rogayah.
PERBUALAN di atas mungkin pernah berlaku di kalangan
masyarakat. Ramai orang yang mengambil remeh tentang
jagaan kesihatan sewaktu mengandung. Apabila mengetahui
diri sedang mengandung, mereka tidak bergegas untuk
bertemu doktor.
Namun, tahukah anda bahawa jagaan kesihatan sewaktu
mengandung bukan sahaja boleh menentukan kesihatan diri
ibu dan bayi di dalam kandungan?
Sebenarnya setiap ibu yang mengandung amat penting untuk
mendapatkan rawatan dari doktor. Sekurang-kurangnya dalam
tempoh sembilan bulan mengandung, mereka perlu datang ke
klinik sebanyak enam kali. Ini penting kerana ia dapat
mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi sewaktu
melahirkan.
| |
|
|
| |
1. |
Khususnya pada peringkat tiga bulan pertama |
| |
2. |
Peringkat tiga bulan peringkat pertengahan kandungan |
| |
3. |
Peringkat tiga bulan terakhir sebelum melahirkan |
| |
|
|
Melalui rawatan daripada doktor dapat mengesan masalah
kesihatan yang dialami oleh si ibu. Selain itu doktor juga
boleh mengesan sebarang gejala atau faktor yang boleh
mengancam kesihatan ibu disebabkan kandungan tadi.
Seseorang yang mengandung sebenarnya mengalami satu
tekanan dari segi fizikal dan mental, kerana ke semua
organ dalam badannya perlu bekerja keras untuk menampung
bayi.
Fungsi jantung orang yang mengandung meningkat sebanyak 40
peratus untuk membekalkan darah pada bayi. Oleh kerana
itulah kadang-kadang orang yang mengandung cepat mengalami
mengah apabila terlalu banyak berjalan.
Pada peringkat awal mengandung pula ada yang merasakan
tubuhnya panas. Ini berlaku kesan peningkatan metabolisme.
Perubahan-perubahan sebegini juga menyebabkan tekanan
kepada mereka. Lebih-lebih lagi kalau tidak mendapat
sokongan penuh daripada suami.
Kebanyakan golongan suami memberi sokongan moral dan kasih
sayang kepada isteri mengandung khususnya jika mengandung
anak sulung.
Tidak dinafikan ada juga suami yang tidak mengindahkan
isteri dengan membiarkan isteri bersendirian. Sehingga ada
yang sanggup mengabaikan si isteri dan berfoya-foya dengan
wanita lain. Ini akan menambah tekanan mental kepada si
isteri.
Oleh itu, amat penting di kalangan suami, keluarga dan
rakan-rakan terdekat untuk memberi sokongan kepada mereka
yang mengandung.
Mereka yang mengandung perlu juga mengamalkan pemakanan
yang sihat dan berkhasiat. Jadi, dengan menemui doktor,
doktor boleh menilai tahap pemakanan mereka.
Kebanyakan para ibu yang mengandung akan mengalami
peningkatan selera makan selepas 4 bulan kandungan.
Akibatnya ada yang tidak memikirkan makanan seimbang
sehingga terlebih mengambil makanan manis dan
berkarbohidrat.
Makanan terlalu manis boleh menyebabkan pelbagai masalah
kepada ibu, antaranya darah tinggi, kencing manis atau
bayi yang dikandung terlalu besar sehingga menyurkannya
bersalin secara normal.
Berat badan ibu mengandung biasanya akan meningkat. Namun,
peningkatan berat badan ibu mengandung yang ideal ialah
antara 10-15 kilogram sehingga sebelum melahirkan.
Pada tempoh kandungan 5 bulan kandungan, seharusnya
peningkatan berat badan hanya 5 kilogram (purata
peningkatan satu kilogram sebulan).
Biarpun berat badan ibu yang mengandung meningkat, namun,
ia termasuk juga dengan berat uri dan air yang bertakung
dalam badan. Apabila selepas melahirkan, berat badan akan
berkurangan.
Para doktor selalu menasihatkan agar ibu-ibu mengandung
memakan lebih banyak makanan yang mempunyai protein yang
tinggi. Contohnya seperti susu, tauhu, tempe, minuman soya,
kacang hijau, ikan, daging dan ayam.
