|
|
SIBUK
menguruskan anak yang berderet bilangannya, mungkin banyak
perkara terlepas pandang. Rumah sudah tidak rapi seperti
dulu. Berdandan untuk diri sendiri pun tidak sempat. Malah,
waktu untuk suami mungkin terpaksa dikorbankan.
Apabila diajukan soal merancang keluarga, pelbagai
pandangan timbul di kalangan pasangan suami isteri.
Ada yang menyamakannya dengan pembunuhan anak atau
bertentangan dengan konsep qada dan qadar. Tidak kurang
pula beranggapan merancang keluarga menafikan ketentuan
Allah memberi rezeki serta berlawanan dengan konsep umat
yang ramai.
"Hakikatnya, masyarakat harus berfikiran jauh dalam soal
perancangan keluarga.
"Ia bukan perkara remeh malah dalam sesetengah keadaan, ia
perlu dilakukan untuk mengembalikan keintiman suami isteri,”
kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga Ketua Unit
Merancang Keluarga Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia
(HUKM), Dr Harlina Halijah Siraj.
Pada masa sama, ia mengelak isu anak terbiar yang boleh
mendorong terjebak kepada gejala keruntuhan akhlak.
"Memang tiada kajian khusus dijalankan tetapi difahamkan
kebanyakan anak-anak yang menghuni pusat pemulihan akhlak
mengatakan diri mereka tidak diingini.
"Justeru, tak mustahil jika gejala anak terbiar berlaku
kerana ibu bapa tak merancang bilangan anak menyebabkan
mereka tiada persediaan untuk memiliki keluarga besar,”
katanya.
Perancangan keluarga, menurutnya, adalah tanggung jawab
ibu bapa yang bukan semata-mata untuk mengurangkan
bilangan anak.
Perancangan keluarga adalah sebahagian perancangan hidup
berkeluarga, merangkumi konsep menjarakkan kehamilan dan
membantu pasangan yang sukar memperoleh cahaya mata.
Keupayaan membentuk keluarga ditunjangi lima perkara asas
iaitu kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan
emosi, kelapangan masa dan sokongan sosial.
Baik si isteri mahupun suami, perancangan keluarga dapat
membantu meningkatkan hubungan suami isteri yang lebih
berkualiti selain waktu untuk anak-anak dan diri sendiri.
Dari segi kesihatan, menjarakkan kehamilan membolehkan si
ibu mempunyai masa untuk berehat.
Malah, ibu yang hamil lebih daripada lima kali banyak
dikaitkan dengan kadar kepucatan yang tinggi semasa hamil,
kadar kematian ibu yang lebih tinggi serta keadaan mental
dan emosi yang tidak stabil.
"Untuk suami, menjarakkan kehamilan menjamin kemesraan
suami isteri yang berkekalan serta membantu mereka membuat
perancangan daripada aspek ekonomi dan pembangunan
keluarga dengan lebih baik.
"Apabila bercakap mengenai hak anak, ramai menekankan
sumber halal untuk membesarkan anak.
"Tetapi, hak anak cukup luas, termasuk untuk hidup,
mendapatkan ketulenan baka, diberi nama yang baik,
disediakan keperluan asas termasuk penyusuan ibu serta
diasingkan tempat tidur.
"Anak juga berhak mendapatkan pendidikan agama yang
sempurna, diberi pelajaran dan asas kemahiran hidup dan
diberi layanan saksama,” katanya.
Menurutnya, selepas disemak secara menyeluruh, tidak ada
nas dalam al-Quran yang melarang usaha menghalang
kehamilan atau mengurangkan bilangan anak.
Seorang sahabat Nabi Muhammad (saw), Jabir meriwayatkan:
"Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman
Rasulullah (saw). Baginda mengetahuinya namun baginda
tidak melarang kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan
al-azl termasuk Ali Abi Talib, Saad ibn Waqqas, Abu Ayyub
Al-ansari, Abdullah bin Abbas dan Hassan ibn Ali.”
Beliau berkata, fatwa mengenai perancangan keluarga
seperti dikemukakan ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi
membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan
kukuh.
"Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak
hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk
memenuhi keperluan hidup. Alasan lain termasuk keadaan
kesihatan dan pembesaran anak.
"Dr Yusuf turut mengesahkan bahawa kaedah perancangan
moden mempunyai tujuan serupa dengan coitus interruptus (membuang
air mani di luar vagina) dan dari sudut perbandingan, ia
dibolehkan,” katanya.
Dr Harlina berkata, pengguguran bukan kaedah merancang
keluarga apatah lagi pengguguran memang tidak dibenarkan
di negara ini kecuali membabitkan kesihatan atau nyawa si
ibu.
Kaedah merancang keluarga juga pelbagai termasuk hormon
menerusi penggunaan pil, suntikan dan pacakan (implan),
alat dalam rahim, cara kiraan hari selamat, sterilisasi,
membuang sperma di luar dan kondom. |