|
Pengguguran - Bukan cara
merancang keluarga
Ruangan Keluarga, Utusan Malaysia
MUKADIMAH
Pada masa ini terdapat kira-kira 40 peratus kehamilan
tidak dikehendaki berlaku setiap tahun yang mana daripada
jumlah ini 60 peratus akan digugurkan sama ada secara
haram ataupun tidak.
Pengguguran juga dilakukan untuk pemilihan jantina yang
mana sekiranya janin yang dikandung bukan jantina yang
dikehendaki, janin ini akan dibuang atau digugurkan.
Statistik dunia mendapati janin perempuan lebih banyak
digugurkan daripada janin lelaki.
Pada masa yang sama pengguguran sudah menjadi satu trend
di kalangan wanita muda yang enggan mengandung kerana
tidak mahu dibebani masalah menjaga anak, bimbang bentuk
badan berubah dan sebagainya.
Wartawan ROSMAH DAIN mengupas permasalahan ini untuk
iktibar bersama. Gambar dirakamkan SAIFUL NIZAM BAHARI.
Apabila bercakap tentang aktiviti pengguguran haram, tidak
dinafikan ia semakin berleluasa di negara ini. Biarpun
kaedah yang digunakan menyakitkan dan boleh mengundang
maut serta salah di sisi undang-undang, kebanyakan wanita
yang terdesak sanggup mengharunginya.
Biasanya, pengguguran haram banyak dilaporkan dilakukan
oleh golongan remaja atau wanita yang hamil akibat
melakukan hubungan haram.
Meluas
Tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya ramai di kalangan
wanita yang bersuami juga melakukan pengguguran kerana
tidak mahu zuriat yang dikandung.
Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia (HUKM), Dr. Harlina Halizah Siraj, kaedah
pengguguran di kalangan wanita yang telah bersuami telah
dijadikan sebagai cara untuk merancang keluarga.
Menurutnya, keadaan ini tidak dapat dilihat dengan meluas
di negara ini kerana ia dilakukan dalam keadaan
tersembunyi, tambahan pula pengguguran haram bertentangan
dengan peruntukan undang-undang negara.
"Pengguguran hanya diunjurkan sekiranya melibatkan
keselamatan nyawa ibu yang terancam akibat kehamilan.
"Itupun hanya setelah mendapatkan pengesahan dua pakar
yang bertauliah, barulah prosedur pengguguran itu
dijalankan ketika usia kehamilan masih awal lagi iaitu
sebelum empat bulan,'' katanya.
Harlina Halizah berkata, setiap kali berlakunya
pengguguran ia boleh mengancam nyawa si ibu.
Ia juga merupakan satu kaedah yang kurang sesuai digunakan
sebagai kaedah merancang keluarga.
Katanya, terdapat beberapa komplikasi yang akan dihadapi
oleh si ibu akibat pengguguran yang tidak diawasi doktor
yang bertauliah.
Antaranya, pendarahan yang tidak terkawal, mengundang
kecederaan kepada organ seperti rahim dan pangkal rahim,
serta boleh mengakibatkan kematian.
Selain itu, ia juga boleh mengakibatkan jangkitan kuman
yang teruk pada rahim, yang menyebabkan masalah
ketidaksuburan berlaku selepas itu.
Akibatnya, pada masa akan datang sekiranya pasangan suami
isteri ini ingin mempunyai anak, wanita ini didapati sukar
untuk mengandung lagi.
"Sekiranya suami isteri mengetahui mengenai masalah yang
bakal dihadapi, sudah tentu mereka akan lebih berhati-hati
sekiranya hendak merancang kehamilan.
"Dalam teknologi perubatan, kita mempunyai berbagai-bagai
kaedah merancang keluarga yang boleh digunakan dengan
selamat dan bukannya memilih kaedah untuk menggugurkan
janin dalam usaha merancang keluarga,'' katanya.
Harlina Halizah menambah, kebanyakan negara Barat seperti
Amerika Syarikat yang menghalalkan pengguguran melihatnya
sebagai satu langkah menghormati hak-hak reproduktif
wanita.
Wanita dikatakan berhak memilih sama ada mahu hamil atau
tidak dan perlu diberikan kebebasan sepenuhnya tanpa
diskriminasi melakukan pengguguran sekiranya beliau tidak
mahu meneruskan kehamilan tersebut.