Sementara bagi mereka yang mengalami kurang darah, sekali
sekala perlu memakan hati atau limpa untuk menggalakkan
pembentukan darah. Selain itu, sayur-sayuran dan
buah-buahan juga penting sebagai sumber vitamin dan
makanan berserat yang boleh memudahkan lawas.
Demikian juga dengan pengambilan zat besi dan kalsium
kerana zat besi untuk membina darah ibu dan anak.
Sementara kalsium untuk pembentukan tulang bayi.
Ramai orang tidak memakan kalsium secara tablet atau
daripada sumber lain seperti susu dan ikan bilis,
mengalami masalah sakit gigi, gigi berlubang, sakit sendi
dan sakit tulang.
Apabila kandungan berusia 5 bulan dan ke atas, para ibu
juga digalakkan untuk memakan makanan tambahan seperti
minyak ikan. Pada tempoh ini pembentukan otak bayi berlaku,
minyak ikan boleh merangsang pertumbuhan otak bayi.
Apabila kandungan sudah mencapai tempoh tiga bulan
terakhir sebelum bersalin, mereka masih perlu bertemu
doktor. Ia penting bertujuan untuk menyediakan mereka dari
segi mental untuk hadapi kelahiran dan penjagaan bayi
selepas bersalin.
Saat melahirkan merupakan sesuatu yang cemas, bukan sahaja
dari segi masa, tetapi dari segi keselamatan diri ibu dan
bayi.
Pada bulan terakhir kandungan, doktor akan dapat
menentukan sama ada si ibu boleh melahirkan secara normal
atau perlu dibedah. Oleh sebab itulah penjagaan sewaktu
mengandung amat penting untuk mengetahui sama ada bayi
berada dalam keadaan normal atau sebaliknya. Selain itu,
pertumbuhan bayi di dalam kandungan juga boleh diawasi
oleh doktor. Tidak dinafikan kadang pertumbuhan bayi
terjejas atau kadang berlaku masalah pendarahan, masalah
penyakit tertentu atau masalah berpunca dari uri.
Tugas uri yang membekalkan oksigen dan makanan kepada bayi,
kadang-kadang gagal berfungsi sepenuhnya. Akibatnya
pertumbuhan bayi terjejas. Semua aspek ini boleh diketahui
jika ibu mengandung bertemu doktor.
Melalui proses imbasan (ultrasound) ketika bayi berusia 8
bulan, kedudukan bayi boleh dilihat sama ada berada dalam
kedudukan normal atau menyongsang.
Kebiasaannya kepala bayi sudah berada di bahagian bawah.
Sekiranya usia kandungan 8 bulan, berada dalam kedudukan
menyongsang, ia bermakna akan dilahirkan dalam keadaaan
sedemikian. Namun biasanya doktor akan membetulkannya
dengan menggunakan kaedah tertentu tanpa melakukan paksaan
dengan ganas. Jika usaha yang dilakukan tidak berjaya,
kelahiran perlu dilakukan secara caesarian.
Selain itu, dengan melalui ultrasound, kedudukan uri boleh
kesan dari semasa ke semasa. Jika kedudukan uri berada di
bawah rahim sewaktu kandungan antara 32-34 minggu ia
dinamakan sebagai 'placenta previa'. Bayi perlu dilahirkan
secara pembedahan.
Warna uri yang sihat sewaktu proses ultrasound ialah
putih. Namun jika didapati tompok-tompok hitam, maknanya
uri rosak. Jika ia berlaku ia boleh menjejaskan
pertumbuhan bayi.
Ia juga boleh menjadi punca kematian bayi sewaktu di
dalam kandungan. Jika uri tidak sihat, para doktor boleh
melakukan pembedahan untuk kelahiran lebih awal dari
jangka waktu yang ramalkan.
Pakar perbidanan yang melakukan pemeriksaan ke atas ibu
mengandung mempunyai peranan untuk membuat penilaian
sama ada kandungan itu selamat dilahirkan normal atau
tidak.
Berdasarkan pelbagai faktor inilah, saya ingin
menekankan kepada para ibu mengandung agar tidak
menganggap penjagaan sewaktu mengandung sebagai sesuatu
yang remeh. Oleh kerana itulah, jangan teragak-agak
untuk ke klinik, jika sudah disahkan mengandung.
|