Sekiranya, terdapat wanita di negara ini yang berpaksikan
ke arah menghalalkan cara itu, sudah tentu kaedah ini
dilakukan oleh mereka dengan sewenang-wenangnya untuk
menggugurkan janin yang dikandung.
"Apa yang membimbangkan ialah terdapat ubat-ubatan yang
boleh didapati dengan mudah untuk menggugurkan janin di
peringkat awal kehamilan dengan bantuan pengamal perubatan
yang kurang beretika dan menghormati undang-undang,''
katanya.
Beliau berkata, menggugurkan kandungan yang berusia
melebihi lima bulan adalah berbahaya tambahan pula di sisi
agama ia dilihat sebagai satu `pembunuhan' sekiranya
dilakukan dengan sengaja kerana janin pada peringkat ini
telah berkembang pertumbuhannya.
"Mentaliti masyarakat kita pada hari ini ialah mereka
melihat dan merasakan janin yang dikandung itu masih belum
dianggap sebagai `manusia' kerana ia belum lagi bernyawa.
Kecintaan
"Sekiranya ramai yang beranggapan begini musnahlah rasa
kecintaan sesama manusia kerana tidak melihat nilai yang
tinggi terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan Tuhan,''
katanya.
Beliau menambah, wanita yang pernah menggugurkan kandungan,
lebih mudah untuk menggugurkan kandungan yang akan datang
sekiranya ingin berbuat demikian.
Apabila diminta statistik secara khusus mengenai golongan
yang melakukan pengguguran haram di negara ini, Harlina
Halizah memberitahu, sukar mendapatkan catatan statistik
yang menunjukkan peratusan mengenai hal tersebut sekalipun
dilakukan secara sah atas sebab-sebab tertentu.
Tetapi berdasarkan pengalaman, beliau mendapati ramai
suami dan isteri daripada keluarga yang berpendapatan
pertengahan dan suami isteri yang berusia muda termasuk
dalam kategori mereka yang melakukan pengguguran.
"Saya melihat mereka ini kurang mempunyai pengetahuan dari
sudut kesihatan dan pengetahuan umum dan tidak ada
informasi mengenai merancang keluarga yang betul.
"Gaya hidup pasangan muda yang tidak begitu jelas mengapa
mereka perlu berkahwin, tidak mempunyai matlamat dalam
perkahwinan, menganggap mempunyai anak adalah menyusahkan
dan gaya hidup yang tiada pegangan keagamaan menjadi
faktor pengguguran berlaku.
Kesempitan
"Pada masa yang sama, kesempitan kewangan dan hanya
sekadar mencari keseronokan turut menjadi punca mengapa
mereka melakukan pengguguran sebagai jalan pintas untuk
menyelesaikan masalah tidak mahu memiliki anak, tambahan
suami juga menggalakkan mereka berbuat demikian,'' katanya.
Harlina Halizah berkata, dalam apa jua keadaan, pasangan
perlu menyesuaikan diri untuk belajar menyelesaikan apa
sahaja masalah yang dihadapi dan tidak menganggap
mempunyai anak sebagai satu yang membebankan.
Manakala dalam keadaan kaedah perubatan yang maju sekarang,
kaedah penyaringan menerusi pemeriksaan ultrasound boleh
dilakukan dalam menentukan sama ada janin yang dikandung
normal atau tidak.
"Kalau janin itu hanya mengalami sumbing atau disahkan
mengalami Sindrom Down (keabnormalan pada kromosom 21),
kita tidak sesekali menyarankan kandungan itu digugurkan,''
katanya.
Beliau memberitahu, sepatutnya semua kehamilan perlu `dikehendaki'
dan dirancang. Sikap keprihatinan ini dianggap sebahagian
daripada ciri keibubapaan yang bertanggungjawab.
Perkembangan anak-anak yang lahir daripada kehamilan yang
dirancang dan dikehendaki adalah jauh lebih mantap dan
positif jika dibandingkan dengan mereka yang dikandung
secara tidak dirancang.
"Sebenarnya setiap ibu yang menggugurkan janin mereka
pasti akan menerima kesan emosi selepas setiap pengguguran
dilakukan walaupun ramai di kalangan mereka cuba menafikan
perasaan berkenaan.
"Pasti jauh di sudut hati mereka timbul perasaan sedikit
bersalah dan terkilan kerana pada masa lalu mereka pernah
melakukan sesuatu ke atas janin sendiri,'' katanya. |